Hanya satu milikku
Mata merenung kosong jauh ke ruang hadapan. Masih berkira-kira, tetapi apakah ada lagi jalan keluar?
Saya kena jual rumah ini untuk biaya kos rawatan.
Rumah mewah yang dihuni sejak 20 tahun yang lalu, bukan lagi miliknya. Baru disedari, nikmat kesihatan itu, tidak ternilai harganya. Hilangnya kesihatan mengakibatkan hilangnya banyak lagi segala aset yang sebelum ini diduga miliknya selama-lamanya. Siapa sangka, tiba saatnya, Dia mengambilnya kembali dengan jalan yang tidak disangka-sangka.
Rumah itu bukan lagi miliknya.
***
Dia mendengus marah. Ternanti-nanti si suami pulang untuk melepaskan segala rasa kecewa dan marah. Berita yang baru sahaja diterima membuatkan hatinya bagai disiat-siat.
Dia dah kahwin dengan si perampas tu sejak 2 tahun yang lalu rupa-rupanya! Saya tak tahu. Saya tak boleh terima.
Dada terasa sesak. Seakan-akan segala pergantungan selama ini yang dipasakkan pada pasangannya hancur terlerai. Segala kerisauan hadir menerpa. Harta dan kasih sayang suami yang selama ini dirasakan miliknya, dirisaukan bukan lagi berada di tangannya.
Suami itu bukan milikku?
Suami itu milik siapa?
***
Dia, pulang ke pangkuan ibu bapanya. Masih terdiam seribu bahasa. Enggan berbicara. Memerlukan beberapa masa untuk merawat luka.
Kawan khianati saya. Dia curi thesis saya, letak nama dia, biarkan saya gagal semester itu.
Untuk mengulang kembali semester itu, dengan tiada lagi sumber perbelanjaan, ujian itu begitu perit.
Buntu. Untuk meneruskan atau melepaskan segala usaha selama ini?
Saya yang berusaha menyiapkan thesis itu.
Thesis itu bukan milik saya?
***
Dan Dialah yang menjadikan kamu sebagai penguasa di bumi dan Dia mengangkat (darjat) sebahagian daripada kamu di atas yang lain, untuk mengujimu atas (kurniaan) yang diberikanNya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu sangat cepat memberi hukuman dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Al-An’am, 6 : 165
Manusia yang tercipta fakir, sentiasa memerlukan dan bergantung harap, akan terasa selamat bilamana memiliki sesuatu yang dikurniakan Dia Yang Maha Memiliki, Yang Maha Menguasai.
Saya yang dapat perkara ini, ini milik saya.
Namun, ilusi kepemilikan yang menanamkan aqidah tidak murni boleh mengakibatkan gangguan jiwa dan mental yang bukan mudah untuk disembuhkan. Sulit untuk redha bilamana Dia Yang Maha Memiliki mengambilnya kembali sebagai pentas ujian di bumi ini, bagi membuktikan kebenaran imanmu kepadaNya. Apakah benar engkau mengimani bahawa Dialah Al-Malik.
Seorang yang kaya, berdiri gah dengan segala aset perniagaan dan rumah, di saat Allah berkehendak menguji, sekelip mata sahaja tsunami atau banjir boleh meranapkan segala. Meninggalkannya hanya sehelai sepinggang tanpa apa-apa.
Bagaimana untuk bangkit kembali pada saat hilangnya segala yang dikira adalah miliknya selamanya?
Sebijak manapun seorang profesor, bilamana ajalnya menjemput, hilang lenyap segala ilmu yang pernah dikuasainya.
Sekaya manapun seorang jutawan, bilamana ajalnya menjemput, hilang kepemilikannya terhadap segala harta yang dikumpulkan selama ini.
Seakrab manapun seseorang dengan pasangannya, bilamana ajal menjemput, pasangannya mungkin akan menikahi insan yang lain pula.
Justeru, andai segalanya akan hilang. Segalanya akan terlepas daripada kepemilikan masing-masing, lalu untuk apa lagi melalui kehidupan ini? Sedangkan semuanya pasti akan lenyap dan terlepas daripada milik diri ini?
Kerana ada satu kepemilikan yang akan abadi, kekal selama-lamanya. Kepemilikan yang satu ini sahajalah yang harus digenggam setiap jiwa.
Itulah kemampuan memiliki taqwa. Itulah kemampuan menguasai diri untuk menundukkan hawa nafsu selari dengan petunjuk wahyuNya. Seorang manusia boleh menguasai sebarang apa yang dikehendakinya di dunia ini.
Engkau mahu menguasai perniagaanmu?
Engkau mahu menguasai pasanganmu?
Tetapi kekuatan menguasai diri sendiri agar terpeliharanya taqwa, hanya itulah sahaja kepemilikan yang akan abadi. Hanya itulah kekuasaan yang berkekalan sehingga engkau menemuiNya.
Hanya satu milikmu.
Hanya taqwa milikmu.
Bawalah bekalan, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepadaKu, wahai orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.
Al-Baqarah, 2 : 197
***
Merenung ke langit biru. Berpijak ke bumi menghijau.
Allah, kalau Engkau menghendaki menghalang kami daripada mendapatkan air yang mengalir, siapa yang dapat menghalangMu daripada matinya tanaman dan haiwan. Siapa yang dapat menghalangMu daripada matinya hidupan. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa Maha Memiliki. Hamba ini tidak memiliki apa-apa. Bahkan di saat berpisahnya roh daripada jasad, ‘nama’ itu sendiri tidak lagi dimiliki jasad tidak bernyawa. Nama yang terpanggil insan-insan lain hanyalah dengan nama ‘jenazah’.
Katakanlah (Muhammad) “Terangkanlah kepadaku jika sumber air kamu menjadi kering, maka siapa yang akan memberimu air yang mengalir?”
Al-Mulk, 67 : 30
Bilamana resah mengenangkan aset rumah yang bakal bertukar tangan. Renungkan kembali jauh ke dalam diri. “Kalau bukan sekarang, rumah ini tetap akan terlepas daripada kepemilikanku bilamana Tuhan mengambil ajalku.” Dan bila insan itu memilih taqwa dalam ujian yang menimpa, itulah kepemilikan yang akan abadi sebagai bekal di akhirat kelak.
Bilamana runsing “terlepasnya” suami daripada “kekuasaan” sendiri tatkala hadirnya manusia lain yang berkongsi, apa lagi pilihan yang ada di tanganmu? Kembali dan labuhkanlah harapan pergantungan kepada Dia Yang Maha Memiliki. “Kalau bukan sekarang, pasanganku tetap akan terlepas daripada kepemilikanku bilamana Dia berkehendak mengambil ajalku.” Dan bila jiwa itu memilih taqwa, itulah kepemilikan abadi yang akan kekal sehingga ke alam sana.
Justeru, apakah mahu lagi terus dan terus bertelingkah, berlawan antara sesama untuk membuktikan kekuasaan siapa atau kepemilikan siapa.
Bukan lagi sentiasa menagih manusia “Kenapa dia tak tolong saya?”,
atau memaksa mengharap manusia “Kenapa awak tak bagi saya ini?”
atau gusar melihat apa yang ada pada manusia lain “Kenapa saya tak dapat apa yang dia miliki?”
Sedangkan soalan yang paling kritikal untuk terus dan terus hadir di benak adalah
“Apa lagi yang saya boleh berikan, apa lagi yang saya boleh membantu?”
Agar taqwa itu menjadi milikmu.
Dengan menyelami makna erti hidup pada memberi.
Assalamualaikum
Waalaikumusalam… sejak menjak ini….ayat-ayat tauhid sering hadiri dalam kehidupan saya…kemungkinan ini sentuhan dari Illahi…
Pasti.
Hidup ini memang ujian membuktikan ketundukan dan kemurnian aqidah kepadaNya.
Jazakillah kak
Saja berkongsi.
Dalam surah al-A’ rof yang temanya tentang jangan jadi golongan atas pagar ni, Allah persoalkan siapa yang haramkan rezeki, makan pakai yang bagus-bagus kat dunia ni? (7: 31,32). Tiada yang melarang..
Hanya, yang dilarang adalah perbuatan keji, perbuatan zalim dan persekutukan Dia. (7:33)
Ellaboration kepada pemilikan yang satu iaitu (taqwa) pada ayat sebelum-sebelumnya (7:26).
*Best makan buffet ar Rahman pagi ni. 😊😊😊Segar rasanya. Terima kasih Allah🌟✨🌺