Tadabbur Tazakkur

Agar tidak sia-sia

Satu persatu tugasan diletakkan pada bahagian sisi di atas meja. Semua mahasiswa kembali ke tempat masing-masing setelah menghantar. Hanya seorang masih berdiri, melilau matanya seakan-akan mencari sesuatu.

“Ada apa?”

-“Hantar macam ni je ke miss?”

“Maksud kamu?”

-“Ada pensyarah lain akan minta tandatangan pada satu helaian berserta tarikh untuk membuktikan yang kami dah hantar. Maksudnya, kalau-kalau tugasan terhilang tak terjumpa, ada bukti yang kami dah hantar.”

“Oh ye ke. InsyaAllah, assignments kamu tak hilang ya.”

Dia tergelak kecil dan terus kembali ke tempat duduk.

Risau kehilangan markah akibat kehilangan assignments yang telahpun dihantar? Terasa sia-sia ya andai itu yang berlaku. Bahkan, satu tugasan sahaja akan mempengaruhi gred pemarkahan. Boleh menentukan mendapat gagal atau lulus.

Bukan main-main.

Dan bagaimana andai ketika berdiri di hadapan Robb bersama segala amalan di dunia, tiba-tiba kesemuanya tidak dinilai, tidak ditimbang? Hidup sebentar cuma di dunia menjadi tiada makna? Meskipun menyangka telahpun beramal sebaiknya?

Haish, ini macam cerita orang muslim yang beramal sehingga menyangka “cukup” sudah amalannya untuk bertemu Pemilik Hari Pembalasan. Namun mengapa apa yang dibawa tidak ditimbang? Tiada nilaikah?

Katakanlah (Muhammad), “Adakah perlu Kami beritahu kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?” (iaitu) orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka  mengira telah berbuat sebaik-baiknya. Mereka adalah orang-orang yang mengingkari ayat-ayat TUhan mereka dan tidak percaya terhadap pertemuan denganNya. Maka sia-sialah amalan mereka, kerana kami tidak memberikan penimbangan terhadap amalan mereka pada hari kiamat.

Al-Kahf, 18 : 103-105

***

“Miss! Kenapa carrying marks saya rendah?”

-“Kamu tak jawab soalan. Saya tanya lain, kamu jawab lain.”

Eh, ni cerita lain pula. Kalau tadi kes assignment hilang meskipun dan hantar. Kali ini, bagaimana pula dengan kes hantar assignments tapi semuanya tak menepati kehendak soalan. Sulit memberi markah.

Artikel ini sebenarnya cuba mengumpulkan 2 kata akar yang ingin saya fahami dari Al-Quran iaitu ح ب ط  (menjadi sia-sia) dan  ض ي ع  (sia-sia juga maksudnya ni tapi selalu digunakan dalam konteks Allah tidak akan mensia-siakan ganjaran orang  yang beramal)

Bersedia untuk marathon 2 kata akar ni?  (^_^)v

 

***

Siapakah orang yang sia-sia amalannya?

  1. Orang yang berpaling dari kebenaran (setelah beriman) lalu mati dalam keingkaran (2:217)
  2. Orang yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi serta membunuh orang yang menyeru manusia berlaku adil (3:21-22)
  3. Lelaki yang mengingkari syariat , berzina atau menikahi perempuan sekadar untuk menjadikannya perempuan simpanan tidak memberikan hak nafkah (5:5)
  4. Munafiq yang memberi alasan meminta bantuan musuh (5:52-53)
  5. Syirik dengan tidak menjadikan Allah satu-satunya sumber petunjuk iaitu Al-Quran. Masih nak jadikan selainNya petunjuk. ( 6:88)
  6. Orang yang dah nampak bukti kebenaran tak nak beriman. Dah nampak jalan hidayah, tak nak ambil jalan petunjuk. Bila nampak jalan kesesatan, terus ikut.Mereka inilah yang mendustakan ayat-ayat Allah dan tidak mengimani pertemuan akhirat. ( 7 : 146-147)
  7. Musyrik yang kononnya memakmurkan masjid Allah (9:17)
  8. Munafik lelaki, perempuan dan kuffar (9:68-69)
  9. Orang yang usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (11:15-16)
  10. Orang yang mengingkari ayat-ayat Allah dan pertemuan denganNya (18:105)
  11. Orang yang tidak beriman serta bercirikan bakhil, mengharap bantuan nabi saat datangg ketakutan tetapi mencela nabi bila ketakutan itu hilang juga tamakkan kebaikan dari Nabi  (33:19)
  12. Mensyirikkan Allah, masih mengabdikandiri serta memuja kepada selain Allah (32:64-65)
  13. Tak suka apa yang diturunkan Allah , Al-Quran (47:9)
  14. Mengikuti apa yang menyebabkan kemurkaan Allah, membenci perkara yang diredhaiNya (47:28)
  15. Orang-orang yang ingkar iaitu mereka yang menghalang dari jalan Allah, memusuhi Rasulullah setelah nyata kebenaran petunjuk (47:32)
  16. Orang-orang yang mengangkat suara melebihi suara nabi dan menyaringkan bahasa semasa bercakap denganNya. (49:2)

 

***

Lawan kepada amalan yang sia-sia adalah amalan yang Allah jaga dan tidak akan menghapuskannya di akhirat kelak. Amal itu selamat.

Nak tahu siapa golongan yang Allah tidak mensia-siakan amalan mereka?

  1. Umat pilihan lagi adil. Memberi keterangan kepada umat manusia. Taat saat turun perintah pertukaran kiblat (2:143)
  2. Mukminin yang mati terbunuh di jalan Allah (3:169-171)
  3. Orang yang beramal dari kalangan lelaki dan perempuan. Orang-orang yang berhijrah, yang disakiti kerana menjalankan agama, yang berperang dan terbunuh di jalan Allah (3:195)
  4. Muslihin yang berpegang kuat pada Al-Kitab dan mendirikan solat (7:170)
  5. Muhsinin yang ikut berperang dan peduli akan Rasulullah tidak mengabaikannya (9:120)
  6. Muhsinin yang bersabar (11:115)
  7. Muhsinin seperti Nabi Yusuf (12:56)
  8. Muhsinin yang takutkan Allah dan bersabar (12:90)
  9. Orang yang beriman dan beramal soleh . Beriman dengan apa yang dating dari Tuhan (18:29-30)

 

***

Tazakkur.

Apa pengajarannya?

Merenung rangkaian ayat-ayat di atas, menemui satu pattern.

Asas untuk tidak sia-sia amalan adalah beriman kepadaNya dengan taat segala aturanNya. Ini tidak akan dapat dicapai andai tidak memahami QalamNya (Al-Quran).

Jauhnya manusia daripada Quran membuatkan imannya masih goyah dalam ketaatan dan cenderung mengingkariNya meskipun tanpa sedar.

Bahkan di kalangan orang yang “baik-baik” juga, harus berhati-hati. Kerana “baik” pada akal kita mungkin tidak sama dengan garis panduan ilahi. Menganggap diri “baik”, sudah beramal soleh tetapi tidak memahami Quran. Logikkah formula ini?

Bagaimana untuk beriman dan beramal soleh sedangkan kandungan Quran tidak difahami? Nak tahu iman dan amal soleh kena tahu apa yang Allah cakap mengenainya ye tak?

Logikkah?

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.