Tadabbur Tazakkur

Dunia adalah dunia.

Bukan syurga.

Jangan sampai tertukar.

______________

 

“Pelik buku ni. Muka surat pertama je dah tulis – Hidup ni susah.”

-“Tak setuju?”

“Ni kan buku spiritual. Buku motivasi. Buku inspirasi. Kenapa tak tulis yang positif sahaja? Kenapa nak memulakan dengan persepsi hidup ini susah? Yang peliknya bagaimana boleh jadi bestseller?”

-“Betullah apa Scott Peck tulis tu.”

“Kau terima pendekatan dia? Untuk melihat dunia ini dengan kacamata ‘susah’ ?”

-“Bukan begitu. Kau kena melihat impaknya jika manusia itu sejak awal lagi sudah menerima bahawa dunia ini adalah dunia.”

“Aish… makin berfalsafah nampaknya.”

_____________

Masalah penyakit mental yang semakin meningkat. Ada yang memberikan kaedah rawatan dengan membina persepsi, membangun pencegahan.

Eh?

Pencegahan bukan rawatan?

Tetapi realitinya manusia yang sebelum diuji telahpun punyai mindset yang “aku pasti diuji” akan bertindak lebih matang dan sabar saat kesulitan itu menimpa. Impaknya berbeza dengan golongan yang sentiasa bahagia dan berharap langit sentiasa cerah, lalu saat ujian menimpa, terus rebah.

Justeru, untuk mengelakkan diri daripada terperangkap dalam kemurungan dan keresahan berpanjangan, menyedari hakikat dunia adalah dunia itu penting. Agar mampu bersedia, berfikir rasional. Tidak sampai mahu membunuh diri saat RM700 000 hilang sekelip mata. Sedangkan bukankah RM300 000 masih ada di genggaman?

Dunia itu, hakikatnya apa? Medan ujian mencari calon syurga?

Dan Kami tidak mengutus rasul-rasul sebelummu melainkan orang-orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar-pasar dan Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai  ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain, supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) adalah Tuhanmu sentiasa Melihat.

Al-Furqan, 25 : 20

Ujian hidup, memang sebenarnya isu yang perlu dirungkai antara manusia sesama manusia.

Pernah mengecapi bahagia kurang 2 tahun perkahwinan, “tiba-tiba” diuji kehilangan anak dalam kandungan juga suami yang sangat penyayang. Kecewa jiwa raga sehingga mahu menyalahkan Taqdir. Mengapa meminjam segala rasa jika rupa-rupanya untuk sebentar cuma?

Pernah menikmati normalnya  hidup penuh aman. Memenuhi segala cita-cita dan impian hari demi hari. “Tiba-tiba” diuji dalam kemalangan sehingga merenggut deria bau dan sebelah tangan. Tiba-tiba terasa betapa gelapnya dunia. Bagaimana untuk meneruskan?

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut dan kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Al-Baqarah, 2 : 155-157

Kamu pasti diuji.

Pasti.

Meyakini realiti ini mempersiapkan manusia untuk cekal dan tabah saat ujian itu benar-benar hadir. Sedangkan Tuhan tidak pernah meninggalkan hamba-hambaNya. Dan di sebalik setiap ujian ada ayat-ayatNya memujuk dan memandu kehidupan.

Resah dengan rezeki yang tidak cukup-cukup saat diuji berpisah dengan suami? Bagaimana QalamNya hadir memujuk penuh cinta. Kembali meletakkan pergantungan dan pengharapan kepada Dia dan bukan dia.

Hilang arah ketika ekonomi menghimpit, kehilangan segala-galanya sekelip mata akibat tersilap memilih langkah. Bagaimana untuk menjadi seoptimis Mr Sandwich (Sirivat) yang bangkit daripada bebanan hutang, terus melakar kejayaan atas segala kesulitan yang menimpa.

Dalam gelapnya kesukaran yang menimpa. Sentiasa ada ruang syukur yang mampu dilonjakkan, bangkit membangun prestasi di persada dunia yang sementara. Kerana walau apa pun yang hilang dari genggaman, selagi ada nikmat nyawa, kehidupan itu sendiri rahmat terbesar yang diimpikan mereka yang telah pergi.

Hanya yang telah tercabut nikmat kehidupan akan merasai betapa dahsyatnya anugerah kehidupan meskipun sehari. Bukan untuk menikmati dunia. Bukan untuk merasai lazatnya sajian. Tetapi untuk mencari ruang amal soleh, pengabdian kepadaNya, sehingga melayakkan diri meraih syurga.

Kerana dunia adalah dunia.

Dan syurga adalah syurga.

Mahu mengharap syurga di dunia, lalu kecewa saat segala yang diingini hilang atau tidak dimiliki? Mengapa tidak menukar perspektif kehidupan, kembali redha dan menerima dunia ini realitinya medan ujian.

Dan dunia bukanlah syurga untuk meraih segala yang diimpi. Apa yang kau inginkan, realitinya hanya abadi di syurga

Mereka tidak mendengar suara (julangan) api neraka itu dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat syurga) yang diingini oleh jiwa mereka.

Al-Anbiya’, 21 : 102

Walauapapun kesukaran yang dialami saat ini. Walauapapun situasi yang tidak disukai yang terpaksa dihadapi. Syukuri. Dan hadapi penuh iman, dengan petunjuk wahyu. Kerana tindakan itu boleh menjadi amal soleh.

Dengan segala kelemahan, syukuri dan kumpullah kekuatan.

Dengan segala yang tidak dimiliki, syukuri dan serlahkan segala yang telahpun dimiliki.

Dan izinkanlah malaikat-malaikat berbisik kepadamu.

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata “Tuhan kami ialah Allah”. Kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham) “Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. Kamilah penolong-penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh (pada hari akhirat) apa yang diingini nafsu kamu serta kamu akan beroleh apa yang kamu cita-citakan mendapatkannya.

Fussilat, 41 : 30-31

________________

Moga pilihanraya kali ini membawa kebaikan melimpah ruah buat rakyat Malaysia,  menjemput rahmatNya, bermula dengan setiap diri peduli memenuhi formula Tuhan untuk Berjaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.