7 Hikmah Musibah
COVID19 terus mengganas. 9 November 2020, PKPB kembali semula! Keadaan masyarakat semakin merancukan. Perancangan jadi cacamerba, ekonomi merosot, hidup kelam-kabut, fikiran jadi serabut. Sebagai orang yang beriman, kita yakin dan pasti ini adalah sebahagian daripada ujian Allah untuk membawa kita kembali ke jalan yang lurus.
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا۟ ٱلْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ ٱلَّذِينَ خَلَوْا۟ مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ ٱلْبَأْسَآءُ وَٱلضَّرَّآءُ وَزُلْزِلُوا۟ حَتَّىٰ يَقُولَ ٱلرَّسُولُ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَعَهُۥ مَتَىٰ نَصْرُ ٱللَّهِ ۗ أَلَآ إِنَّ نَصْرَ ٱللَّهِ قَرِيبٌۭ
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”
Cubaan dan musibah, masalah dan penderitaan, kesakitan dan bencana membawa reaksi berbeza kepada setiap orang. Kebijaksanaan diperlukan dalam usaha memahami dan menangani masalah dunia ini.
Rasionalnya, kita sebagai manusia tidak dapat memahami mengapa Allah SWT turunkan COVID19 yang membawa kesan yang begitu besar kepada dunia sejagat. Kita tidak dapat menerima hakikat bahawa orang-orang yang tidak bersalah mati di seluruh dunia. COVID19, malapetaka, perang saudara, tragedi dan ada di antaranya yang kita sebut sebagai ‘perbuatan Tuhan’ seperti banjir, tsunami dan gempa bumi membawa kesedihan kepada manusia.
Sebahagian dari musibah muncul dari perbuatan manusia sendiri seperti perang saudara di Syria, Burma, Kashmir dan seluruh dunia. Mengapa Allah atau Tuhan mengikut kepercayaan agama yang lain membenarkan ini berlaku? Setiap agama mempunyai jawapan masing-masing. Mustahil bagi kita manusia untuk memahami sepenuhnya. Namun, kita akur semua yang berlaku adalah percaturan Allah Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Baari’, Yang Maha Pemurah Maha Penyayang dan Maha Merancang.
Terdapat beberapa hikmah musibah yang pernah disebutkan oleh seorang sarjana Islam yang sangat terkenal Al Izz Ibn Abd Salam, seorang alim yang hebat pada abad ke-7. Tidak ada manusia di dunia yang menjalani kehidupan yang sempurna dan tanpa ujian. Sekiranya rasa sakit itu tidak secara fizikal, ia datang berbentuk mental, jika tidak secara mental ia datang dalam bentuk emosi atau kewangan.
Tiket ke syurga mahal harganya dan hanya boleh dimasuki oleh orang-orang yang berjaya dalam ujian di sepanjang kehidupan. Setiap manusia mengalami beberapa jenis ujian pada masa tertentu. Sebagai Muslim, kita mesti memahami dan menerima bahawa kehidupan ini adalah kehidupan yang penuh cubaan dan penderitaan.
Al Izz Ibn Abd Salam mengatakan terdapat 7 hikmah sesuatu musibah berlaku:
1) Untuk menunjukkan rububiyah(ketuhanan) Allah. Untuk menunjukkan bahawa ada Rabb(Tuhan) dan kita bukanlah Tuhan. Kita tidak berkuasa, ada zat yang berkuasa, dan zat tersebut adalah Yang Maha Menentukan. Hidup tidak mengikut apa yang kita mahukan. Pasti ada Rabb. Apabila kita mengalami malapetaka yang tidak diingini, kita harus memahami ada satu zat yang berkuasa mengawalnya. Allah sedang membimbing kita kembali ke jalan yang lurus.
2) Untuk menyedarkan kita adalah abd(hamba) Allah. Tidak ada yang berhak mencabar Allah mengapa Dia melakukan sesuatu, sebaliknya Allah akan bertanya kepada kita mengapa kita melakukan apa yang kita lakukan. Kita akan dihisab dengan setiap perbuatan dan dengan musibah dan bencana dapat menunjukkan siapa Tuhan dan siapa hamba.
3) Ketika dalam musibah, hati kita menjadi lembut, kita bertaubat kepada Allah, kita bertaubat atas dosa kita. Kita mengangkat tangan kepada Allah, kita merasa rendah diri di hadapan Allah dan mengaku bahawa kita tidak punya apa-apa. Kita mengangkat tangan dan meminta, berseru dengan kerendahan hati. Kita dapat merasakan hakikat iman dan sebab mengapa kita diciptakan.
Dengan melakukan ibadah kita membuktikan kehambaan pada Allah. Doa itu adalah ibadah. Oleh itu, apabila terjadinya musibah dan kita semakin dekat dengan Allah, maka itu adalah sebuah keberkatan. Musibah yang paling teruk adalah ketika ia membawa kita jauh dari Allah.
4) Melalui musibah, kita dapat melihat akhlak dalam diri setiap orang. Akhlak dalam mengawal kemarahan, memaafkan, menunjukkan kesabaran. Apabila seseorang melakukan sesuatu kepada kita, seseorang memarahi kita, maka akan ada yang lebih baik dari keduanya. Musibah akan menunjukkan siapa yang lebih baik antara kita.
5) Melalui penderitaan dan musibah, Allah turut menguji apakah ada pihak ketiga yang membantu dalam musibah itu. Allah menguji orang yang tidak menderita; adakah mereka akan terlibat dengan orang-orang yang menderita.
Bagaimana keadaan kita ketika orang lapar? Kita tidak lapar, kita dapat makan secukupnya namun adakah kita akan berkongsi makanan kita kepada mereka yang memerlukan? Bagaimana respon kita terhadap orang tidak mempunyai wang, tempat tinggal? Apabila orang memerlukan pertolongan, adakah kita akan menolong mereka? Bagaimana Allah akan memberi ganjaran kepada orang yang membantu anak yatim apabila tidak ada anak yatim yang perlu dibantu? Bagaimana Allah akan memberi ganjaran kepada orang yang memberi makan kepada orang yang lapar ketika tidak ada individu yang lapar untuk diberi makan?
Mereka yang diuji bukanlah satu-satunya yang diuji, yang tidak diuji sebenarnya sedang diuji tetapi dengan jenis ujian yang berbeza. Sebilangan dari kita diuji ujian kemewahan, yang lain diuji dengan ujian kekurangan. Oleh itu, hikmahnya adalah bahawa ujian setiap orang sedang berlangsung. Mereka mesti berkongsi dan memberi serta mempertahankan satu sama lain.
6) Antara hikmah lain adalah supaya kita dapat menghargai nikmat Allah. Menghargai keberkatan ketika tidak mengalami musibah dan masalah. Hanya ketika kita sakit, kita menghargai betapa indahnya ketika kita tidak sakit. Perkara yang sama berlaku jika kita melihat orang lain dalam percubaan, penderitaan dan kesakitan, kita perlu bersyukur kepada Allah dan belajar dari orang yang sedang diuji.
7) Hikmah terakhir adalah hikmah yang bakal kita dapatkan di hari akhirat kelak dimana mereka yang menderita akan berada di tempat perlindungan Allah, hisab mereka akan dimudahkan. Syafaat dan keutamaan akan diberikan kepada mereka di syurga. Sekiranya kita tidak mempercayai hari akhirat, kita tidak akan pernah dapat merasionalisasi dan memahami sebuah musibah dan penderitaan. Kita yakin bahawa pada hari akhirat keadilan akan ditegakkan, di akhirat setiap orang akan dibalas setimpal dengan perbuatannya. Sekiranya kita tidak mempercayai akhirat, bagaimana mungkin kita dapat memahami kebijaksanaan dunia ini?
PENUTUP
Sesungguhnya dunia penuh pancaroba. Dunia ini bukanlah syurga. Syurga juga disebut darussalam yang bermaksud sebuah tempat di mana tidak ada kesakitan, Tidak ada penderitaan dan kejahatan. Dunia yang kita hidup sekarang adalah tempat ujian untuk menguji siapa di antara kita yang lebih baik amalannya.
Allah SWT berikan ujian untuk melihat bagaimana kita bertindak terhadap kejahatan, keperitan dan penderitaan. Semoga Allah memberi kita iman dan keikhlasan yang diperlukan untuk mengatasi semua ujian dunia ini. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kita bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah. Semoga Allah kurniakan kita ganjaran syurga dengan rahmat-Nya.
RUJUKAN
- Al-Quran Al-Karim
- Terjemahan Alya Azmi daripada Ceramah Shaykh Dr. Yasir Qadhi, 7 Wisdoms of Pain and Suffering, https://www.youtube.com/watch?v=NslxarPyHwE
Mereka yang ditimpa musibah, jelas diuji. Usaha, sabar dan redha.
Mereka yang tidak ditimpa musibah juga diuji. Sekadar memerhati dan menjauhi?
Hakikatnya kita semua diuji. Ujian mana yang lebih “tricky”?