Tadabbur Tazakkur

Menjemput Kemenangan

Tadabbur Surah an-Nasr

Surah ke 110
Madaniyyah
3 ayat

Keistimewaannya – Sebanding dengan satu perempat al-Quran

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ – 110:1
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan”,

وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا – 110:2
“Dan engkau melihat manusia masuk dalam ugama Allah beramai-ramai”,

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا – 110:3
“Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”

Mesej

An-Nasr bermakna pertolongan Allah SWT.

Tema surah an-Nasr – bagaimana menyambut kemenangan dan menjemput lebih banyak kemenangan daripada Allah SWT.

Dalam al-Quran, surah ini datang selepas surah al-Kafirun (Orang-orang Kafir) iaitu surah yang dituju kepada kaum Musyrikin Mekah yang tidak mahu menerima seruan dan petunjuk kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Surah al-Kafirun mengandungi larangan menyembah selain Allah, mengandungi pokok aqidah dan segala perbuatan hati. Surah al-Kafirun memberi pedoman yang tegas bagi pengikut Nabi Muhammad SAW bahawasanya aqidah tidaklah dapat diperdamaikan. Tauhid dan syirik tidak dapat dipertemukan.

Surah yang datang selepas al-Nasr ialah surah al-Lahab iaitu surah yang menjelaskan kebinasaan dan azab yang teruk kepada manusia yang menentang seruan Nabi Muhammad SAW.

Manakala dalam surah al-Nasr ini, Allah memberi jaminan bahawa Allah hanya akan menolong agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Kemenangan yang sebenarnya hanya akan dicapai dengan pertolongan Allah.

Fatah = pembukaan
Tujuan dakwah = untuk buka hati manusia kepada nur hidayah

Kemenangan ini membuka jalan untuk lebih ramai manusia memeluk Islam, iaitu agama Allah yang mendapat cahaya petunjuk yang sebenarnya. Manusia yang mengikut agama Allah akan mendapat bantuan Allah untuk berhijrah dari kegelapan kepada cahaya Islam yang akan membawa kejayaan yang hakiki.

Ini berkait rapat dengan surah al-Fatihah surah pembukaan. Sebagai hamba yang berperanan untuk mengabdikan diri kepada Nya dan sebagai khalifah untuk membawa manusia mengabdikan diri kepada Allah, maka kita mestilah memulakan apa saja perbuatan dengan menyebut nama Allah dan memuji Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Dengan izinNya kita akan berjaya mencapai kemenangan. Kemenangan melawan bisikan nafsu dan syaitan yang menyesatkan kita. Kemenangan yang hakiki iaitu untuk masuk syurga dengan rahmatNya.

Allah juga mengajar cara untuk meraikan kejayaan iaitu dengan bertasbih, bertahmid dan beristighfar. Allah memberi keyakinan bahawa Dia Maha Penerima Taubat atas apa saja dosa yang telah dilakukan.

Peringatan

Janji kemenangan daripada Allah akan diberikan kepada sesiapa yang layak. Apabila kita diberi kemenangan oleh Allah, kita juga akan mendapat sokongan daripada manusia untuk terus berada pada jalan Allah SWT. Tetapi sekiranya kemenangan membawa kita semakin jauh dari agama Allah itu bermakna kemenangan itu bukan dengan pertolongan daripada Allah. Itu adalah sebagai satu istidraj, sebagai satu warning daripada Allah.

Kita akan dapat menjemput lebih banyak kemenangan di dunia dan akhirat dengan bertasbih, bertahmid dan istighfar kepada Allah SWT. Kemenangan bukan ditangan kita kemenangan ditangan Allah. Kita kena berikhtiar, berusaha, berdoa dan bersabar untuk mencapai kemenangan

Apa saja perjuangan yang kita lakukan kita mengaharapkan hati kita dan hati-hati manusia terbuka kepada Islam. Bila Islam mengalahkan musuh itu disebut sebagai fatah ertinya pembukaan kepada cahaya Islam. Tujuannya fatah untuk bawa manusia kepada nur hidayah.

Bila kita dapat nikmat jangan sombong jangan bongkak, sebaliknya mencontohi Rasulullah SAW semasa kemenangan “Membuka Mekah”. Bila dapat kejayaan dan kemenangan, lebih dekatkan diri kepada Allah dengan tasbih, tahmid dan istighfar. Allah akan tambahkan lagi nikmat bila kita mensyukuri kemenangan.

Penawar

Kita akan berasa lega apabila mengetahui bahawa Allah sentiasa menolong hambaNya yang berbuat sesuatu keranaNya. Allah akan beri kemenangan kalau kita mempunyai aqidah tauhid yang jelas.

Petunjuk

Kita mesti jelas bahawa Allah akan tolong membuka jalan kemenangan sekiranya kita buat sesuatu kerana Allah. Setiap kemenangan mesti disusuli dengan bertasbih dan bertahmid kepada Allah kerana sesungguhnya kemenangan itu adalah atas kebesaran kurniaanNya, keutamaanNya dan kebaikan yang telah diberikan kepada kita. Kita bertasbih dan bertahmid untuk mensyukuri nikmat pertolongan dan kemenangan.

Kita juga diperintahkan bertasbih dan berstighfar untuk menyucikan diri bila mendapat kemenangan sebagai bentuk rasa tawahduk kepadaNya. Kemungkinan dosa yang berlaku sebelum kemenangan itu apabila kita berburuk sangka kepada Allah, berasa gelisah, berputus asa, takut dan hilang keyakinan kepada Allah. Kita mesti jelas bahawa Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Pemberi Rahmat.

Kemenangan yang sebenarnya ialah apabila Allah menerima taubat dan menyucikan kita daripada sebarang dosa hingga kita berjaya masuk ke syurga.

Rahmat/Doa

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلهَ إِلَاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

“Maha suci Engkau Ya Allah, dengan memujiMu, aku mengaku bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau. Aku memohon keampunan dan aku bertaubat kepadaMu.

Allahumma Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim Ya Tawwab Ya Quddus, Engkaulah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Penerima Taubat dan Maha Suci. Dengan rahmat dan kasih sayang Mu kami memohon agar Engkau sucikan hati kami dari segala kotoran dosa dan syirik. Ya Fattah, bukakan matahati kami agar kami dapat meraskan Engkau sentiasa dekat dengan kami. Ya Aziz Ya Qawwiy Ya Matin, berikan kami kekuatan dan istiqamah untuk terus menjadi hamba dan khalifah yang taat kepada Mu. Kuniakan kami kemenangan di dunia dan akhirat.

Rujukan:

  1. Mengetahui HAKIKAT KEJAYAAN melalui Surah Al-Nasr, https://www.youtube.com/watch?v=AcrUYJNkJBs
  2. Dr Danial: Kuliah Tafsir Surah An-Nasr, https://www.youtube.com/watch?v=roAeiQ90u-E
  3. Rujukan: Sinopsis 114 surah, Fazrul Ismail, http://portal.akademisinergi.com/sinopsis-114-surah/
  4. Tafsir Al-Munir, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili
  5. Tafsir Ibnu Katsir, al-Hafizh ‘Imaduddin Abul Fida’ Ismail bin Umar bin Katsir al-Quraisy ad-Dimasyqi, Susunan Dr. Abdullah bin MUhammad bin Abdul Rahman Alu Syaikh
  6. Tafsir Al-Azhar, Prof. Dr. Hamka
  7. Kompas 114 Surah, Shaari Ab. Rahman, Tadabbur Centre

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.