Seteguh akar, cabangnya menjulang ke langit.
“Saya tak naklah tolong dia. Nanti orang nampak, takut riak pula.”
– “Ha? Dah tu, tak nak tolong eh.”
“Ye lah. Kalau riak nanti sia-sia je beramal. Baik tak payah buat terus.”
– “Riak tu yang perlu diurus. Bukan tindakan menolong tu. “
Seringkali, kesilapan dalam mendiagnos punca masalah menghambat banyak peluang-peluang amal kebaikan. Punca masalah tidak dirawat tetapi kesan atau komplikasi punca masalah pula menjadi fokus. Akibatnya, insan yang mahu berubah terasa peritnya perjuangan merawat komplikasi sedangkan “penyakit”nya kerap kali datang kerana punca sebenar tidak diberikan perhatian.
Misalnya, terkait isu di atas. Penyakit riak merupakan symptom atau akibat penyakit yang puncanya mengakar jauh ke bahagian sistem kepercayaan atau iman. Sekadar mengelakkan diri daripada riak tidak menyelesaikan punca penyakit. Jangan sampai saat ajal menjemput, masalah keimanan ini masih belum selesai sedangkan telah tiba saat pertemuan dengan Tuhan.
Untuk memahami hal ini, apa kata kita renungkan perumpamaan yang Allah gambarkan dalam surah Ibrahim.
Tidakkah kamu memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya kuat dan cabangnya (menjulang) ke langit, (pohon) itu menghasilkan buahnya pada setiap waktu dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perumpamaan itu untuk manusia agar mereka sentiasa ingat. Dan perumpamaan kalimah yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut akar-akarnya daripada permukaan bumi; tidak dapat tetap (berdiri) sedikitpun.
Ibrahim, 14 : 24-26
Dari ilmu sains kemanusiaan, setiap tindakan sama ada berbentuk perilaku fizikal ataupun emosi, kedua-duanya berpunca daripada sistem kepercayaan (iman) yang mengakar dalam diri individu.
A (Activating Events) | B (Beliefs) | C (Consequences – Behaviour or emotion) |
Ada kawan meminta bantuan | Kalau saya bantu dia menggunakan kudrat saya, wah, bagusnya saya. | Emosi / rasa riak.
Kerana takut riak, perilakunya adalah enggan membantu. Atau jika dirinya tidak kisah untuk riak, dia akan terus membantu sambil merasa hebatnya diri sendiri. |
Andai dianalisa proses yang berlaku dalam diri manusia tersebut, apa yang perlu dirawat dan diperbaiki? Apakah B (Belief) yang perlu diperbaiki atau C (Consequences – Emosi/Tindakan)?
Kebanyakan manusia berfokus kepada apa yang terzahir iaitu pada bahagian C. Lalu tatkala timbul rasa riak, terus memaksa diri untuk tenang, tarik nafas dalam-dalam, sambil berkata-kata kepada diri.
“Jangan riak please, nanti habis semua pahala.”
Berkali-kali memujuk diri.
Apakah masalah akan selesai?
Allah mendidik kita dalam surah Ibrahim untuk merawat diri dengan kalimah-kalimah kebenaran kerana dengannya, akan terlahir peribadi yang teguh selari acuan Al-Quran, ibarat pohon yang cabangnya menjulang ke langit bahkan memberikan buah seizin TuhanNya.
Lalu, apakah kalimah-kalimah yang baik yang boleh menggantikan B(Belief) sistem kepercayaan yang telah mengakar tersebut?
A(Activating Events) | B (Belief) | C (Consequences) | |
Ada kawan meminta bantuan | Kalau saya bantu dia menggunakan kudrat saya, wah, bagusnya saya. | Emosi / rasa riak.
Kerana takut riak, perilakunya adalah enggan membantu. Atau jika dirinya tidak kisah untuk riak, dia akan terus membantu sambil merasa hebatnya diri sendiri. |
|
D (Dispute the belief) | E (Effect) | F (new Feelings) | |
Bila saya bantu orang lain, itu adalah rezeki dari Allah yang saya kena beri/infaq seperti dalam surah Al-Baqarah,2 : 3.
Segala puji dan syukur kembali kepada Allah, bukan saya.
Saya yang perlukan amal soleh membantu orang lain,supaya selamat. Allah kan dah banyak bantu saya. Seperti dalam surah Al-Qosas, 28 : 77 |
Emosi – Rasa syukur kepada Tuhan kerana dikurniakan rezeki (tenaga / sihat/ ilmu / harta etc) untuk infaq.
Tingkahlaku – Menolong teman penuh rasa ketundukan dengan meyakini segala kudrat yang ada adalah dari Tuhan. |
Rasa syukur dikurniakan peluang amal soleh.
Rasa takut seandainya Allah tidak menerima amalan. |
Contoh di atas sekadar kaedah rawatan, memperbaiki isu-isu dalaman seorang manusia. Hanya 2 ayat yang dipilih untuk dihadam dan mematahkan sistem kepercayaan yang telah lama mengakar sehingga berbuah menjadi tindakan yang selari dengan panduanNya.
Pasti, setiap kita memiliki masalah-masalah kehidupan.
Seandainya setiap isu kehidupan dilihat dari perspektif akhirat, pastinya iman yang hidup akan memujuk.
“Setiap takdir ini adalah checkpoint yang telah ditetapkan Allah untuk Dia menguji aku. Apakah aku memilih untuk respon selari panduan Al-Quran atau masih terperangkap dalam solusi sendiri yang adakalanya membuatkan aku rasa makin jauh dari Tuhan?”
Tidak dinafikan, bukan mudah melaksanakan apa yang disyorkan.
“Tak pernah dibuat orang! Memperbaiki dunia dalamanku? Aish… Pelik ni.”
Tetapi ini realiti yang perlu diambil peduli.
Kerana ini terkait isu akidah.
Menjadi seorang yang suka marah-marah? Ada sistem kepercayaan yang perlu diperbaiki kerana keyakinan yang mengakar itu yang mencorak peribadi.
Menjadi pasangan yang kuat merajuk dan sering mencari salah orang lain? Ada sesuatu dalam sistem kepercayaanmu (self-talk) yang mengakar jauh dan perlu dirawat sehingga perlu digantikan dengan sistem kepercayaan yang benar.
Realitinya, kesemuanya terkait sistem kepercayaan. Dan ini semua cerita iman.
Sedangkan iman yang benar, benihnya Al-Quran.
Iman yang salah, melahirkan peribadi yang jauh daripada celupan Al-Quran.
Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu “Ambillah (dan amalkanlah ajaran kitab Taurat) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah” mereka menjawab “Kami dengar dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah mesra dan sebati di dalam hati mereka dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah “Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh IMAN kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman.”
Al-Baqarah, 2 : 93
Tadabbur sebentar ayat di atas. Tindakan orang islam zaman dahulu yang enggan ikut apa yang ada dalam Al-Kitab, berpunca daripada iman (sistem kepercayaan) yang telah sebati dalam dirinya.
“Saya dengar, tapi menderhaka.”
Orang Islam zaman dahulu dah ditempelak Allah.
Kita, orang Islam zaman sekarang, nak ulang kesilapan yang sama?
***
Belumkah tiba saatnya untuk kembali mendengar QalamNya, memahami kata-kataNya, dan bertindak selari panduanNya?
Jzkk kak ayat for jawapan untuk elakkan riak…😁