Duhai hamba, ini bicara Tuhan penuh cinta.
“Tuhan tu siapa?”
-“Err.. Yang kita sembahlah.”
“Iyalah. Siapa?”
-“Yang kita tak nampak.”
“Grrrr…”
***
Mengenali Tuhan tiada dalam Rukun Islam. Tetapi kewajipan mengenaliNya lebih wajib daripada kewajipan selainnya.
Tak setuju?
Mana mungkin , beriman kepada Allah andai tidak mengenaliNya. Mana mungkin solat 5 kali sehari andai yang disembah tidak dikenali. Siapa akan rasa seronok berhubung dengan Tuhan sedangkan Tuhan tidak dikenalinya? Lalu tindakan ibadah dilaksanakan tanpa rasa, tanpa emosi, dan terkejar-kejar kerana rohnya kosong.
Bagaimana mungkin manusia berbuat sesuatu tanpa rasa selagi belum terevolusi menjadi robot.
Lalu, siapa Tuhan?
سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ ﴿٣٦
Maha Suci (Allah) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri, mahupun daripada apa yang tidak mereka ketahui.
Yaasiiin, 36 : 36
Tuhan itu, yang menciptakan segalanya berpasang-pasangan. Ada lelaki dan perempuan. Ada manis dan pahit. Ada sedih dan gembira. Ada siang dan malam. Ada tinggi dan rendah. Ada hitam dan putih. Kesemua makhlukNya saling bergantung antara sesama. Saling memerlukan. Saling mengharapkan. Saling bersandaran. Dan itu buktinya hambaNya lemah.
Dan Maha Suci Allah daripada berpasangan. Dia tidak memerlukan sebarang pergantungan. Justeru saat si hamba kerdil kesulitan mencari jalan keluar, mengapa yang terlintas di fikiran hanyalah manusia lain yang lemah? Mengapa tidak bersandar pada Tuhan yang suci daripada sebarang kekurangan dan kebergantungan kepada makhluk?
Subhanallah. Maha suci Allah daripada sifat maklukNya yang berpasangan.
***
Ketika terbenamnya matahari dan bulan mengambil tempat, bagaimana hati memberi reaksi terhadap tanda-tanda kebesaran Tuhan di alam yang terbentang?
وَآيَةٌ لَّهُمُ اللَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهَارَ فَإِذَا هُم مُّظْلِمُونَ
Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah malam. Kami hilangkan siang daripada (malam) itu, maka ketika itu mereka (berada dalam) kegelapan.
Yaasiiin, 36 : 37
Malam-malam yang menemani saban hari mengundang rasa takjub dalam jiwa mukmin yang berfikir akan tanda-tanda kebesaran Tuhannya.
“Eh, malam? Ada apa dengan malam?”
Kalimah نَسْلَخُ yang digunakan dalam ayat ke-37 surah Yaasiin membawa maksud “melapah.” Keadaan perpindahan fasa siang ke malam diumpamakan Allah sebagai dilapah. Bayangkan sahaja siang yang terang umpama kulit yang membaluti bumi sedangkan bumi pada asalnya sememangnya gelap. Lalu, hilangnya siang daripada bumi ibarat kulit siang yang dilapah sedikit demi sedikit daripada bumi yang gelap sehingga akhirnya yang tinggal dan kelihatan hanyalah kegelapan bumi.
Andai siang diganti malam menggunakan cara ‘manusiawi’ , langsung gelap seluruh bumi tanpa sebarang petanda, bagaimana kiranya keadaan manusia? Ibarat hati yang terkejut setiap kali blackout tiba-tiba dan tercari-cari sumber cahaya. Tuhan! RahmatMu melimpah-ruah bukti kasih penuh cinta. Engkau atur malam buat kami dengan cara yang lembut pertukarannya, membelai kami sehingga kami mengerti maksud senja dan malam yang berlabuh.
Tiada rasa terkejut, tiada rasa takut akan peristiwa ‘tiba-tiba’ gelap saban hari. Kerna kutahu Engkau mengasihi hamba-hambamu.
وَالشَّمْسُ تَجْرِي لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ۚ ذَٰلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ –
Dan matahari beredar di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan (Allah) Yang Maha Perkasa, lagi Maha Mengetahui
Yaasiiin, 36 : 38
Pernah dengar matahari yang berlari?
Kalimah تَجْرِي dalam ayat ke-38 menggambarkan kelajuan sang matahari bergerak pada tempat yang ditetapkan Tuhan. Bayangkan, kajian menggambarkan matahari (bersama bumi dan planet yang lain) bergerak mengelilingi Milky Way dengan kelajuan 828000 km/jam.
“Eh, lajunya. Kenapa tak terasa?”
ketika berada di dalam kereta, kelajuan 200km/jam sahaja sudah terasa seperti melayang. Tetapi mengapa kelajuan kapal terbang 900km/jam itu terasa tenang sahaja? Apatah lagi kelajuan bumi dan matahari yang melebihi 800000 km/jam. Tidak terasa? Tetapi hati yang mengimani Qalam Tuhan akan meyakini.
“Ya, Matahari (bersama planet-planet yang lain) berlari!”
وَالْقَمَرَ قَدَّرْنَاهُ مَنَازِلَ حَتَّىٰ عَادَ كَالْعُرْجُونِ الْقَدِيمِ –
Dan telah Kami tetapkan tempat peredaran bagi bulan, sehingga (ia sampai ke tempat peredaran yang terakhir), maka kembalilah dia seperti bentuk tandan yang tua.
Yaasiiin, 36 : 39
Hadirnya bulan memungkinkan manusia tahu bilangan hari. Engkau mengajar kami perhitungan 12 bulan. Engkau mengajar kami mengurus hari-hari hidup kami agar terkendali mengikut perkiraan waktu.
Dan Engkau mendidik kami mengingati hujung hayat kami yang lemah ibarat tandan yang tua. Sebelum jasad melemah, mengapa tidak melonjakkan kemampuan di usia muda, meraih prestasi membina legasi akhirat?
لَا الشَّمْسُ يَنبَغِي لَهَا أَن تُدْرِكَ الْقَمَرَ وَلَا اللَّيْلُ سَابِقُ النَّهَارِ ۚ وَكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ –
Tidaklah mungkin bagi matahari mengejar bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Masing-masing beredar pada garis edarnya.
Yaasiiin, 36 : 40
Di mana ada bulan, matahari tidak akan hadir. Di bumi mana merasai hadirnya siang, malam tidak akan tiba-tiba menerpa.
Sehebat dan sebesar mentari, tetap taat aturan Tuhan, tidak melanggar sistem ketetapan.
Pertama, kerana taat kepada Dia yang menciptakan.
Kedua, agar memberi rahmah buat kelangsungan hidup manusia yang lemah.
Duhai manusia, duhai hamba. Ketaatan mentari bukti cinta Tuhan kepadamu. Andai mentari tiba-tiba hadir saat bulan mengambang, rosak sistem kehidupan manusia. Tiada lagi aturan waktu, tiada lagi aturan hari. Tidak mampu melakar kitaran 30 hari dalam sebulan. Tidak mampu merancang kehidupan.
Andai malam mendahului siang, bercelaru jiwa manusia.
“Eh, kejap siang, kejap malam. Tuhan! Kami hamba yang lemah. Bantu kami menundukkan siang dan malam untuk kelangsungan hidup kami.”
Bagaimana seandainya Allah menjadikan malam itu berterusan sepanjang hidup manusia? Mampukah manusia menghadirkan matahari yang cahayanya melimpah-ruah menerangi segenap alam?
قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِن جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ اللَّيْلَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُم بِضِيَاءٍ ۖ أَفَلَا تَسْمَعُونَ(71
– قُلْ أَرَأَيْتُمْ إِن جَعَلَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ النَّهَارَ سَرْمَدًا إِلَىٰ يَوْمِ الْقِيَامَةِ مَنْ إِلَٰهٌ غَيْرُ اللَّهِ يَأْتِيكُم بِلَيْلٍ تَسْكُنُونَ فِيهِ ۖ أَفَلَا تُبْصِرُونَ(72
Katakanlah (Muhammad), “Apa pendapatmu jika Alla menjadikan malam itu terus menerus sehinga hari kiamat. Siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan cahaya terang kepadamu? Adakah kamu tidak mendengar?” Katakanlah (Muhammad), “Apa pendapatmu, jika Allah menjadikan untukmu siang itu terus-menerus sampai Hari Kiamat. Siapakah Tuhan selain Allah yang akan mendatangkan malam kepadamu sebagai waktu istirehat? Adakah kamu tidak memerhatikannya?”
Al-Qosas, 28 : 71-72
Ya Robb, hadirnya pagi yang malu-malu sebelum menyapa dhuha, menjemput teriknya bahang tengahari dan malapnya cahaya senja yang berlabuh, semua ini tanda-tanda rahmatMu ke atas kami. Terima kasih atas nikmat siang ini.
Malam yang menyelimuti mendamaikan jiwa yang lelah, mengumpulkan kudrat, meraih kekuatan hati bermula dengan memahami bicara Tuhan lewat Al-Quran.
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah pada malam hari kecuali pada sebahagiannya iaitu separuh daripadanya atau kurang sedikit daripada itu. Atau lebih daripada (seperdua), dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sesungguhnya, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan pada waktu itu) lebih memberi kesan. Sesunggguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang. Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepadaNya dengan sepenuh hati.
Al-Muzzammil, 73 : 1-8
***
Engkau mengajar kami memikirkan siang dan malam.
Engkau turut mendidik kami memaknai ilmu sains dan sejarah
وَآيَةٌ لَّهُمْ أَنَّا حَمَلْنَا ذُرِّيَّتَهُمْ فِي الْفُلْكِ الْمَشْحُونِ –
Dan suatu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah Kami bawa keturunan mereka dalam kapal yang penuh muatan.
Yaasiiin, 36 : 41
Ayat ini, mengajar ilmu fizik dan sejarah? Bagaimana kapal penuh muatan Nabi Nuh mampu selamat dan terapung? Sedangkan saat itu keseluruhan makhluk lain tenggelam oleh banjir besar. Apa yang menyelamatkan kapal berat penuh muatan itu terus selamat?
“Eh, ini prinsip Archimedes. Ada daya keapungan.”
Tiada kena-mengena dengan Tuhan?
Terapung kerana ada daya keapungan?
Siapa yang mencipta daya keapungan?
Dalam ayat tersebut, kalimah حَمَلْنَا (Kami membawa / mengandung – hamil) merujuk kuasa Allah yang membawa muatan kapal penuh muatan tersebut. Tanpa izinNya, tanpa bantuanNya, kapal yang dibina Nabi Nuh bersendirian tidak akan mampu merempuh banjir besar yang menenggelamkan keseluruhan bumi sehingga ke puncak gunung.
Begitu, nenek moyang beriman sekitar 70-80 orang terselamat dan memulakan peradaban baru di muka bumi sehingga melahirkan kita saat ini.
Hey! Kita ni asalnya keturunan insan terpilih beriman yang selamat dari bahtera Nabi Nuhlah! Mengapa memilih mencalar prestasi, meletakkan diri pada posisi yang rendah saat memilih untuk mengingkari Tuhan?
Ya Robb, malam yang berlabuh, siang yang menyapa dan kapal yang berlayar. Di sebalik semuanya terasa rahmat kasih sayangmu buat hamba yang kerdil dan lemah ini. Diri ini lemah, tidak mampu meneruskan hidup andai segala aturan dan system jagat raya ini Engkau serahkan kepada kami.
Mana mampu kami menerbitkan siang jika Engkau tidak mengizinkan. Mana mampu kami menjemput malam jika Engkau tidak membenarkan.
Dengan penuh ketundukan jiwa hamba, Ya Robb, Engkau bantu kami menjadi hamba yang taat setiap ketika, malam dan siang dan melalui rahmat kehidupan kurniaanMu ini selari pedoman QalamMu.
***
Catatan nota tadabbur surah Yaasiiin yang lepas
Ust Abd Muein Abd Rahman
p/s New Zealand yang cantik. Dah pergi New Zealand, ada rasa tak sabar-sabar nak menempati syurga?
Jom ke syurga sama-sama, kali ini tiketnya iman dan amal soleh (^_^). Jangan masuk sorang-sorang k.
terbaik
subhanallah walhamdulillah walailaha illallhuallahuakbar.walahaula walakuata illah billahil aliyulazim.
Allah Hu Akbar