Tadabbur Tazakkur

“Ajarkan aku untuk takut kepadaMu.”

Aroma semerbak memenuhi ruangan. Masing-masing bergegas ke restoran Mamak tengahari itu.

“Kalau lambat ni,risau habis lauk.”

Tangan pantas menceduk lauk pilihan. Tanpa disedari, kuah di terpercik pada tudung, menambahkan lagi corak baru, bahkan lebih menyerlah berbanding corak yang sedia ada.

“Eh, kena basuh cepat-cepat ni.”

-“Alamak, tak perasan. Bagaimana ni? Lepas ni nak bagi ceramah kat khalayak ramai. Awak ada iron tak?

***

Risau bukan?

Risaukan pandangan manusia.

Takut manusia melabel “comot”.

Takut manusia memandang jelek.

Lalu terus bertindak menutupi cacat-cela dek tertumpahnya kuah makanan pada tudung itu.

Sebegitu sekali perhatian manusia terhadap pandangan manusia lain kepada dirinya.

Sedetik merenung dan berfikir. Seandainya yang comot dan kotor itu adalah hati. Dan yang memandang, melabel dan menilainya adalah Tuhan. Sejauh manakah si hamba itu peduli membersihkan hatinya agar pulang ke pangkuan rabb dalam keadaan bersih dan suci?

Seandainya kadar kebersihan hati itu bersifat fizikal, dapat dilihat mata kasar seluruh umat manusia, bagaimana pula agaknya tindakan si hamba itu dalam memastikan kesucian hatinya?

“Hati saya kotor. So, what?”

Antara hati yang kotor dan peribadi tuannya yang peduli memelihara kesucian hati. Mengapa ada manusia yang peduli menyucikan hati manakala ada juga yang tidak?

PedomanNya mengajar bahawa mereka yang takut kepada Tuhan sahajalah yang akan peduli untuk menjaga kesucian hati. Jiwa-jiwa yang tidak mengenal TuhanNya, hilang rasa sensitiviti atau kesedaran menyucikan jiwa. Terus dan terus terpalit dengan dosa tanpa rasa malu akan satu hari nanti, bertemu denganNya. Tidakkah tahu seandainya seorang manusia itu tenggelam dalam dosa,meskipun mengaku Muslim, tetap akan dimasukkan ke neraka bukan sementara tetapi selama-lamanya.

Bukan demikian! Barangsiapa berbuat keburukan dan dosanya telah menenggelamkannya maka mereka itu penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya.

Al-Baqarah, 2 : 81

Sedangkan, mukmin yang benar-benar mendirikan solat dan yakin akan pertemuan denganNya setiap hari, pasti mahu memelihara kesucian hati sebelum bertemu denganNya dalam kewajipan solat yang difardhukan.

Sedangkan rasa.

Rasa itu yang amat mahal.

Bagaimana untuk menghadirkan rasa takut kepadaNya sehinggakan membuahkan peribadi yang peduli membersihkan jiwa setiap ketika?

Dan demikian (pula) di antara manusia, makhluk bergerak yang bernyawa dan haiwan-haiwan ternakan ada yang bermacam-macam warnanya dan jenisnya. Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya hanyalah golongan yang berilmu. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.

Fatir, 35 : 28

Segala “rasa” dan perasaan itu hadir kerana adanya ilmu. Seorang anak kecil yang tidak mengenali kala jengking berkemungkinan masih memerhatinya tanpa rasa takut. Sedangkan seorang lelaki dewasa boleh lari lintang-pukang seandainya lalu di hadapannya seeokor ular tedung.

Takut itu hadir kerana ilmu.

Takut kepadaNya adalah kerana mengenalNya.

Sudahkah mengenalnya?

Atau mahukah menerima potongan nasihat dari Nabi Musa sebagaimana yang diterima Firaun zaman dahulu?

Sudahkah sampai kepadamu kisah Nabi Musa? Ketika Tuhan memanggilnya di lembah suci iaitu Lembah Tuwa. Pergilah engkau kepada Firaun! Sesungguhnya dia telah melampaui batas. maka katakanlah (kepada Firaun), “Ada atau tidak keinginanmu untuk membersihkan diri (daripada kesesatan)? Dan engkau akan kupimpin ke jalan mengenal Tuhanmu agar engkau takut kepadaNya”

An-Nazi’at, 79 : 15-19

 

3 yang saling terkait.

Satu, Rasa mahu membersihkan diri.

Kedua, Kenal Tuhan.

Ketiga, Supaya takut kepadaNya.

“Menyucikan jiwa ni memang betul-betul perlu ke? Apa jadi kalau tak nak buat?”

Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ali-’Imran, 3:77

Tibanya hari pembalasan, masing-masing tercari-cari jalan seandainya dapat menyembunyikan segala kemungkaran yang pernah dilakukan. Kerana setiap dosa yang tidak disucikan itu menjadi asbab dilemparkan ke dalam neraka.

Pilu.

Apabila Allah sendiri yang enggan membersihkan jiwa ini di saat begitu sesak tercari-cari bantuanNya.

Sedangkan penyucian jiwa itu adalah syarat memasuki syurga.

Justeru, mahu mengikuti Firaun yang enggan membersihkan diri atau Abdullah Ummi Maktum yang bersungguh-sungguh menyucikan jiwanya meskipun diuji buta.

 

p/s penulis belum betul-betul jumpa jawapan berstruktur untuk isu ini.

One thought on ““Ajarkan aku untuk takut kepadaMu.”

  • Rasheedah

    Masha Allah Tabarakallah.
    Inilah ujian setiap saat.
    Ujian kebersihan hati.

    Thank you, Ayat.
    Barakallahu feek.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.