Dua latihan yang mempengaruhi kekuatan taqwa
A : Aku tahu , Allah suruh maafkan dan jangan marah. Tapi aku mudaaaah sangat nak meletus. Kadang-kadang hal-hal kecil pun aku tak boleh tahan marah.
B : Aku pun. Tahu je Allah tak bagi mengumpat, mencela orang lain. Tapi musim PRU ni, tak boleh tahanlah. Kita pun nak back up “golongan” kita.
A : Ada tak pil atau ubat, kita makan je, terus berubah ikut peribadi acuan Quran? Senang hidup.
B : Weih, Kalau ada, belikan untuk aku sekali.
______________________________
Peribadi yang mengikut acuan Quran. Mampu memaafkan dan menahan marah kerana Tuhan. Sanggup menahan menjaga tutur kata kerana mengimani QalamNya.
Andai semua manusia begini, tunduk mengikut acuan Quran, alangkah indah dan damainya dunia.
Tiada penyalahgunaan kuasa.
Tiada rompakan duit negara.
Tiada gejala sosial
Tiada keruntuhan rumahtangga.
Kesemuanya teratur,
Damai, harmoni, tenang.
Tiada lagi peperangan meragut nyawa tidak berdosa.
“Ada ke pil / ubat yang boleh ubah peribadi manusia agar langsung patuh tunduk acuan Quran?”
Andai ada, mudahlah tugas khalifah.
Tetapi realitinya, peribadi yang tunduk acuan Quran, itulah definisi peribadi yang bertaqwa.
Peribadi bertaqwa memerlukan kemampuan untuk membuat keputusan yang sentiasa selari dengan tuntunan Quran.
Kenapa buat begini dan tidak buat begitu? Kenapa memilih ini dan bukan itu?
Kemahiran membuat keputusan. Apa yang perlu diperhatikan?
_________________________
Istilah “delay discounting” adalah antara yang dikaji dalam aspek kemahiran membuat keputusan. Delay discounting merujuk sikap seseorang yang sanggup mengabaikan kebaikan atau keuntungan masa hadapan , kerana mementingkan nikmat atau keuntungan yang akan diperoleh pada masa sekarang. Ia terkait isu impulsivity. Lagi tinggi index “delay discounting” seseorang, lagi tinggi risiko seseorang membuat keputusan melulu yang merugikan. Contohnya lebih sanggup memakan sepotong kek sekarang untuk menikmati rasanya yang enak, berbanding menahan diri dan bersabar kerana mengharapkan keuntungan dan kebaikan masa hadapan iaitu badan yang sihat dan slim. Contoh lain, lebih sanggup memilih tidur yang sekarang berbanding sabar menghafal Al-Quran agar nanti mampu memvariasikan bacaan dalam solat dan lebih khusyuk.
Melihat delay discounting dari perspektif Taqwa, lagi rendah delay discounting seseorang, lebih tinggi kemungkinan untuk dirinya mengutamakan keuntungan akhirat berbanding dunia. Lebih sanggup menahan diri melakukan segala yang Dia larang, mengetepikan kenikmatan dunia yang sementara kerana lebih mahukan keuntungan jauh lebih besar di akhirat kelak.
Perbincangan ini, ada kaitan dengan fungsi otak bahagian pre-frontal cortex dan lymbic system. Atau ada sesetengah ahli psikologi suka menggelarkannya hot-and-cool system. Cool system merujuk kemahiran membuat refleksi dan berfikir (pre-frontal cortex) manakala hot system lebih kepada tindakan beremosi dan impulsive (Lymbic)
Ada kajian tentang latihan “menahan diri” berserta kaitannya terhadap kemahiran membuat keputusan. Mereka memilih food domain dan sex domain untuk melihat keterkaitannya dengan delay discounting. Saat membaca kajian ini, minda saya terus teringat Al-Baqarah ayat 183 dan 187 yang menjurus kepada taqwa. Kerana kedua-duanya terkait menahan diri dalam konteks food domain & sex domain.
Dalam kajian tersebut sekumpulan individu diberi latihan menahan diri daripada makanan kegemarannya selama 3 minggu manakala sekumpulan yang lain diberi latihan menahan diri daripada melihat pornografi dalam tempoh yang sama.
Hasilnya, kumpulan yang dilatih menahan diri daripada melihat pornografi memberikan keputusan “delay discounting” yang lebih rendah. Atau dalam bahasa mudahnya, mereka mampu membuat pilihan yang lebih baik dan mampu bersabar tidak terus mendapat habuan segera. Antara soalan-soalan untuk menilai “delay discounting” adalah seperti
“Disebabkan anda telah terlibat dalam kajian ini, anda layak mendapat honorium daripada kami. Kami akan memberikan pilihan. Adakah anda lebih menyukai untuk mendapat wang RM200 hari ini atau mendapat RM400 pada 2 bulan akan datang?”
Mengapa kajian ini dilakukan? Ini ada kaitan dengan sistem otak manusia yang punyai kemampuan membuat refleksi dan berfikir, juga komponen otak yang mengurus rasa bahagia saat mendapat nikmat & memenuhi keinginan. Otak limbic yang diaktifkan dengan perembesan Dopamine memainkan peranan dalam hal-hal motivasi, impulse control dan self-regulation. Dopamine ini juga yang mempengaruhi proses membuat keputusan terhadap nilai untung/rugi yang akan diperoleh. Justeru, sikap manusia yang berterusan mengaktifkan otak limbic, sentiasa segera memenuhi keinginan dan expected rewards, akan mempengaruhi kemampuan seseorang membuat keputusan. Otak limbic yang sentiasa diaktifkan ada pengaruh atas kemampuan pre-frontal cortex membuat keputusan.
Dapat kita perhatikan individu yang bawah pengaruh dadah gagal menilai dan membuat keputusan yang benar kerana “chemical rewards” sentiasa mengaktifkan otak limbicnya , melemahkan akalnya membuat refleksi. Selain chemical rewards, natural rewards yang turut bertindak pada bahagian otak yang sama adalah dalam food domain & sex domain.
___________________________________
Latihan “menahan diri” rupa-rupanya memberi ruang pada pre-frontal cortex untuk lebih tajam membuat keputusan. Tidak membiarkan otak limbic mendominasi untuk sentiasa dipenuhi sehingga berdampak negatif (Addiction).
Pun begitu, kemahiran membuat refleksi dan berfikir, tidak juga dapat membawa kepada output Taqwa andai ayat-ayat Al-Quran tidak difahami.
Misalnya, mampukah seseorang memilih dan membuat keputusan menahan marah saat ini, kerana memilih yang “kemudian”, iaitu pengampunan Tuhan seandainya dirinya tidak pernah mendengar Qalam Tuhan yang memotivasikan?
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara pasangan-pasanganmu dan anak-anakmu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka(maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (64:14)
Nak buat keputusan mana? Sanggup memilih yang “nanti”? Sanggup pilih ganjaran keampunan yang lebih besar daripada memenuhi kehendak emosi yang sekarang?
________________
Taqwa.
Mula dengan latihan menahan diri.
Mengaktifkan kemampuan kemahiran membuat keputusan yang lebih benar.
Dan asahlah kemahiran membuat keputusan berpandukan Al-Quran sebagai petunjuk, bayyinah dan furqan.
_______________