Tangguh
“Eh.. tunggula dulu bro. Kejap lagi, kita stop lah..kita taubat lepas ni. Sekarang ni kita enjoy la dulu..”
.
.
Salah ke buat silap? Boleh ke?
Kerana kita al-insan, (orang yang sering lupa) maka kita sering lupa dan lakukan kesalahan. Bila dah rasa bersalah pada Tuhan, apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan?
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (ali Imran, 3:135)
Sebelum ayat ini, Allah menjelaskan ciri-ciri al-muhsinun (orang yang buat baik). Muhsin adalah tingkat tertinggi dalam tingkatan kehambaan sebagai manusia kepada TuhanNya. Tingkat pertama ialah muslim (orang Islam), kedua mukmin (orang beriman) dan ketiga muhsin (orang yang sentiasa buat baik).
Muslim>> Mukmin>> Muhsin
Dalam ayat ini, Allah menerangkan tentang tindakan ‘muhsin’ apabila berbuat silap.
“Eh, dah muhsin pun buat silap ke? Bukanke iman dah kuat?”
Ya. Walaupun ‘muhsin’ adalah tingkat tertinggi dalam kehambaan namun, tiada jaminan muhsin untuk tidak tergelincir. Kerana kita hanya manusia, bukan malaikat. Namun, muhsin berbuat kesalahan, dua tindakan yang dilakukan:
- terus sahaja dia mengingat dan menyebut nama Allah.
- Kemudian, dia memohon ampun.
Perhatikan, ayat ini. Ia tidak diselangi dengan apa-apa kata sendi (contohnya seperti huruf ‘fa’ atau ‘thumma’) selepas perbuatan menzalimi diri sendir (atau kesilapan). Menunjukkan bahawa, dia terus beraksi dengan dua tindakan tersebut selepas berbuat silap.
Itulah perbezaan besar antara tindakan kita, al-insan dan iblis.
Ibu dan ayah kita Nabi Adam dan Hawa a.s, apabila mereka berbuat silap, lantas mereka mengakui kesalahan dan memohon ampun kepada Tuhan.
Mereka berdua merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi” (al-A’raf, 7:23)
Namun, berbeza dengan Iblis. Apabila makhluk itu tidak mahu sujud kepada nabi Adam a.s., dia telah mengingkari arahan Allah seraya berbuat silap yang besar. Namun, apakah tindakannya selepas itu?
Dengan kesilapan itu Iblis tidak terus bertaubat malah meminta untuk diberi tempoh masa dari Allah.
Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”.
Allah berfirman: “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)”.
Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; (al-A’raf, 7:14-16)
“Dah la tangguh taubat, lepastu nak seret orang lain sekali dalam keingkaran dia”
Ya. Itu lah sifat iblis.
Jika berbuat satu kesilapan, lantas dirimu bergegas memohon ampun. Walaupun sebesar mana silapmu itu, jangan engkau tangguh dari melaksana taubat kerana penangguhan itu tidak lain tidak bukan hanyalah dari sifat Iblis laktunallah.