Hijrah : Bermula dengan menyedari “Aku” adalah “Aku”.
Dia bangun dan segera mengemas rumah. Emosi geram memenuhi ruang rasa. Andai diikutkan mahu sahaja melepaskan geram,tetapi dirasakan tidak berbaloi, lalu terus mendengus sendirian.
“Kenapalah orang-orang dalam rumah ni dah ambil barang, tak pandai simpan di tempat asal. Dahlah penat kerja seharian, balik rumah tengok rumah bersepah.”
Ketika sedang meredakan emosi yang mendidih, terdengar pula panggilan si ibu di sebalik kamar. Ada hajat yang mahu dipenuhi. Emosi yang belum stabil terus merespon berbasa-basi, mempamerkan mimik muka tidak enak kepada ibu yang banyak berbakti.
Selesai memenuhi hajat si ibu, terduduk termenung sendirian.
“Bukan baru semalam hadir program seminar Al-Quran? Baru je belajar kena layan ibu baik-baik. Hari ni dah buat perangai, sama ja macam orang yang tak belajar Al-Quran.”
***
Pernah melalui situasi sedemikian? Apabila akal disajikan makanan rohani minggu demi minggu tetapi tindakan perbuatan masih tidak menzahirkan apa yang telah dipelajari. Apakah kerana apa yang telah diketahui belum benar-benar diimani?
Baru sahaja mendengar khutbah tentang berbuat baik kepada ahli keluarga. Selepas beberapa minit sampai di rumah, sudah mula marah-marah tak puas hati ini dan itu kepada isteri yang seharian penat mengurus anak-anak dan rumahtangga.
Baru sahaja mendapat nasihat jangan mengumpat dari surah Al-Hujuraat di surau pejabat. Selesai menunaikan solat zohor, terus masuk dalam kumpulan gossip pejabat, bertukar kisah sensasi dia dan dia.
Dan bacakanlah (Muhammad) kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sehingga dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami tinggikan (darjat)nya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), maka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjelirkan lidahnya (juga). Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.
Al-‘Araf, 7 : 175-176
“Pergi atau tidak pergi ke kuliah agama, sama sahaja. Baik tak payah pergi. Begitu?”
Ibarat membuat sebuku kek,prosesnya harus dilalui dengan langkah-langkah yang betul sehingga terhasillah sebuku kek terbaik sama seperti yang telah digambarkan. Prosesnya tidak terhenti hanya pada rasa gembira mendapatkan resepi eksklusif daripada seorang pembuat kek tersohor.
Sebuku “kek” tidak akan terhasil andai prosesnya terhenti pada sekadar menyimpan resepi tersebut di dalam laci. Setiap ramuannya yang tepat harus didapatkan. Selanjutnya teknik dan prosedur membuat kek seharusnya betul. Seandainya seseorang itu hanya pandai memasak dengan cara merebus makanan. Dia tidak boleh menggunakan teknik yang sama untuk membuat kek. Bayangkan apa yang akan terjadi seandainya kesemua ramuan yang didapatkan terus dicampurkan dalam sebuah periuk lantas direbus. Apakah “kek” yang dihajati akan terhasil?
Tidak juga bukan?
Begitulah proses pembentukan seorang mukmin. HIjrah daripada diri yang kurang beriman kepada diri yang lebih beriman memerlukan proses yang telah digariskan Tuhan. Tidak hanya terhenti dan berpuas hati pada tindakan hadir di majlis-majlis ilmu.
“Saya dah ‘khatam’ kursus ustaz Nouman Ali Khan Quran Cover to Cover.”
Lalu selesaikah proses menjadi orang yang hidup dengan mengimani Al-Quran? Semudah itu, ya? Kelas-kelas Al-Quran ibarat satu mesin ajaib yang saat seseorang melangkah masuk ke dalamnya lalu “Ting”, peribadinya bertukar menjadi peribadi beriman saat keluar dari kelas tersebut.
Apakah semudah itu proses menjadi orang yang beriman?
Realitinya, setiap kita hidup dalam dunia yang sarat dengan sistem-sistem kepercayaan kebatilan , bercanggah dengan tuntunan Al-Quran, sehingga ketika ayat-ayat kebenaran itu didengarkan, hati masih meronta-ronta mahu berpegang kepada kebatilan.
“Saya tak macam tu lah.. “
Begini, izinkan saya kemukakan contoh. Sistem kepercayaan manakah yang benar antara berikut
Pertama, Kejarlah dunia tetapi jangan lupakan akhirat.
Kedua, Kejarlah akhirat tetapi jangan lupakan dunia.
Sistem kepercayaan manakah yang benar dan benar-benar “hidup” dalam dunia realiti kita?
Orang yang mengimani sistem kepercayaan yang pertama, akan kita nampak tindakannya berpusat kepada urusan dunia dan cuba membangunkan akhiratnya andai ada masa yang tersisa. Kesilapan melihat Islam dalam kaca mata sempit dan mengkhususkannya hanya pada ibadah sahaja berkemungkinan membuatkan seseorang itu berfikiran sebegini. Dia sanggup melabur sejumlah wang yang besar demi pembangunan diri yang memberi kepentingan kepada dunianya tetapi berasa berat untuk infaq kepada institusi Al-Quran yang bantu mendidiknya memahami panduan Tuhan untuk berjaya di akhirat. Dia mungkin mengetahui berpuluh-puluh tips untuk mendapatkan sales tetapi gagal memahami satu dua tips untuk berjaya di akhirat.
Sebaliknya, orang yang mengimani sistem kepercayaan yang kedua, akan kita dapati peribadinya yang sentiasa membuat terbaik dalam setiap tugasan, tidak culas dalam amanah sebagai seorang jurutera, atau doktor ataupun usahawan berjaya. Dalam tindakan sehari-hari, apa yang hadir di mindanya, apakah amal soleh yang harus dilakukan hari ini agar Tuhan redha kepadaku. Dan kesemua ini dilakukan tanpa menafikan nikmat hidup di dunia serta mensyukuri segala kemudahan dan nikmat kehidupan yang Dia kurniakan.
Dan carilah (pahala) negeri akhirat dengan apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu, tetapi janganlah kamu lupakan bahagianmu di dunia dan berbuatlah baik sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.
Al-Qosas, 28 : 77
Dunia sementara, Akhirat yang abadi.
Ini, ungkapan yang biasa didengari tetapi bukan mudah untuk memproses daripada ‘tahu’ kepada ‘yakin’ (iman). Hanya imanlah yang akan memberi kesan kepada tindakan seorang insan. Tanpa iman, segala ilmu yang diraih dan didengari di majlis ilmu khuatir sekadar tersimpan di akal fikiran tetapi gagal diterjemahkan menjadi amal soleh yang terlihat dek mata.
Justeru, apakah langkah yang perlu dilakukan agar proses Hijrah itu berlaku?
Pertama sekali, kenali diri. Sedari sistem kepercayaan yang salah dalam diri. Selagi seseorang itu menafikan sistem kepercayaan batil yang lama tertanam dalam diri, selagi itu dirinya bergelut dalam kefahaman yang menyekat daripada menerima kebenaran. Teladani Nabi Adam yang mengakui kesilapan diri saat termakan buah khuldi di syurga.
Kedua-duanya berkata “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”
Al-‘Araf, 7 : 23
Ini adalah langkah kritikal kerana bilamana seseorang itu memilih untuk terus menafikan kesalahan diri, dirinya cenderung untuk menyalahkan pihak lain dan terus berpegang kepada sistem kepercayaan yang telah lama tertanam dalam diri.
“Aku betul. Dia yang salah. Kalau aku betul, aku tak perlu berubah.”
Begitulah yang berlaku kepada Iblis. keengganannya mengakui sistem kepercayaannya yang salah dengan menetapkan bahawa dirinya lebih baik daripada Adam, menyebabkan dirinya menyalahkan Tuhan. Masih enggan mengakui kesilapan diri, iblis terus sesat dengan mengambil tindakan yang makin jauh daripada kebenaran.
Itu langkah pertama.
Langkah kedua, terima kelemahan diri agar mampu buka diri kepada potensi perubahan. Selepas sedar akan kesilapan diri, penting untuk seseorang itu menerima dirinya dengan memujuk bahawa di sana ada peluang untuk perbaiki diri. Apabila diri membuka peluang untuk take charge atau mengambil tindakan, ini memudahkan proses penanaman benih-benih Al-Quran yang baru ke dalam diri.
Sebelum itu, mari renungi keadaan yang berlaku pada Nabi Adam. Tindakan kesalahan Nabi Adam berpunca daripada penanaman sistem kepercayaan yang salah oleh iblis. Melalui ayat sebelumnya, Allah menggambarkan bagaimana Iblis berkali-kali menanamkan sistem kepercayaan yang batil kepada Nabi Adam dan Hawa sehingga kedua-duanya terperangkap dan mengimani kepercayaan yang salah.
Dan (syaitan) membisikkan fikiran jahat (berkali-kali) kepada mereka agar dinampakkan aurat mereka (yang selama ini) tertutup. Dan (syaitan) berkata “Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (di dalam syurga). Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya “Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu” Dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya.
Al-‘Araf, 7 : 20-22
Sedar atau tidak, situasi inilah yang berlaku kepada setiap kita saban hari. Kita dimomokkan dengan sistem-sistem kepercayaan yang salah sehingga melahirkan tindakan yang jauh daripada kebenaran dan bukannya amal soleh. Apa yang parah, penanaman sistem kepercayaan batil ini adalah apa yang berlaku pada majoriti sehingga saat kebenaran itu hadir, terlihat asing dan begitu sulit untuk diterima.
Kita disajikan dengan kepercayaan ilmu akademik itu sangat penting untuk “hidup” sehingga para ibu bapa begitu risaukan anak-anak dan sanggup menghantar tuisyen seawal usia. Pagi, petang sehingga ke malam, berterusan belajar bagi meraih markah tertinggi di dalam kelas.
Tetapi berapa ramai ibu bapa yang risaukan anaknya seandainya anaknya bahkan tidak pandai mengaji Al-Quran apatah lagi tidak mengetahui kemahiran menghayati kandungan Al-Quran?
Di tempat kerja pula, para pekerja begitu dedikasi dalam menjalankan amanah, membuat tugasan sebaiknya sehingga tiba waktu solat, dilanggar sahaja sambil menjawab,
“Kita dibayar gaji dengan waktu kerja sampai pukul 6. Kalau solat Asar awal, nanti curi waktu kerja. Sedangkan majikan yang bagi kita gaji setiap jam.”
Bagaimana pula pendapatmu terhadap Tuhan yang memberimu nikmat kesihatan jasad sejak lahir sehingga detik ini? Siapakah yang lebih layak diberikan hak? Majikanmu yang memberikan gaji yang terhad atau Tuhan yang memberikanmu nikmat hidup sejak lahir?
Cabaran bukan?
Bilamana sistem kepercayaan batil ibarat banjir yang memenuhi ruang lingkup pemikiran kita dan sistem kepercayaan kebenaran itu sayup-sayup sahaja kedengaran. Realitinya, kita sulit mengubah apa yang berada dalam dunia luaran kita. Kita tidak boleh memaksa kepada seluruh teman-teman,
“Mulai hari ini, kalian tidak dibenarkan menuturkan sistem kepercayaan yang salah kepada saya ok. Kena cakap pada saya yang dalam Al-Quran sahaja.”
Perkara ini tidak akan berlaku. Bahkan selain manusia, jangan dilupakan syaitan yang tidak terlihat dek mata dan sentiasa membisikkan sistem kepercayaan yang bertentangan dengan Al-Quran ke dalam hati kita.
Disebabkan inilah, jiwa yang mahu hijrah itu perlu mengambil langkah ketiga.
Langkah ketiga adalah mengambil tindakan terus dan terus belajar Al-Quran.
Penanaman sistem kepercayaan yang benar perlukan proses berterusan sehingga hati itu benar-benar mengimaninya. Kita juga memerlukan rahmat dari Nya agar kebenaran yang didengari itu benar-benar menumbuhkan keimanan sehinggakan melahirkan amal soleh. Lazimi diri membaca Al-Quran dengan memahami maknanya. Usahakan untuk menghafal ayat-ayatNya agar saat mendirikan solat, solat itu sendiri menjadi satu “mesin” penanaman benih-benih iman yang baru melalui proses menghayati ayat-ayat Allah itu sendiri.
Sesungguhnya, Aku ini Allah, tidak ada tuhan selain Aku, maka abdikanlah diri kepadaKu dan laksanakanlah solat untuk mengingati peringatan dariKu (Al-Quran)
Toha, 20 : 14
Laluilah proses ini melalui tilawah, tadabbur, tazakkur, tadarrus dan selanjutnya sehingga menimbulkan keyakinan yang benar-benar mantap. Keimanan yang benar inilah yang akhirnya dengan mudah membuahkan amal soleh dengan penuh ketundukan dan rasa yang bahagia mentaatiNya.
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari kecuali pada sebahagiannya. Iaitu separuh daripadanya atau kurang sedikit daripada itu. Atau lebih daripada (seperdua), dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sesungguhnya bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan pada waktu itu) lebih memberi kesan.
Al-Muzzammil, 73 : 1-6
Hijrah, satu proses membuang sistem kepercayaan (iman) yang salah.
Hijrah, satu proses menanam sistem kepercayaan kebenaran yang berpandukan wahyu.
P/s – Berjaya membaca sehingga sini. Doakan saya yang dalam proses hijrah ya. Jazakumullahu khairan kathira.
Insha Allah….Aamiin