Tadabbur Tazakkur

Semanis dan sewangi utrujah

Petang itu, sekumpulan teman-teman dihidangkan dengan menu lazat daripada makanan berproses nugget, fishball dan sosej. Aroma yang semerbak memenuhi ruang.

Ain : Wah! Sedapnya, dahlah tengah lapar ni. Penuh separuh pinggan saya ambil tau.

Farah : Weih! Tinggalkan saya sikit. Nak rasa sikit je sebab makanan macam ni sebenarnya tak bagus untuk kesihatan.

Ain : “Sikit” awak tu, sama je gayanya macam pinggan saya.

Mereka ketawa serentak.

Amalina : Nampak sedaplah. Tapi nak makan 2 ketul je. Makanan macam ni sebenarnya antara penyumbang kanser.

Farah : Ye ke? Berapa banyak boleh makan yang tak menyebabkan kanser?

Amalina : Hah? Itu, sendiri kena berani ambil risiko.

Eh, Syatilla, Maria, Ainul…. kenapa duduk je situ. Mehlah makan sini.

Syatilla, Maria dan Ainul masih tidak berganjak.

Ainul : Sorry lah. Mak saudara saya baru je meninggal sebab kanser. Dan memang gaya hidup mereka sekeluarga banyak makan benda-benda macam ni. Saya insaf sikit, tak berani.

Syatilla : Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Saya pun sebenarnya takde selera tengok makanan  berproses ni dah. Sebab banyak kali baca tentang toksin yang ada dalam tu.

Suasana diam seketika. Tiga teman yang lain telahpun menghabiskan juadah tersebut. Dan masih ada seorang yang mendiamkan diri. Sekadar memerhatikan dari jauh. Ain mencuit Syatilla sambil menunjuk ke arah Maria.

Seketika itu Syatilla tergelak.

Syatilla : Awak nak suruh Maria makan benda alah ni? Dia tu setiap hari dok menghadap thesis tentang kaitan makanan dengan kanser. haha… memang haraaaamlah nak makan.

Maria tersenyum.

Maria : Sorry guys. Saya tak boleh terima dah semua ni.

***

Ada manusia yang tidak mengetahui, mungkin kerana tidak membaca, lalu tindakannya selari dengan ketidaktahuannya.

Ada manusia yang tahu, tetapi masih bertindak seperti tidak tahu.

Ada manusia yang tahu, diperkuatkan lagi dengan bukti-bukti yang ada membuahkan keyakinan, lalu tindakannya menggambarkan inteleknya yang tahu.

Ada manusia yang tahu, berkali-kali menggarap, menghayati dan memahami ilmu sehingga menanamkan keyakinan yang benar.Dia tidak lagi ragu-ragu. Dan ya, tindakannya akan selari dengan apa yang diyakininya atas ilmu kebenaran.

Begitulah manusia dengan Al-Quran.

Ada yang tidak membacanya, tidak mengetahui kandungannya, lalu tidak bertindak selari dengan pedoman Al-Quran.

Ada yang menyebut Al-Quran (membunyikan huruf-hurufnya mengikut tajwid) tetapi tidak memahami kandungannya. Lalu tindakannya masih tidak selari dengan kefahaman Al-Quran.

Ada manusia yang membaca AL-Quran, cuba berinteraksi dan memahami kandungannya, membuahkan keyakinan akan petunjuk jalan. Tetapi tindakannya kadang-kadang selari dan kadang-kadang tidak selari dengan pedoman AL-Quran. Kerana ada ketika informasi kebatilan daripada hawa nafsu manusia lain lebih mendominasi daripada petunjuk Al-Quran.

Ada manusia, diuji dengan pelbagai bencana, dan sentiasa berpaut pada pedoman Al-Quran. Ini membuahkan keyakinan kerana proses menghayati Al-Quran berulang kali dilalui sehingga dia tidak ragu-ragu lagi. Terus dan terus berusaha menjaga taqwa.

Dan ada manusia, peduli memahami AL-Quran setiap hari, memproses Qalam Tuhan dalam hidupnya sehari-hari. Sehingga hatinya tidak goyah, memperoleh furqan yang memberikan petunjuk jalan dalam membuat pilihan sehari-hari.

Saya, golongan yang mana?

Muslim yang disenangi itu bukan sekadar Muslim pada nama. Tetapi jiwa-jiwa yang tercelup dengan celupan Allah, diwarnai dengan QalamNya, akhlaqnya menggambarkan keimanan teguh yang menghunjam jauh ke dasar.

Perumpamaan seorang mukmin yang membaca Al Qur’an seperti buah utrujah yang memiliki wangi yang sedap dan rasa yang manis. Sedangkan perumpamaan seorang mukmin yang tidak membaca Al Qur’an ibarat buah tamar (kurma) yang tidak memiliki bau namun rasanya manis. Adapun perumpamaan seorang munafiq yang membaca Al Qur’an ibarat buah roihanah yang memiliki wangi yang sedap tapi rasanya pahit. Dan perumpamaan seorang munafiq yang tidak membaca Al Qur’an ibarat buah handzholah yang tidak memiliki bau dan rasanya pahit”. (HR. Muslim, 1896)

Sudahkah diri ini tercorak dengan benih-benih cinta dari Tuhan? Sudahkan jiwa yang kering ini disirami dengan wahyuNya sehingga tumbuh subur selari pedomanNya?

Hisyam bin Amir pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang akhlak Rasulullah SAW. Aisyah menjawab, “Akhlak Nabi SAW adalah Alquran.” (HR Muslim).

“Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang agung” (Al-Qolam: 4).

 

Seringkali bilamana disebut “mengikuti sunnah”, masyarakat sering diingatkan mengenai perkara-perkara kecil seperti makan dengan tiga jari ataupun jangan bersandar ketika makan. Tiada salahnya. Tetapi jangan sampai hilang perspektif yang jauh lebih besar. Kerana sunnah terbesar Rasulullah adalah menyebarkan dan mengamalkan Al-Quran. Itulah akhlaq terbesar dan itulah sunnah yang paling utama untuk diikuti.

Dan proses mendapatkan pengetahuan Al-Quran bukan sekadar terhenti pada mengeja dan membaca. Namun hati itu perlu sentiasa dibajai dengan siraman wahyuNya sehingga menumbuhkan iman yang membuahkan amal.

Bersedia menaiki tangga menuju iman dan amal?

 

Tangga pertama :  Iqro’ (Belajar membaca tanpa faham)

Wahai orang yang berselimut!Bangunlah pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat),Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu,Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil”.sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat.Sesungguhnya bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan pada waktu itu) lebih memberi kesan.

Al-Muzzammil, 76 : 1-6

 

Tangga ke-2 : Tilawah (memahami makna)

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan , mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

2:121

Tangga ke-3 : Tadabbur ( memperhatikan untuk mencari bukti menuju ainul yaqin dan haqqul yaqin)

Kitab (Al-QQuran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.

Shod, 38:29

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran?

4:82

 

Tangga ke-4 : Tadarrus (Membaca berulang-ulang untuk menghayati sesuatu ayat)

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.

3:79

Tangga ke-5 : Menuju ilmal yaqin/iman

Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad, s.a.w), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad s.a.w).

5:83

 

Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil- dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.

19:58

Tangga ke-6 :  Pedoman, penghayatan, pengamalan quran.

Dan demikianlah Kami menurunkan Al-Quran sebagai hukum dalam bahasa Arab. Dan demi sesungguhnya, jika engkau (wahai Muhammad) menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya kepadamu wahyu pengetahuan (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau peroleh dari Allah sesuatupun yang dapat mengawal dan memberi perlindungan kepadamu (dari perkara-perkara yang tidak diingini).

13:37

Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) Al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan engkau lagi kepada apa yang engkau ingini dan cintai. Katakanlah (kepada kaum yang menentangmu): “Tuhanku amat mengetahui akan sesiapa yang membawa hidayah petunjuk dan sesiapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata “.

28:85

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

6:153

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.

6:155

3 thoughts on “Semanis dan sewangi utrujah

  • Wan Maslukma

    Comel je conversation atas tu.

    Reply
    • Adakah anda dapat mengesan cerminan watak-watak tersebut?

      Heh, semoga thesis mu cemerlang sayang. DiberkahiNya.

      Reply
  • Rasheedah

    ‘Unity’ dari intro ke isi.
    Barakallahu feek!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.