Pertolongan yang tiada tandingan
“Bisnes aku nak lingkup.”
-“Kau ikut klinik bisnes dia ni, insyaAllah selamat.”
“Mak aiiiii, beribu nak kena bayar.”
-“Dia bukan buat main-main. Memang betul-betul diagnose masalah bisnes kau dan tolong bagi ubat.”
Di persimpangan antara dua, mana menjadi pilihan? Berbaki simpanan wang yang ada, sanggupkah melabur sejumlah wang bagi merawat permasalahan yang menimpa?
Punyai masalah dalam urusan perniagaan, carilah dia yang pernah gagal dan bangkit membangun kejayaan yang lebih besar.
Punyai masalah dalam hal kekeluargaan, carilah dia yang telah berjaya mengharungi liku-liku rumahtangga.
Cari si pakar. Ikuti nasihat dan panduan mereka.
Kemudian apa?
“Kalau berjaya aku happylah. Tapi ni, gaya macam makin bankrap. Aku nak samanlah.”
-“Amboi..amboi..amboi.. kau yang dah pilih nak bergantung dan berharap pada mereka. Tiba-tiba nak saman?”
“Ye lah.. kena bayar mahal-mahal.”
-“Kau dah ikut tak 100% apa yang mereka ajar dan suruh.”
“Errrr…”
Konon bergantung dan berharap, tetapi satu nasihat dan panduan yang diberikan pun tidak dilakukan.
***
Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang dapat mengalahkanmu, tetapi jika Allah membiarkanmu, maka siapakah yang dapat menolongmu setelah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakal.
Ali-‘Imran, 3 : 160
Hadir menyelesaikan segala tugasan bersama teman sekerja. Tiba-tiba dia yang diharapkan mogok dan enggan membantu menyelesaikan tugasan. Bagaimanakah perasaan ketika itu?
Berusaha menyelesaikan tugasan-tugasan di rumah sambil mengharapkan pasangan hadir membantu. Tetapi hati hancur berkecai kerana si dia enggan membantu walau sekecil-kecil tugasan di rumah.
Manusia fakir, manusia yang saling memerlukan. Tanpa pertolongan, hidup ini menjadi begitu sulit.
Teman sekerja enggan menolong.
Teman serumah enggan menolong.
Pasangan enggan menolong.
Bagaimana seandainya Allah yang enggan menolong?
***
“Aku bukan tak nak tolong kau. Aku dah banyak kali ajar cara yang betul tapi kau yang tak nak dengar.”
Begitu dia akhirnya meluahkan.
Apabila pertolongan itu tak kunjung tiba akibat diri yang enggan mengizinkannya untuk hadir.
Kunci menjemput pertolongan Allah adalah tawakal kepadaNya. Bersandar kepadaNya. MenjadikanNya wakil dalam segala urusan. Namun, apa maknanya tawakal seandainya segala panduanNya tidak dituruti?
Punyai kesulitan dalam hal rumahtangga, sudahkah ikuti panduanNya dalam At-Tahrim, At-Taghabun dan At-Thalaq?
Punyai cabaran dalam soal rezeki, pernahkah belek surah Adz-Dzariyat, mendapatkan tips daripada Dia yang Maha Memberi Rezeki?
Resah dengan kemelut komuniti masyarakat setempat, sudahkah membina benteng yang memagari masyarakat dari surah An-Nur?
Sesak dan berat hati hadir ke pejabat dengan pertelingkahan dan “permainan politik” teman sekerja, sudahkah menyirami hati-hati itu dengan siraman wahyu Al-Hujuraat?
Tawakal kepadaNya, bersandar kepadaNya, mengharapkan pertolongan yang tiada tandingan dariNya. Kesemua ini hanyalah angan-angan seandainya sepatah ayat-ayat panduan daripadaNya pun enggan diikuti. Bagaimana pertolongan itu akan hadir?
Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya, maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?
Al-Furqan, 25 : 43
Sedangkan Al-Kitab adalah satu-satunya jalan yang menghubungkan komunikasi antara Tuhan kepada hamba-Nya, sudahkah diimani Qalam bicaraNya dan ikuti pedoman daripadaNya?
Dan Kami berikan kepada Musa, Al-Kitab dan Kami jadikannya petunjuk bagi Bani Israel. (dengan berfirman), “Janganlah kamu mengambil pelindung (wakiila) lain selain Aku.”
Al-Isra’, 17 : 2
Manusia yang tawakal kepada Tuhan adalah mereka yang mengambil Allah sebagai wakil. Dan ayat ke-2 surah Al-Isra’ yang bertemakan “Nilai Al-Quran” ini mengajar kita bahawa hanya dengan menjadikan Al-Kitab sebagai petunjuk sahajalah seorang beriman itu menjadikan Allah sebagai wakil.
Tanpanya? Oh, itu angan-angan Mat Jenin.
Jadi,
Mahu tawakal kepada Tuhan?
Ikuti apa yang terkandung dalam Al-Kitab.
Niscaya Dia yang akan membantumu ketika tiada manusia lain yang mampu membantu.
Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa y ang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Alalh telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
Ath-Thalaq, 65 : 2-3