Sudah lama tadabbur
“Saya sudah lama tadabbur. Sejak 2017…”
“Saya rasa saya sudah pergi banyak kelas tadabbur. “
“Cukuplah dulu kelas tadabbur. Pergi belajar perkara lain pula.”
Tadabbur ialah satu aktiviti berinteraksi dengan Quran. Ia bukan sekadar menghadiri kelas seperti ke universiti – yang ada tamatnya.
(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.(38:29)
Bagaimana untuk terus berinteraksi dengan Quran? Apakah motivasi untuk terus belajar Quran? Kerana kita mahu menjadi golongan Rabbani – mengajar dan belajar Quran secara berstruktur.
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (3:79)
Proses belajar Quran itu perlu distrukturkan. Surah demi surah, ayat demi ayat, topik demi topik, huruf demi huruf. Sudah tentu ada ilmu Quran dan bahasa yang perlu diselidiki. Ada disiplin ilmu pelbagai dalam Quran yang perlu dirujuk dan dikaji. Barulah ia menjadi satu dars atau pembelajaran.
Setiap kali rasa bosan atau seperti sudah banyak baca atau tadabbur, ingatlah motivasi dari Surah ali Imran ayat 79: untuk terus mengajar dan belajar.