Dingin Sungai Itu
Nama surah dan no ayat
57) Al-Hadiid 29 : Ayat 12
Artikel ini ditulis oleh siti zubaidah
Kicauan burung sahut menyahut tanpa henti.
Sesekali kedengaran nyaring bunyi angin bergeser dengan daun.
Air sungai tetap terus mengalir menuruni di celahan batu. Walaupun sesekali terlihat kanak-kanak sibuk menyusun batu-batu sungai untuk membentuk seolah-olah benteng bagi menghalang air sungai dari melimpah ke bawah, namun usaha itu tidak berhasil.
Begitulah nikmat dan kasih sayang Allah kepada manusia tidak pernah berhenti kerana dengan sifat Ar-Rahman, Allah tetap terus memberi nikmat kepada semua manusia tidak kira sama ada hamba itu mentaatiNya atau mengingkariNya. Betapa baiknya Allah Ya Barr Ya Rahman.
Aku pandang dan aku tenung air sungai yang tetap terus mengalir.
Aku sentuh air sungai itu. Dingin. Menyegarkan.
“Ya Allah, tenangnya. Bahagianya perasaan ini. Beginikah syurga?” bisik hati kecilku.
Aku tadah air sungai yang mengalir lalu aku sapukan ke wajahku. Bahagianya.
Perasaan yang sukar untuk diungkapkan. Terasa seolah-olah tidak mahu pulang ke kota. Aku ingin terus berada di sini. Selama-lamanya.
Mungkin inilah perasaan ketika di syurga nanti. Hanya ingin menikmati segala keindahan syurga.
Aku teringat kata-kata Ustaz Marwan, guru Pendidikan agama yang mengajarku ketika di MRSM Batu Pahat. Hakikatnya Allah Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid yang mendidik dan mengajarku. Antara ayat dia.
“ Dekat syurga nanti ada sungai-sungai yang mengalir. Orang yang beriman akan berada di dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai.”
Tiba-tiba fikiranku melayang lagi. Hanyut dibawa air sungai menyelusuri celahan batu-batu.
“Bagaimana agaknya bila ada rumah atas sungai ye? Mesti rasa taknak pergi ke mana-mana.” hatiku bermonolog sendirian.
Perlahan-lahan aku capai smartphone ku lalu aku cari semula posting salah seorang kenalan fb ku. Beberapa hari lalu dia ada share tentang ayat berkaitan sungai.
Allah Ya Zohir, Allah tunjukkan padaku ayat Surah Al-Hadid ayat 12:
“(yaitu) pada hari ketika kamu melihat orang mukmin laki-laki dan perempuan, sedang cahaya mereka bersinar di hadapan dan di sebelah kanan mereka, (dikatakan kepada mereka): “Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (yaitu) syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, yang kamu kekal di dalamnya. Itulah keberuntungan yang besar.“
Tapi Ya Allah, aku tak layak untuk dapat nikmat syurga seindah ini.
“Solatku di akhir waktu Ya Allah.
Solatku sering terburu-buru Ya Allah.
Solatku asal buat sahaja Ya Allah.
Solatku dalam keadaan tidak fokus ingatan kepadaMu Ya Allah.
Ingatan dan fikiranku sering sibuk dengan urusan dunia Ya Allah.”
Tanpa ku sedari mataku berkaca, lantas air mataku tumpah dengan deras. Sederas air sungai yang mengalir laju.
“Imanku goyah Ya Allah. Ajari aku Ya Allah untuk menjadi mukmin sejati yang teguh imanNya, yang teguh pasak tauhidNya Ya Ahad Ya Wahid Ya Somad. Aku ingin merasa lazatnya menikmati hidup dengan iman yang teguh Ya Allah. Ajari aku Ya Alim Ya Hakim Ya Rashid. Adakalanya saat aku ingin berlari mengejarMu Ya Allah, aku tersungkur dan tersadung, Allah. Tariklah aku Ya Allah. Selamatkanlah aku Ya Allah Ya Hafiz Ya Muhaimin dari terus jatuh dan lemas dalam lautan kesesatan. Bawalah aku dekat denganMu Ya Khobir Ya Roqib. Dakaplah aku dengan kasih sayangMu Ya Rahman Ya Rahim Ya Rauf Ya Karim. Aku yakin dan pasti, kasih sayangMu tidak pernah berhenti dan bertepi untukku hamba yang lemah ini.“