“Jangan samakan aku dengan dia!”

Dia hadir ke bilik supervisor dengan wajah sugul tanpa mampu menyembunyikan perit yang terbuku di dada. Berusia separuh abad, memang pantang tatkala ada anak-anak muda berkelakuan kurang ajar, melayan dirinya seolah-olah menyamakannya sebagai “kawan” tanpa rasa hormat.

“Awak ni! Kenapa isi borang ni. Salah lah.”

Hatinya terguris.

” Awak sepatutnya isi borang ni 3 bulan yang lepas, bukan sekarang.”

Anak muda yang bertugas berbahasa kasar terhadapnya. Menyirap darah tetapi ditahan-tahan. ‘Sekurang-kurangnya hormatlah sikit orang tua.Selamba je guna perkataan “awak” kepada makcik.’ Terdetik dalam hatinya untuk melaporkan perilaku staf kurang sopan itu kepada pihak atasan. Dia segera memilih meninggalkan pejabat bagi meredakan sakit hati yang dirasakan.

Dalam perjalanan menemui supervisor, matanya tertangkap notifikasi facebook daripada anaknya. Jarinya segera menyentuh skrin dan mendapatkan khabar berita. Namun apa yang dibacanya bahkan semakin menambahkan rasa kecil hati.

“Awaklah segala-galanya dalam hidup saya. Saya tidak mampu bahagia tanpa awak.”

 

 

Amboi..amboi..amboi.. Anak bertuah! Berani nak lupakan dan mengesampingkan mak yang dah bertahun-tahun jaga dan memberikan bahagia hanya kerana seorang wanita! Nak samakan kedudukan mak dengan wanita yang baru dikenali dan dicintai? Sangat tak patut… Diikutkan hati mahu sahaja mengatakan “Dah nak sangat, pergilah cari bahagia dengan dia tu. Jangan lagi pergi kat mak. Tinggalkan mak terus.”

Sampai hati lupakan pengorbanan mak sampai sanggup menyamakan mak dengan kekasih hati.

 

***

Zalim.

Saat tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Menyamakan sesuatu dengan yang tidak layak disamakan.

Sesama manusia boleh berkecil hati. Antara ibu dan anak. Antara pekerja dan majikan.

Bagaimana pula antara seorang hamba dengan Tuhan yang menciptakannya?

 

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi;

dan (pada) pertukaran malam dan siang;

dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia;

demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit

lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya,

serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang;

demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi;

sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.

Al-Baqarah, 2 : 164

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya,

Al-Baqarah, 2 : 165

Setelah Dia mengurniakan segala-galanya, mengapa ada manusia memilih ketaatan dan persandaran terhadap yang selainNya? Ternukil dalam QalamNya (2:165) bahawa ciri-ciri manusia yang mengambil sekutu selain Allah adalah hadirnya rasa cinta kepada selainNya sebagaimana mencintai Allah.

Pernah sahaja terlihat kegembiraan dan kecintaan remaja perempuan terhadap pelakon-pelakon Korea pujaan hati. Teruja dan tak sabar-sabar menonton siri demi siri drama Korea bahkan sanggup berbelanja saat pujaan hati mereka menjejakkan kaki ke bumi Malaysia.

Sedang mereka asyik menonton siri tersebut, saat menegur dan mengingatkan “Eh, dah masuk waktu solatlah, pergilah solat dulu.” Timbul rasa tak senang, timbul rasa sedikit benci kerana terganggu dalam meneruskan aktiviti-aktiviti kesukaan, menonton artis Korea beraksi.

Lelaki pula, terlalu asyik dan suka akan perlawanan bola dan pemain-pemain pujaan mereka. Sanggup mengumpulkan wang dan berhabis duit agar dapat menyaksikan perlwanan sengit antara dua pasukan. Sanggup berjaga malam, sanggup bersengkang mata demi ‘cinta’nya terhadap aktiviti yang disukai itu. Saat dikejutkan di pagi subuh untuk mendirikan solat bertemu denganNya, timbul rasa marah dan benci kerana diganggu.

Mencintai yang selainNya?

Bahkan ‘benci’ kepadaNya?

Ini parah.

Mengambil sekutu-sekutu selain Allah.

Apakah artis-artis Korea tersebut telah memberikan rezeki dan kecukupan kepadamu sehingga engkau benar-benar mencintai mereka dan sanggup mengenepikan Tuhan?

Apakah perlawanan bola tersebut telah benar-benar menciptakan kebahagiaan dalam hatimu sehingga sanggup mengorbankan bermacam perkara termasuklah meninggalkan solat maghrib, isya’ dan Subuh?

Apakah terlalu rendah nilai rahmat Tuhan yang memberikan segala-galanya sehingga si hamba sanggup menyamakanNya dengan makhluk, bermohon kepada makhluk, berharap pada makhluk akan sumber kebahagiaan, sehingga sampai ke suatu tahap sanggup mengenepikan Tuhan?

Dan (di antara keburukan orang-orang yang melakukan syirik): apabila disebut nama Allah semata-mata (di dalam doa dan sebagainya), segan serta liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat; dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta merta riang dan gembira.

Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu, mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya”.

Dan sekiranya orang-orang zalim itu mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya daripada azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah jelas nyata kepada mereka dari (hukum) Allah, azab yang mereka tidak pernah fikirkan.

Dan sudah tentu akan nyata kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan, dan mereka akan diliputi oleh azab yang mereka telah ejek-ejek itu.

Az-Zumar, 39 : 45-48

Takkan sampai nak tunggu azab depan mata baru tersedar diri melakukan kezaliman?

Sanggup menghabiskan beribu-ribu duit mempelajari pelbagai kemahiran, meraih gelar doktor professor tetapi saat dibentangkan kelas-kelas pengajian memahami Qalam Tuhan (Al-Quran), timbul rasa tak senang, timbul rasa tak sanggup melaburkan wang, timbul rasa sedikit benci kerana terganggu.

“Saya sibuklah! Tak sempat semua ini.”

Apakah ada kata-kata selainNya yang lebih layak ditelaah? Apakah ada buku-buku teks selain Al-Quran yang lebih penting untuk dihabiskan bacaannya? Apakah ada penulis-penulis buku tersohor yang lebih penting untuk didengari kupasannya berbanding Tuhan yang mengurniakan Al-Kitab?

Bila Tuhan tidak diposisikan pada tempat selayaknya.

Disama ratakan dengan manusia.

Bahkan diletakkan lebih rendah daripada manusia.

Ini tragedi.

Sehingga sampai pada satu tahap si hamba meletakkan diri sebagai Tuan kepada Tuhannya. “Demand” segala kebaikan kurniaan. Tatkala Dia menguji menahan kurniaanNya, lantas merajuk, tidak peduli membelakangkanNya. Mempersalahkan Tuhan.

Menjadikan diri Tuan terhadap Tuhan.

Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.

Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya; itulah kesesatan yang jauh terpesong.

Ia menyeru dan menyembah makhluk yang – dengan perbuatan demikian – mudaratnya lebih dekat dari manfaat yang diharapkannya; demi sesungguhnya seburuk-buruk penolong dan seburuk-buruk sahabat karib ialah makhluk yang diseru dan disembahnya itu

Al-Hajj, 22 : 11-13

***

Anak yang menyamakan “kehadiran” wanita pujaan hatinya dengan ibunya sehingga sanggup melebihkan kekasih hati dan membelakangkan si ibu terlihat seperti ‘kacang lupakan kulit’ atau anak tak mengenang budi.

Bagaimana pula si hamba yang menyamakan “kehadiran” makhluk-makhluk selain Tuhan sehingga sanggup melebihkan makhluk-makhluk lain dan melupakan dan membelakangkan Tuhan?

Sesiapa yang menghendaki (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka Jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir dari rahmat Allah.

dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.

Tiap-tiap golongan dari keduanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka dari pemberian Tuhanmu (wahai Muhammad); dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun).

Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian dari mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberian Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkatan-tingkatan perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya.

JANGANLAH ENGKAU ADAKAN TUHAN YANG LAIN BERSAMA ALLAH kerana akibatnya engkau akan tinggal dalam keadaan tercela dan kecewa dari mendapat pertolongan.

Al-Isra’, 17 : 18-22

“Eh! Saya tak menyekutukan Allahlah. Mana ada saya samakan Allah dengan makhluk-makhlukNya yang lain.”

Sudahkah mengutamakan kelas pengajian memahami Al-Quran berbanding kelas-kelas ilmu keduniaan yang lain?

Sudahkah mengutamakan kehendak Allah berbanding kehendak diri dan manusia-manusia lain?

Sudahkah mengutamakan apa yang dicintai Allah berbanding apa yang dicintai diri dan manusia-manusia lain?

Kan Dia dah bagi segala-galanya yang terhampar di bumi… Kenapa masih memilih yang lain? Kenapa masih bersandar dan mengharap pada yang lain? Kenapa masih taat perintah terhadap yang lain?

Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui.

Al-Baqarah, 2 : 22

Ya Rabb.

Engkaulah yang Maha Menciptakan, Maha Memberi Rezeki, Maha Memelihara dan Maha Memiliki.

 

 

 

 

 

 

One thought on ““Jangan samakan aku dengan dia!”

  • January 19, 2018 at 2:58 am
    Permalink

    #deep
    thanks kak ayat..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.