Manusia dihinakan seperti haiwan

KERA

Dia kembali ke bilik selepas menghidai pakaian di ampaian. Terlihat beberapa makhluk memenuhi ruang mejanya. Kerana takutkan kera, dia terus keluar dan menutup pintu kembali.

“Habislah makanan aku!”

Sambil mendengar dari luar, dia mengintai perilaku kera-kera UIA sebelum tiba-tiba menyergah dan menghalau kera-kera ke luar tingkap.

“HOI!”

Kera-kera terus buat tak tahu. Bahagia memilih “barang” apa lagi untuk dibawa lari.

Dia menyergah sekali lagi. Seketika kemudian barulah kesemua makhluk-makhluk itu keluar dengan “ghanimah (rampasan perang)” masing-masing.

“Kera ni memang tak makan saman. Dah larang, tak peduli.”

-“Dah namanya kera, memang macam tu. Lagi dilarang, makin menjadi. Saja nak sakitkan hati kita. Kucing lain, tak macam ni. Kucing pandai buat muka kesian, tak sombong macam kera.”

“Sabar je lah. Selamat mereka nak makanan je. Kalau dirampasnya laptop aku, naya…”

Begitu perilaku kera.

Tidak peduli pada sebarang larangan.

Bahkan sombong terhadap larangan.

Dan seandainya manusia bersikap sama terhadap Tuhannya. Sombong terhadap larangan-larangan Tuhan. Bebas melakukan maksiat tanpa rasa bersalah bahkan bangga mempamerkan dan menceritakan keingkaran-keingkaran yang dilakukan kepada teman-teman yang lain. Nah, bersedia ditukarkan sang pencipta daripada seorang manusia kepada seekor kera?

Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala larangan. Kami katakan kepada mereka , “Jadilah kamu kera yang hina.”

Al-‘Araf, 7 : 166

Diciptakan kera, bukan sekadar untuk dihinakan dan dicemuh manusia.

Hadirnya kera dalam hidupmu bukan sekadar menerbitkan rasa geram dan marah.

Tetapi ‘mereka’ dihadirkan agar memberi peluang manusia mengoreksi diri. Andai manusia marah terhadap kera-kera yang tak-makan-saman, tidak peduli dengan segala tegahan dan larangan bahkan suka buat muka ‘tak-tahu’ saat manusia memberikan ancaman dengan membaling segala selipar dan kasut… ketahuilah, posisi manusia juga sehina kera. Andai memilih berlaku sombong terhadap larangan Tuhan.

Dan Allah memuliakan manusia yang peduli menegur dan mengingatkan kaumnya akan larangan-larangan Tuhan.

Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata, “Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab Allah dengan azab yang sangat kuat?” Mereka menjawab, “Agar kami mempunyai alasan kepada tuhanmu, dan agar mereka bertakwa.” Maka setelah mereka melupakan apa yang diperingatkan keapda mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang orang lain melakukan kejahatan dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim seksaan yang berat, disebabkan mereka selalu melakukan kefasikan.

Al-‘Araf, 7 : 164-165

Begitulah kisah golongan Hari Sabtu. Yang diuji Allah dengan ikan yang banyak pada Hari Sabtu (Hari ibadah mengikut syariat zaman mereka). Teruji ketaatan terhadap larangan Tuhan “Jangan berkerja pada Hari Ibadah (Sabtu).”

Kalah terhadap ketaatan larangan Tuhan.

Saya?

Pertama, sudahkah pelajari sehingga tahu segala larangan Allah dalam Al-Quran?

Kedua, sudahkan taat terhadap laranganNya?

Mahu menjadi manusia atau kera?

 

ANJING

Anjing, juga makhluk terlihat hina pada pandangan manusia.

Terjelir lidahnya ke sana ke mari.

Jelik dipandang mata.

Dan rupa-rupanya diciptakan anjing untuk manusia mengambil pengajaran.

Kerana ada manusia, layak di’anjing’kan oleh Tuhan Yang Maha Menciptakan.

Dan bacakanlah kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat itu,kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan sekiranya Kami menghendaki nescaya Kami tinggikannya dengan (ayat-ayat) itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan mengikuti keinginannya (yang rendah), meka perumpamaannya seperti anjing, jika kamu menghalaunya dijelirkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menjelirkan lidahnya (juga). Demikianlah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

Al-‘Araf, 7 : 175-176

Manusia diumpamakan seperti anjing oleh Pencipta manusia?

Aishh.. ini satu penghinaan. Jika manusia memilih untuk dihinakan Yang Maha Agung.

Siapakah seperti anjing itu?

Merekalah manusia yang telahpun sampai ayat-ayat tuhan kepadanya, tetapi tetap memilih kecenderungan keduniaannya yang rendah. Masih memilih mengikuti kehendaknya meskipun dah tahu petunjuk kehidupan dari Tuhan yang darjatnya jauh lebih baik.

Dah dapat Quran, tak nak ikut. Allah dah kata kalau bersedekah jangan mengungkit. Tapi tetap juga suka ungkit, upload segalanya dalam media sosial. Allah dah kata tahan marah dan memaafkan kesalahan orang lain sehingga Allah nak kurniakan syurga. Tapi  masih juga nak marah sekecil-kecil perkara dan sulit memaafkan kesalahan orang lain.

Bagi Quran , tak bagi Quran, sama je. Tiada beza. Baiklah tak payah bagi.

Seperti anjing, jika dihalau dijelirkan lidah. Jika dibiarkan masih terjelir lidahnya. Sama sahaja. Tiada beza.

Boleh bayangkan keadaan manusia seandainya Allah benar-benar menarik kembali nikmat Al-Quran lalu tiada manusia dalam dunia ini beroleh petunjuk Al-Quran?

 

BINATANG TERNAK

Ini, satu lagi perumpamaan buat manusia.

Binatang ternak ni, kerjanya rutin.

Tidur, bangun tidur, cari makan, rehat-rehat, tidur balik. Seandainya kereta meluncur laju di sebelahnya, binatang-binatang lain memberi respon dengan burung yang terbang atau kucing yang lari tetapi binatang ternak ni tiada beza. Mereka tak kisah pun apa yang berlaku dengan sekeliling.

Begitu binatang ternak.

Lalai.

Seperti manusia.

Bahkan manusia lebih teruk daripada binatang ternak kerana manusia dikurniakan potensi yang tiada pada binatang ternak. Tetapi andai memilih hidup seperti tidur, cari makan, rehat-rehat, tidur balik, bahkan itulah manusia yang nilainya lebih rendah daripada binatang ternak.

Dan sesungguhnya, akan Kami isi neraka Jahannam banyak daripada kalangan jin dan manusia. Mereka memiliki hati, tetapi tidak dipergunakannnya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengarkan (ayat-ayat Allah). Mereka seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Al-‘Araf, 7 : 179

 

***

Saya manusia.

Bukan kera.

Bukan anjing.

Bukan binatang ternakan.

Sesungguhnya, Kami telah ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, maka mereka akan mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya. Maka apa yang menyebabkan mereka mendustakanmu (tentang) hari pembalasan? Bukankah Allah hakim yang paling adil?

At-Tiin, 95 : 4-8

 

 

 

 

One thought on “Manusia dihinakan seperti haiwan

  • January 8, 2018 at 6:24 pm
    Permalink

    Dasyat. Sampai macam tu sekali dihinakan Tuhan.

    Dari sebaik-baik makhluk berubah 360 darjah kepada seburuk-buruk makhluk apabila Tuhan menghinakan

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.