Penawar Hati
Nama surah dan no ayat : 2) Al-Baqarah 286 ayat 216
Artikel ini ditulis oleh Rohanah Mohd. Yasin
*****
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
Ayat diatas adalah salah satu dari ayat- ayat yang terdapat di dalam al-Quran yang banyak memberi kesan yang sangat besar ke dalam jiwa. Inilah ubat yang menjadi penawar kepada segala kesedihan, kerisauan dan stress.
Seringkali di dalam kehidupan kita dilanda berbagai cabaran dan dugaan yang mengundang rasa kesedihan, kerisauan, kemurungan dan stress yang seolah-olah tidak ada penghujungnya. Mungkin tidak dapat apa yang dihajati, kehilangan orang yang dikasehi atau harta- benda yang sangat penting di dalam kehidupan, kehilangan kesihatan yang dinikmati.. kehilangan pekerjaan , etc atau perubahan hidup secara mendadak yang kadangkala tidak dapat diterima dengan hati yang tenang. Seringkali kita mahukan ini tapi dapat itu. Plan begini tapi jadi begitu , suka yang ini tapi dapat yang itu, yang diharap tidak dapat yang tidak diharap pula yang mendatang. Inilah realiti kehidupan yang sentiasa dihadapi tanpa hentinya. Adakalanya kita boleh menerima takdir tersebut dengan sabar dan redha tetapi banyak yang kita rasakan susah hendak menerimanya. Ianya memberi tekanan kepada perasaan yang menyebabkan kemurungan, stress dan merasakan hidup ini tidak ada indahnya. Seolah-olah kesusahan itu tidak ada penghujungnya. Kita tidak dapat meneruskan kehidupan dengan tenang, gembira dan produktif. Masa berlalu kita semakin down dan semakin tidak dapat menghasilkan apa-apa kebaikan kepada diri atau orang yang berada di sekeliling kita. Malah mungkin akan memberi impak yang negatif pada orang di sekeliling kita, keluarga atau rakan sekerja etc. Adakah kita mahu kehidupan yang sebegitu sehingga ke penghujung usia kita. Atau adakah kita sanggup hidup bersama orang yang seperti ini? Sehingga bila ? Begitulah kehidupan yang kita lalui sekiranya tidak merujuk kepada al-Quran yang dapat memberi solusi kepada segala masaalah yang kita hadapi didalam kehidupan. Ayat diatas memberi satu sinar dan pengharapan agar kesedihan dan kerisauan itu jangan dilayan dan dipanjang-panjangkan. Allah seolah-olah memberitahu kita betapa Dia Maha Memahami perasaan kita dan diberi contoh tentang perang.. betapa pergi berperang adalah sesuatu perkara yang dibenci tapi boleh jadi perkara yang dibenci itu baik untuk kita sebaliknya boleh jadi perkara yang kita suka itu buruk bagi kita. Allah menegaskan dan memperingatkan kita bahawa Dia Yang Maha Mengetahui sedangkan kita tidak mengetahui. Tidak cukupkah ayat ini sepatutnya menjadi ayat yang benar-benar boleh memujuk hati kita agar kita tidak terus melayan perasaan negatif yang melanda jiwa dan berpanjangan sehingga bila? Adakah kita meragui kata-kata Allah yang lebih tahu dari kita yang serba tak tahu? No wonderlah ayat kata-kata Allah dari surah Al-Asr
Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-
pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Hanya orang yang baca, faham, benar-benar beriman dan beramal dengan ayat di atas tidak akan mendapat kerugian di dalam kehidupannya. Keimanan kepada Allah dan ayat-ayatNya memberi motivasi untuk bangun semula dan meneruskan kehidupan dengan lebih produktif sekiranya terjatuh. dan tersungkur dikala melalui ujian dan cubaan. Keimanan yang meyakinkan bahawa Hanya Allah yang Maha Mengetahui apakah kebaikan yang tersembunyi di sebalik perkara-perkara yang tidak kita sukai yang berat untuk diterima oleh hati kita membuatkah hati menjadi tenang dan sabar untuk menerima ketentuan takdir tersebut. Atau mungkinkah kita tidak mengenali Allah dengan sifat-sifatNya? Mengenali Allah dan keyakinan kepada sifat Allah Ya Rahman Ya Rahim yang Maha Pengasih Maha Penyayang yang tidak akan menzalimi dan menganiaya hambaNya, Ya Barr Yang Maha Baik yang sentiasa memberi kebaikan yang melimpah ruah kepada hambaNya menurut pandanganNya menyebabkan hati tidak memberontak akan takdir yang tidak menggembirakan pada pandangan kita.Ya Allah Ya Hafiz ya Muhaimin Ya Wahhab yang Maha Memelihara, Maha Melindungi dan Maha menolong sentiasa memberi yang terbaik pada masa yang tepat menurut perancanganNya Yang Maha Bijaksana Ya Hakim.
Patutkah kita merasakan bahawa kita lebih tahu dari Allah? . Mungkin juga keimanan kita sebenarnya lemah dan tidak percaya akan janji Allah bahawa pada setiap ujian ada hadiah yang menunggu kita di penghujung jalan sebagaimana bukti yang kita boleh baca melalui kisah-kisah para nabi dan para salihin yang tertera di dalam al-Quran. Mungkin juga kita tidak dapat menerima tentang hakikat kehidupan ini yang memang penuh dengan ujian yang akan Allah datangkan silih berganti sehinggalah kita kembali kepada Allah dengan jiwa yang bersih. Ayat Allah di bawah ini mengingatkan :
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari
tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan
kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
Samada kita beriman atau tidak, menerima hakikat kehidupan atau tidak, kita mesti meneruskan kehidupan samada dalam suka atau derita yang mana akhirnya kita akan sampai ke penghujung usia tanpa kita tahu bila….Mungkinkah 10 tahun lagi atau setahun lagi atau esok atau sesaat lagi? Alangkah malangnya kita diberi akal dan peluang masa tetapi tidak mahu mencari solusi kepada segala masaalah di dalam kehidupan kita yang semuanya Allah Yang Maha Penyayang telah sediakan di dalam al-Quran yang bagaikan cahaya yang akan mengeluarkan kita dari kegelapan dan menyuluh jalan untuk mencapai kebahagiaan dan kejayaan di dunia dan diakhirat.
Peringatan untuk diri sendiri terutamanya. Masih belum terlambat untuk membaiki diri dengan lebih berusaha mengenali Allah dan mendekatkan diri dengan al -Quran , hadiah yang sangat berharga dari Allah, mukjizat teragung untuk kita semua baca, faham, benar-benar beriman dengannya dan beramal.