Tadabbur Tazakkur

Hidup ini pilihan : Tiket ke syurga sudah habis !

-“Kamu mahu ke mana?”

“Pulang ke negeri seberang.”

-“Dah beli tiket?

“Mestilah. Kalau habis nanti, naya.”

Saat dipasakkan niat untuk berangkat ke destinasi, segala persiapan dilakukan. Bermula dengan proses membeli tiket sehinggalah kepada penyiapan perbekalan menuju ke sana. Begitu sikap kita di dunia ini. Andai enggan berangkat, kemungkinan tindakan pagi itu meneruskan tidur berehat-rehat di rumah.

Tindakan, bertitik-tolak daripada pilihan dan kehendak diri.

Dan begitulah, seandainya setiap manusia peduli untuk memilih ke syurga, pastinya setiap kedai-kedai buku laris dengan penjualan Al-Quran. Andai semua manusia mahu ke syurga, niscaya Al-Quran itu laku keras.

Ini kerana, Al-Quran umpama tiket ke syurga.

Persoalannya, adakah saya mahu ke syurga sehingga tindakan saya menzahirkan kemahuan saya yang menolak untuk ke neraka?

Kami berfirman “Turunlah kamu semua daripada syurga! Kemudian jika datang kepadamu petunjukKu, maka barangsiapa mengikuti petunjukKu, nescaya tiada ketakutan dan dukacita ke atas mereka. Bagi orang-orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya. ”

Al-Baqarah, 2 : 38-39

Ada manusia, memilih untuk duduk-duduk di persimpangan. Enggan membuat pilihan dalam hidup. Sekadar menghadapi hidup seadanya, mengikut ke mana arus membawanya.

“Hey! Awak nak ke syurga ke tak?”

Dijawab dengan diam.

Tidak menjawab “Ya” dan tidak juga menjawab “Tidak”.

Memandang kosong tanpa tindakan.

Dan terus menjalani hidup secara autopilot.

Enggan membuat pilihan?

“Kau ingat syurga tu, bapak kau punya?”

Puncanya bermula dengan keengganan menggunakan akal. Enggan menggunakan kapasiti berfikir. Enggan memaknai firman Tuhan. Atau masih menganggap Al-Quran itu cerita dongeng? Tidak perlu diambil pengajaran?

Mari memaknai sejarah Nabi Adam ini sekali lagi.

Kami berfirman “Turunlah kamu semua daripada syurga! Kemudian jika datang kepadamu petunjukKu, maka barangsiapa mengikuti petunjukKu, nescaya tiada ketakutan dan dukacita ke atas mereka. Bagi orang-orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya. ”
Al-Baqarah, 2 : 38-39

“Ini cerita Nabi Adam.”

Manusia yang membaca ayat ini, dan masih tidak berbuat apa-apa serta mengambil pengajaran daripadanya, sama sahajalah dengan manusia yang menganggapnya sebagai cerita dongeng. Tiada manfaat untuk diambil pengajaran.

“Ini cerita je.”

Al-Quran cerita dongeng? Eih?

Tetapi manusia yang menganggapnya sebagai berita dari Tuhan, niscaya mampu melihatnya sebagai satu ayat pilihan.

Tuhan sedang memberiku pilihan. Mahu memilih petunjuk dariNya atau tidak? Nak syurga ke tak?

Bahkan, sekadar mahu sahaja tidak cukup. Haruslah disusuli dengan tindakan perbuatan.

Misalnya, ada seorang pemuda berada di lapangan terbang KLIA. Dia bakal berangkat menaiki pesawat di gate B. Saat tiba di persimpangan laluan, papan tanda menunjukkan laluan ke A atau ke B. Dia masih berdiri di situ, berulang kali membaca petunjuk laluan tersebut. Lalu temannya menyergah.

“Hoi! Jalanlah! Ikut laluan B tu. Kita dah lewat ni.”

Dia sekadar memandang temannya, membiarkan temannya berlalu. Sedangkan dirinya masih berdiri di situ, membaca petunjuk laluan berkali-kali. Sehingga akhirnya, pesawat yang seharusnya dinaiki sudahpun selamat berlepas tanpa sempat dirinya menjadi penumpang kerana masih tidak berganjak di persimpangan.

Begitu lagaknya seorang manusia yang sudahpun membaca ayat-ayat Quran sebagai panduan menuju syurga. Tetapi, prosesnya terhenti sekadar di situ. Terus membaca panduan dari Tuhan tanpa membuat pilihan untuk tunduk,  selanjutnya bergerak dan bertindak merealisasikan amal soleh.

Sesungguhnya, Al-Quran ini memberi petunjuk ke (jalan) yang paling lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang melakukan amal soleh, bahawa mereka akan mendapat pahala yang besar.

Al-Isra’, 17 : 9

Lalu, sudahkah sanggup membuat pilihan untuk ke syurga? Atau masih mahu memilih “diam”?

 

One thought on “Hidup ini pilihan : Tiket ke syurga sudah habis !

  • Alhamdulillah..

    Membina MAHU ❤
    Membina TAHU😓

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.