Tadabbur Tazakkur

Syukur VS Syirik

“Anak-anak ni kan, bila dah besar, lupa dah apa yang kita buat kat dia dulu. Susah susah besarkan dia apa semua.. Tambah lagi, bila dia jumpa laki (boyfriend), kita ni dah tak penting sangat dah bagi mereka…”

.
.
Seorang ibu tunggal meluahkan isi hatinya kepada saya. Beliau ditinggalkan oleh suaminya sejak sekian lama dan beliau bersusah payah membesarkan anak-anaknya seorang diri tanpa nafkah yang ditinggalkan  oleh si suami. Kini, anak yang ditatang bagai minyak yang penuh mula bertindak untuk tidak mengendahkan dirinya.

Sejurus, fikiran berlegar-legar kepada surah Luqman, surah tentang pendidikan anak-anak.

Luqman, bukan seorang nabi. Tapi, nama nya di highlight di dalam al-Quran sehingga tersebut satu surah dengan namanya, surah ke 31 iaitu surah Luqman.

Allah telah memberi Luqman hikmat kebijaksanaan dalam mendidik anak-anak, dan seterusnya dia bersyukur. Dan, Luqman menasihati anaknya supaya tidak syirik.

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji (Luqman, 31:12).

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau syirikkan Allah (mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar” (Luqman, 31:13).

Di dalam Bahasa Arab, “syukur” adalah dari kata akar “sya ka ro”.

Manakala, “syirik” adalah dari kata dasar “sya ro ka”.

Syukur Syirik
شكر شرك

Cuba perhatikan kedua- dua perkataan ini. Sama, tapi tak serupa. Sepadan, tapi saling bertentangan.

Orang yang syirik, tidak mungkin bersyukur. Dan, orang yang bersyukur tidak mungkin akan berlaku syirik.

Sebagai ‘balasan’ kepada nasihat Luqman kepada anaknya supaya tidak syirikkan Allah maka, Allah mewajibkan manusia (termasuk Luqman dan anaknya) supaya berbuat baik kepada ibubapa dan berterima kasih kepada mereka.

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (Luqman, 31:14).

Ibubapa yang ingin anaknya berterima kasih kepadanya wajib dahulu mengajar anak untuk mengenal dan tidak syirikkan Allah. Kerana, diakhirnya anak yang mengenal dan takutkan Allah tidak mungkin akan berlaku derhaka kepada kedua ibubapa. Si anak tersebut telah menjadi orang yang bersyukur kepada Allah. Natijahnya, dia juga tahu untuk bersyukur dan berterima kasih serta mentaati ibubapa tanda syukurnya kepada Allah.

Timbul persoalan lain. Bagaimana  pula mahu mengajar anak mengenal Allah? 

Allah telah menyediakan jawapan yang banyak di dalam surah ini salah satunya ialah mengenalkan anak-anak kepada ayat-ayat (tanda-tanda) kewujudan Allah melalui ciptaanNya.

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik) (Luqman, 31:25).

Juga, memperkenal Allah yang memberi banyak nikmat.

Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk; dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran (Luqman, 31:20).

Nah, sekarang semua pilihan berada di tanganmu. Mahu menjadi orang yang bersyukur dan ajari anakmu supaya tidak syirik atau menjadi yang sebaliknya.

*tulisan ini juga gabungan dari nota yang diperoleh dalam program Berinteraksi Dengan al-Quran (BDQ) anjuran Akademi Sinergi Ikhlas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.