Tadabbur Tazakkur

Tujuan hidup yang tidak disedari.

Jam 2 petang.

Kelihatan Ameerah mundar-mandir di koridor kelas, memberi isyarat kepada rakan-rakannya agar bersegera disiplin masuk ke dalam kelas. Sejak selesai musim peperiksaan akhir tahun pada minggu lepas, kebiasaannya para pelajar mula “liat” untuk belajar, menanti-nantikan musim cuti sekolah.

“Tapi, kenalah hormat cikgu yang masuk kelas. Mana boleh lewat masuk kelas lepas rehat.”

Dia hanya menahan geram melihat karenah teman-temannya yang bahkan sorok-sorok membawa games ke sekolah, kononnya mahu enjoy usai musim peperiksaan. Ameerah mengerling ke jam dinding, “2.05 petang.” Sedangkan baru 60% rakan sekelasnya kembali sesudah sesi rehat.

“Eh! Cikgu dah datang lah.” Nabilah dari jauh melaung.

Lantas semua berpusu-pusu kembali ke kerusi masing-masing. Ketika guru sudahpun menginjak langkahan kakinya ke dalam kelas, serentak laungan salam diberikan, tanda penghormatan kepada guru yang mengajar.

Cikgu Hajar senyum memerhatikan anak muridnya.

“Mana yang lain?”

– “InsyaAllah sekejap lagi mereka masuk. Maaf cikgu.”

“Takpe. Cikgu datang ni bawa sehelai kuiz untuk dijawab serta-merta.”

Ada yang menjegilkan matanya. Berbisik dalam hati “Kan baru lepas exam minggu lepas?”

Cikgu Hajar seakan-akan memahami apa yang berada di benak fikiran pelajar-pelajarnya.

“Sebenarnya begini. Kawan cikgu baru buka resort baru di Sabah. Subhanallah cantik tempat tu dengan pemandangan laut dan langitnya. Macam-macam aktiviti untuk nature lovers di situ termasuklah aktiviti scuba diving. Lepas tu, dia bagi cikgu beberapa tiket percutian 5 hari 4 malam, sekali dengan tambang penerbangan ke sana.”

– “Wah! Bestnya cikgu.”

“Cikgu ada 5 tiket free lagi nak bagi ni. Cikgu hajat nak bagi kepada seorang sahaja untuk dia bawa ahli keluarganya ke sana. Susah nak pilih siapa. Jadi, siapa yang dapat markah tertinggi melalui kuiz ini, dia layak untuk dapat tiket tu.”

Serentak itu, mata para pelajarnya bersinar-sinar. Mengharapkan rezeki tersebut jatuh ke tangannya. Lantas kuiz yang diberikan dijawab penuh kesungguhan dan rasa bahagia.

Selang  20 minit kemudian, kelihatan sekumpulan pelajar lewat masuk ke dalam kelas.

“Maaf cikgu, kami lambat.”

Cikgu Hajar sekadar tersenyum. Memberi isyarat untuk mengambil helaian kuiz dan menjawab dengan senyap.

Najwa sedikit terkejut. Namun, dia akur lalu mengambilnya dan terus duduk di meja belakang. Mereka berbisik-bisik sesama sendiri.

“Eh, cikgu ni memandai je bagi kuiz. Mana boleh. Exam dah habis minggu lepas.” Nadirah meluahkan rasa.

– “Tu lah. Dahlah soalan susah-susah. Kuiz mengejut pulak tu. Geramlah dengan cikgu ni. Tak nak bagi students dia rehat langsung. Ingat kita ni robot ke nak kena perah otak setiap hari.”

“Jom kita pakat semua jangan jawab. Kita ajar sikit cikgu ni. Kalau saya report kat mak saya, boleh jadi isu dalam PIBG ni.”

***

Tidak suka dengan ujian?

Sentiasa mahu lari setiap kali hadir ujian-ujian kesulitan?

Bahkan menyalahkan dan marah kepada yang mengurniakan ujian serta tertanya-tanya mengapa diri ini diuji?

Bingkisan cerita yang diketengahkan sekadar gambaran perbezaan manusia dalam menyikapi ujian. Dua karakter utama ditonjolkan yang berkait rapat isu kejelasan dan tujuan ujian yang dihadirkan. Ada sekelompok manusia menerima bahawa ujian merupakan syarat untuk meraih ganjaran yang besar lantas corak fikir dan kefahaman sebegini melahirkan peribadi yang mensyukuri ujian yang diterima “Alhamdulillah aku diuji. Ini maknanya Allah memilih aku menjadi calon untuk mendapatkan syurga.”

Pada masa yang sama, ada juga sekelompok manusia yang melihat ujian sebagai sesuatu yang dibencinya. Dia memikirkan “Inilah azab Tuhan kepadaku. Tuhan sedang marah kepadaku.” Akibatnya, ujian yang hadir dihadapi penuh rasa keterpaksaan dan sangka buruk kepada Tuhan yang menciptakan.

Realitinya, ujian itu untuk apa?

Alif Laam Miim. Adakah manusia fikir bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman” dan mereka tidak diuji ? Sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.

Al-‘Ankabut, 29 : 1-3

Bayangkan sahaja diri anda menjadi watak-watak yang berada dalam babak yang dipaparkan pada awal artikel ini. Anda lebih selesa menjadi watak yang mana? Menjadi pelajar yang tahu tujuan ujian (kuiz) diberikan ataupun menjadi pelajar yang tidak tahu tujuan ujian diberikan kepadanya?

Bagaimana pula dengan hidup yang pasti berakhir dengan sebuah kematian ini? Apakah anda telah menyedari bahawa memang hidup ini hakikatnya untuk menguji imanmu bagi membuktikan bahawa dirimu layak meraih sesuatu yang jauh lebih baik dan abadi? Bahkan ujian merupakan syarat untuk mendiami syurga tatkala diri yang diuji berjaya melepasinya dengan sebaik-baik pilihan, selari pedoman wahyuNya.

Dan orang-orang yang beriman dan melakukan kebaikan, pasti akan Kami hapuskan kesalahan-kesalahannya dan mereka pasti akan Kami beri balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka lakukan.

Al-‘Ankabut, 29 : 7

Al-Quran, Qalam Tuhan yang dibukukan ini merupakan satu-satunya buku yang menjelaskan dan menerangkan kepada setiap manusia bahawa..

“Kamu hidup ini memang untuk diuji. Pasti.”

Seorang manusia yang hidup di dunia ini dengan pedoman surah Al-‘Ankabuut seharusnya memiliki sebuah peringatan yang seringkali berbisik kepada dirinya “Saya sedang diuji, saya sedang diuji, saya sedang diuji.” Kesannya, lahirlah peribadi yang besar jiwanya dengan matlamat yang jelas dan bersegera kembali kepada Tuhan pada setiap ketika.

Memiliki banyak masa lapang dengan kesihatan tubuh badan. Kecamlah diri sendiri“Oh, saya sedang diuji! Apa yang saya nak buat dengan nikmat ini?”

Memiliki pasangan hidup dan ahli keluarga yang buruk akhlaknya sehingga menimbulkan rasa sakit hati dan benci. Bisikkan pada diri “Saya sedang diuji. Apa yang saya nak buat dengan kerapuhan ikatan kekeluargaan ini?”

Kesenangan ataupun kesulitan, kedua-duanya tetap ujian. Kerana itulah hakikat kehidupan. Ada manusia dikurniakan ujian berupa kesulitan dan kesakitan sehingga dirinya dekat dengan Rabbnya dan mati dalam keadaan iman kepada Tuhan.

Namun ada juga manusia yang diuji dengan kesenangan, lalai daripada mengingatiNya sehinggakan saat kematian itu hadir, dia kembali dalam keadaan jauh dariapda Tuhannya.

Justeru, isu yang patut diperhalusi dan difikir-fikirkan bukanlah persoalan “Mengapa saya diuji begini?” Sedangkan, persoalan yang lebih penting untuk difikirkan adalah

“Ujian saat ini paling kurang akan berakhir dengan kematian. Bagaimana kematian saya nanti? Apakah kematian saya kelak dalam keadaan bertaubat dan bergantung kepada Tuhan?”

Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan. Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan Kami tempatkan di tempat-tempat yang tinggi, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang berbuat kebajikan. Iaitu orang-orang yang bersabar dan bertawakal kepada TuhanNya.

Al-‘Ankabut, 29 : 57-59

Ujian itu syarat untuk dihadapi agar pertemuan denganNya kelak akan dikurniakan syurga.

Persoalannya,

“Saya nak syurga ke tak?”

Lalu, mahu mengambil pengajaran dari Surah Al-‘Ankabut atau tidak?

 

___________________

Inspirasi Ibrah Surah Al-‘Ankabut

Penyampai : Ustaz Muhammad Shaari Abdul Rahman.

One thought on “Tujuan hidup yang tidak disedari.

  • Aiman La Yubali

    Ujian berbentuk kesengan dan kesusahan…tetapi dua2 nya ada objektif yg satu agar kita sedar untuk kembali kepada Dia….

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.