Tadabbur Tazakkur

Didik Cinta

Umar & Imran.

Dua orang pemuda yang dipertemukan dalam satu gerabak keretapi.

Umar yang kekurangan serba-serbi, berwajah muram, tidak selesa sejak awal.
Imran dari mula tidak berani menegur. Namun akhirnya bersuara jua memecahkan suasana kurang selesa itu.

“Apa khabar, Bro?” Imran memulakan
– “Ok”. Umar tersenyum berbasa-basi.
“Makan?” Imran menunjukkan makanannya sambil mempelawa.

Umar diam pada mulanya. Mungkin kerana lapar, dicapai jua sandwich seorang teman yang tidak dikenalinya.

-“Terima kasih.”
“Awak lapar ya.” Imran cuba memahami.
-“Ya. Sebenarnya. Saya tertinggal beg di terminal stesen tadi. Semua barang-barang keperluan saya di situ. Makanan. Baju..”

“Awak rasa susah dengan keadaan itu.”

-“Siapa tak rasa susah? Saya tak tahu dah macammana nak masuk asrama ni, dengan semua barang tertinggal.”

Imran terdiam.
Tidak tahu bagaimana untuk menenangkan.
Seketika kemudian, Umar menyambung perbicaraan.

“Salah saya lah. Saya tersilap masuk train asalnya. Nasib baik sempat. Saya sedar yang saya tersilap 10 minit sebelum keretapi ni bergerak. Tu yang berlari macam orang gila. Alhamdulillah sempat kejar. Tapi beg pula tertinggal.”
– “Besar ujian awak. Macammana boleh tersalah keretapi?”
 “Sebab nama destinasi lebih kurang sama. Saya nak ke Simunjan. Tapi tersilap masuk ke keretapi Simunjau.”
-“Eh, betullah. Memang keretapi ni ke Simunjau.”
” Bukan, keretapi ni ke Simunjan. Saya dah semak banyak kali.”

-“WHAT!!! Saya tersilap naik ke?”

Kali ini, giliran Imran pula terkejut dan gelabah.

***

Dalam kehidupan, melakukan kesilapan & dosa itu pasti. Kerana memang begitu sifatnya manusia yang pelupa. Namun, ada kesilapan yang masih boleh diperbaiki. Ada pula kesilapan yang membawa kepada akibat buruk yang amat teruk.

Misalnya, kesilapan tertinggal beg, sekadar memberi kesulitan dari segi keselesaan dan sedikit gangguan terhadap keperluan asas. Namun, destinasinya masih boleh dituju. masih dapat tiba di destinasi.

Namun, kesilapan menaiki keretapi yang salah, mengakibatkan destinasi yang semakin menjauh. Gagal tiba di tempat yang dituju.

Di dunia tidak apa lagi. Masih ada ruang untuk berpatah balik, mencari jalan pulang. Bagaimana pula di akhirat? Bagaimana seandainya dosa-dosa yang dilakukan mengakibatkan destinasinya neraka, jauh dari syurga? Syurga yang diangan-angankan selama ini ternyata jauh dari realiti? Pasti, ini penyesalan terbesar.

Justeru setiap jiwa itu seharusnya berhati-hati dan terus melakukan penyucian jiwa, membersihkan diri dari dosa. Dan ada satu dosa yang paling utama untuk dibersihkan, itulah dosa SYIRIK.

إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ ۚ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا

(Abdullah Muhammad Basmeih)
Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

-Sura An-Nisa’, Ayah 116

 

***

Syirik?

“Bukan saya, saya tidak pernah mensyirikkan Allah. Saya tak sembah patung.”

Saat pulang dari tempat pertemuan tempoh hari, terlihat satu iklan besar mengenai kartun anak-anak. Watak-wataknya anak-anak Malaysia. Berpakaian sopan menutup aurat. Dan kesemuanya memiliki kuasa istimewa yang tiada dimiliki manusia biasa. Boleh mengawal api, mengawal air, mengawal minda.

Wah.

Hebat.

“Kartun ni syirik.”
– “Eh, kenapa?”
“Perasan tak kartun ni mengajar anak-anak dalam pemikiran bawah sedar bahawa ada selain Allah yang berkuasa. Ada manusia yang mempunyai kuasa air seperti mukjizat Nabi Musa & Nabi Nuh? Kuasa mengawal minda umpama mukjizat Nabi Sulaiman yang ditundukkan seluruh makhluk.”
– “Eh. Ya lah. Tak perasan. “
“Rasa-rasanya apa akibatnya?”
– “Errr.”

“Anak-anak hilang rasa sensitif terhadap keagungan Allah. Tanda-tanda kebesaran Allah terlihat biasa. Perlukan miracle untuk rasa ‘hebatnya Allah’. Apa yang lebih parah, menerima bahawa ada manusia selain Allah yang berkuasa. Itulah Superhero mereka.”

 

***

 

Ibu bapa yang mengasihi anak-anak dan bertungkus-lumus mendidik penuh cinta, pasti mahu memberikan yang terbaik buat si anak.

Berusaha menghadiri segala seminar keibubapaan. Belajar kemahiran baru bagi merangsang pertumbuhan otak & fizikal anak seawal usia. Belajar bagaimana mengajar anak membaca secepat mungkin.

Izinkan saya bertanya.

Sudahkah tahu apa pendidikan paling utama dan prioriti melalui panduan tuhan?

Sudahkah mendidik anak-anak untuk tidak mensyirikkan Allah?

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

(Abdullah Muhammad Basmeih)
Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar”.

-Sura Luqman, Ayah 13

“Aish.. Mengapa nak didik anak untuk tidak mensyirikkan Allah? Kami memang bukan keluarga yang guna tangkal/sihir. Dan kami juga bukan penyembah patung.”

Syirik itu, bukan sekadar tidak menyembah patung.

Tidak syirik itu, mendidik anak-anak untuk mengesakan Allah, mengenali Rabb.

Allahlah Rabb, bukan yang lain.

Allahlah sang Pencipta Yang Berkuasa mentadbir dan mengurus alam dari segala bahaya. Bukan segala Superheroes yang diagungkan, memiliki kuasa sakti menyelamatkan bumi.

Allahlah Pemberi Rezeki. Dialah yang menumbuhkan segala benih. Dia yang menurunkan hujan. Dia yang menciptakan segala organ yang memungkinkan segala makanan dapat dicernakan. Bukan ibu bapamu yang memberikan rezeki. Ada Tuhan di sebalik nikmat yang dikecapi.

 

***

 

Mendidik anak penuh cinta.
Bermula dengan mengenalkan anak kepada Tuhan melalui tanda-tanda kebesaranNya yang terbentang di alam. Lihatlah langit tanpa tiang. Lihatlahlah burung terbang yang tidak jatuh.

Tunduk bersyukur padaNya.

Wahai Anak, jangan syirikkan Tuhan!

Mahu tahu petanda si anak tidak mensyirikkan Tuhan, meletakkan pergantungan kepada Tuhan, memurnikan pengharapannya kepada Tuhan? Ya, segala-galanya disandarkan kepada Tuhan. Bahkan saat jatuh tersadung tidak terus memanggil “Ibu! Ayah!” tetapi bibirnya segera menyeru Tuhan.

Selami video ini.

Seorang anak kecil tertimpa runtuhan bangunan.

Dan yang terus meniti bibirnya adalah Tuhannya “Ya Robbi! Ya Robbi!”

Bahkan bukan “Ibu dan ayah.”

Tulus jiwamu, mentauhidkan Rabb.

https://www.youtube.com/watch?v=HiShMO2BH_M

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.