Seperti mentari yang tepat waktunya, tunduk kepada aturan Tuhan
Pagi dinihari.
Jendela terus dibuka mengizinkan bayu lembut menyapa diri.
2 jam lagi sebelum fajar menyingsing, lantas berbaki waktu ini apa yang mahu diisi..
Manusia ni, tahu-tahu sahaja merancang waktunya.
Tahu mengagak bila mentari akan hadir.
Tahu mengagak bila malam akan berlabuh.
Tahu menghitung waktu demi waktu.
Kerana alam tidak pernah terlambat taat kepada Tuhan. Matahari tidak pernah gagal memancarkan sinarnya di pagi hari. Bulan tidak pernah terlambat mengelilingi bumi. Langit menjadi saksi tepatnya malam dan siang yang hadir. Bumi dengan hamparannya menjadi saksi tepatnya ketaatan seluruh jagat raya. Memungkinkan tumbuhan-tumbuhan mampu menggunakan karbon dioksida di malam hari. Juga cukup membebaskan oksigen di siang hari. Semua ini takkan berlaku tanpa ketepatan ketaatan setiap makhluk Tuhan.
Demi matahari dan sinarnya di pagi hari. Demi bulan apabila ia mengiringi. Demi siang apabila menampakkannya. Demi malam apabila menutupinya. Demi langit serta pembinaannya. Demi bumi serta seluruh hamparannya. Demi jiwa serta penyempurnaannya.
Asy-Syams, 91 : 1-6
Dan ada satu makhluk yang sempurna penciptaannya. Sempurnanya penciptaan manusia dengan kapasiti memilih ketaatan meskipun di sana sentiasa bersimpang antara dua pilihan. Mampukah manusia untuk bersegera memilih taat saat dipaksa membuat pilihan detik demi detik? Mampukah manusia untuk tepat setiap waktu memilih taat seperti tepatnya seluruh alam tunduk kepada Tuhan?
Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketakwaan. Sungguh beruntung orang yang menyucikan (jiwa itu). Dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.
Asy-Syams, 91 : 8-10
Terjaga dari tidur di pagi hari, enggan berfikir membuat pilihan? Atau bersegera menggenggam sabar, terus memilih untuk memilih. “Aku harus bangkit, segera mendirikan solat subuh!”
Berjalan melintasi laluan ramai, terlihat si miskin gelandangan membersihkan “rumahnya”. Mahu berlalu enggan berfikir. Atau bersegera terus berfikir “Rezeki ini ada hak si miskin yang harus dihulur.”
Ada ketika waktu lapang menguji diri. “Sibuk” membuang masa tanpa arah tujuan. Mahu meneruskan agenda seperti manusia tanpa wawasan syurga, atau bersegera memilih taqwa “Kena taubat sekarang! Keluar dari keadaan ini.”
Berusaha untuk tepat memilih taat setiap kali berada di persimpangan. Seperti tepatnya ketaatan matahari, bulan, langit dan bumi. Bukankah jalan ketaqwaan itu jelas dengan turunnya wahyu Tuhan?
Tidak ada paksaan dalam agama (Islam); telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada taghut (hukum selain Al-Quran) dan beriman kepada Allah (berhukum kepada Al-Quran), maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.
Al-Baqarah, 2 : 256
“Kenapalah kita diciptakan kena susah-susah buat pilihan. Kenapa tak automatik je taat macam langit dan bumi?”
Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang paling baik amalannya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.
Al-Mulk, 67 : 2
“Tapi tiba-tiba nak berhenti, berfikir, lalu memilih, itu semua sulit. Lebih-lebih lagi saat bergelumang dengan apa-apa yang nafsu suka dari dunia, memilih berehat-rehat dan enggan ‘sakit’ serta ‘bersusah payah’.”
Merasakan hidup ini lebih mudah autopilot? Ikut sahaja kehendak diri tanpa perlu bersusah-susah menggunakan kapasiti akal?
“Tak payahlah guna akal ini, biar ‘berkarat’. Kalau boleh dibuang akal ni, buang sahaja sebab dah lama tak guna.”
Kerana hidup ini cukup dengan tidur, bangun tidur, cari makan, berehat-rehat, kemudian tidur kembali. Usah berfikir!
Dan sesungguhnya,akan Kami isi neraka Jahannam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Al-‘Araf, 7 : 179
Mengapa memilih hidup seperti binatang ternak sedang Allah telah memuliakan sebagai manusia?
“Errr.. Yelah, hidup sesuka hati tanpa berfikir, main langgar je, itu lebih mudah. Enjoy kononnya. So, sekarang bagaimana nak jadi mampu memilih tu?”
2 perkara yang harus diperhatikan.
Pertama, 3 pancaindera yang memampukan manusia membuat pilihan. Sama ada pilihan baik mahupun buruk. Ketiga-tiga pancaindera ini ibarat pintu masuknya sumber informasi yang menatijahkan peribadi dan akhlak seseorang manusia. Andai ketiga-tiga alat ini disajikan dengan hal-hal yang cenderung kepada maksiat seperti drama-drama penuh emosi meskipun hanya ilusi serta bacaan-bacaan melalaikan yang menghilangkan sensitiviti terhadap maksiat, nah, kemampuan memilih taqwa itu melemah. Akibatnya, hati sebagai raja manusia lebih cenderung memilih jalan kejahatan.
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur.
An-Nahl, 16 : 78
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawaban.
Al-Isra’, 17 : 36
Manusia menjadi tahu melalui pendengaran dan penglihatan. Apa yang didengari dan apa yang dilihat sehingga membenihkan sistem kepercayaan dalam hati? Lalu hati yang disuburkan menggerakkan ‘mahu’. Terus mengakar dan tumbuh melahirkan peribadi manusia.
Ini, perkara pertama. Hati-hati dengan 3 pancaindera ini. Koreksi, apakah sumber informasi yang diberikan kepada ketiga-tiganya.
Kedua, Penerapan Al-Quran sebagai sumber informasi utama setiap manusia di muka bumi ini. Kefahaman Al-Quranlah yang seharusnya menyeliputi penglihatan, pendengaran dan hati sehingga lahirlah jiwa-jiwa Qurani.
Thaa Siin Miim. Inilah ayat-ayat kitab (Al-Quran) yang jelas.
Asy-Syu’ara, 26 : 1-2
Maka adakah orang yang mengetahui bahawa apa yang diturunkan Tuhan kepadamu adalah benar, sama dengan orang yang buta? Hanya orang berakal yang dapat mengambil pengajaran.
Ar-Ra’d, 13 : 19
“Akal? Balik-balik cerita pasal akal..”
Kerana iman itu bukan sekadar menghafal rukun iman tanpa tumbuh menjadi peribadi. Kerana iman itu bukan ibarat ‘tag nama’ yang boleh dibeli mahupun diwarisi. Iman itu mewajibkan penggunaan akal yang dengannya manusia mencerap kefahaman Al-Quran. Tiada manusia mampu beriman tanpa memahami Al-Quran dengan aqalnya.
Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah; dan Allah menimpakan kemurkaan kepada orang-orang yang tidak menggunakan akalnya.
Yunus, 10 : 100
“Baik. Maka saat ini, apa yang harus dipilih?”
Ketika hati terasa berat membuka helaian Al-Quran, terlintas enggan meraih petunjuk ilahi, ketika itulah hati wajib memilih Syurga berbanding Neraka. “Saya memilih syurga!”
Justeru, mahukah memenuhi syarat meraih syruga?
Kami berfirman ” Turunlah kamu dari syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barangsiapa yang mengikuti petunjukKu, niscaya tidak ada ketakutan atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati”. Adapun orang-orang yang ingkar dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itu penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.
Al-Baqarah , 2 : 38-39
***
Ketika diuji keadaan yang menduga iman, terlalu cenderung menurutkan nafsu amarah, cepat-cepat membuat pilihan. Aku mahu petunjuk ataupun kesesatan? Aku mahu mengikuti apa yang telah dipelajari dalam kelas Al-Quran atau masih mahu memilih kehendak selainNya?
Katakanlah “Jika aku sesat maka sesungguhnya aku sesat atas kemudaratan diriku sendiri; dan jika aku mendapat petunjuk maka itu adalah disebabkan apa yang diwahyukan Tuhanku kepadaku. Sesungguhnya DIa Maha Mendengar lagi Maha Dekat.”
Saba’, 34 : 50
***
Ketika hadir manusia-manusia mengajak menghulurkan bantuan tenaga, hadir bisikan-bisikan yang mengasak untuk terus duduk-duduk dan berehat-rehat. “Usah sibuk-sibuk terlibat membantu orang lain. Saya ni juga banyak hal lain nak buat.”
Hadirnya situasi menghimpit antara dunia dan akhirat, mana menjadi pilihan?
Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang, maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka Jahannam; Dia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan sungguh-sungguh sedang dia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.
Al-Isra’, 17 : 18-19
***
Ketika terperangkap dalam rutin dosa yang masih sulit untuk keluar darinya, terasa lemah seluruh anggota melawan kecenderungan dalam diri yang suka kepada kejahatan. Saat itu bersegeralah membuat pilihan. Mahu mengikuti hawa nafsu ataupun mengikuti Al-Quran.
Andaikata kebenaran itu menurut hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka Al-Quran kepada mereka tetapi mereka berpaling daripada Al-Quran itu.
Al-Mukminun, 23 : 71
Dan Al-Quran itu adalah kitab yang Kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah ia dan bertaqwalah agar kamu diberi rahmat.
Al-An’am, 6 : 155
***
Masih terasa sulit menghadapi ujian kehidupan dengan hati yang penuh dengan dunia, cenderung bermaksiat? Buatlah pilihan. Mahu syaitan menjadi teman atau musuh?
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran (Tuhan) Yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.
Az-Zukhruf, 43 : 36
***
Masih leka dengan permainan dunia. Sibuk dengan hal diri sendiri dan fokus mengejar pengumpulan harta dunia?
“Maaf saya sibuk. Tak sempat belajar Quran. Dan tak sempat mengajak orang untuk kembali kepada Quran.”
Buatlah pilihan saat ini. Adakah mahu menjadi golongan yang mengharap pertemuan dengan Tuhan atau tidak?
Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan seorangpun dalam beribadat kepada Tuhannya.
Al-Kahf, 18 : 110
Sesungguhnya orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, dan merasa puas dengan kehidpan di dunia serta merasa tenteram dengan kehidupan itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat kami, mereka itu tempatnya ialah neraka, disebabkan apa yang selalu mereka kerjakan.
Yunus, 10 : 7-8
***
Pilihan terbentang di hadapan.
Mahu memilih fujur atau taqwa.
Atau enggan langsung memikirkan soal memilih? Lalu terus menjalani hidup mengikut arus. Tidak usah berfikir. Jualkan sahaja akal itu, tidak perlu digunakan.
“Haish.. Jangan sarcastic sangat. Kalau saya memilih untuk membuat pilihan. Dan memilih taqwa setiap kali, apa yang saya dapat?”
Dan (ingatlah pula hari) didekatkan syurga bagi orang-orang yang bertaqwa, di tempat yang tidak jauh (dari mereka). (Serta dikatakan kepada mereka): “Inilah yang dijanjikan kepada kamu, kepada tiap-tiap hamba yang sentiasa kembali , lagi yang sangat memelihara dengan sebaik-baiknya (segala hukum dan peraturan Allah); “(Iaitu) orang yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah ) dengan hati yang tunduk taat”. “Masuklah kamu ke dalam syurga dengan selamat sejahtera; hari ini ialah hari (bermulanya) kehidupan yang kekal.”
Qaf, 50 : 31-34
Justeru, mahu memilih?