Tadabbur Tazakkur

Buatmu si penyeru kebenaran..

Pernah dengar atau tahu tentang surah al-Hijr? Surah yang turun selepas surah Yusuf, berada selepas surah Ibrahim di dalam tertib mushaf. Surah ini adalah surah ke 15 dalam juz ke 14.

Surah ini temanya adalah berkaitan dengan pemeliharaan agama.

Buatmu si penyeru kebenaran,

Surah ini turun ketika waktu kegetiran Nabi saw dan para sahabat  menghadapi musuh-musuh Islam, diturunkan ketika Islam, sebagaimana waktunya kita sekarang.
Iaitu ketikamana agama suci ini dipersenda, dihina dan diperlekehkan.

Kadangkala, kesakitan dipersendakan lebih kuat pedihnya berbanding kesakitan fizikal bukan?
Itulah yang dialami Nabi saw dan pengikutnya ketika itu..
Mungkin juga situasi itu dialami dirimu kini, wahai si penyeru kebenaran..
Engkau pasti dirimu dalam kebenaran,
namun mengapa manusia lain mempersenda memperlekeh dirimu serta kebenaran yang engkau bawa ?!
Dirimu bingung, berputus harap.

Buatmu si penyeru kebenaran,

Surah ini telah memberi ketenangan kepada Nabi saw dan pengikutnya.
Mudahan, ia juga menjadi penawar sedikit perit luka di hatimu.
Seolahnya Allah berkata : “Jangan engkau takut Wan, engkau dan pengikutmu dipelihara, Allah swt sendiri yang akan menjaga agamanya maka kamu bertawakallah hanya kepadaNya sahaja..”

Tujuan surah ini diturunkan jelas, apabila Allah sendiri yang menjadi Penjamin bahawa Dia akan menjaga serta memelihara agamaNya, dan penolong-penolong agamaNya. Walaupun yang lain menyakiti hatimu dengan lisan mereka. Cuba memperlekeh, tidak mengendahkanmu serta menghina kebenaran yang engkau bawa. Biarkan mereka. Allah ada, dan Maha Tahu akan kesakitan itu.

Biarkanlah mereka makan dan bersenang-lenang dengan kemewahan dunia dan dilalaikan oleh angan-angan (daripada bertaubat dan insaf); kemudian mereka akan mengetahui kelak (bencana perbuatan mereka). (Al—hijr, 15:3)

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. (al-Hijr, 15:97)

Jangan engkau endahkan dengan kata-kata mereka. Tetap fokus, terus bekerja dan berusaha beribadah padaNya sehingga detik-detik akhir hidupmu..

Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang yakin (ajal) sampai kepadamu. (al-Hijr, 15:99)

Buatmu, si penyeru kebenaran,

Surah ini memberi galakan supaya dirimu,
bepegang teguhlah dengan apa yang Allah datangkan padamu,
dan merasa izzah lah akannya.

Jangan dirimu terpengaruh dengan cubaan-cubaan lain yang mahu melalaikan,
Berasa izzahlah dengan keislamanmu bersama saudara-saudaramu.

Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya. Janganlah engkau menujukan pandanganmu (serta menaruh hati) kepada nikmat kesenangan yang kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka (yang kafir itu) dan janganlah engkau merasa dukacita terhadap mereka (kerana mereka tidak beriman dan tidak dapat menguatkan Islam sebagaimana yang engkau harapkan); dan sebaliknya hendaklah engkau merendah diri kepada orang-orang yang beriman (sekalipun mereka dari golongan fakir miskin). (al-Hijr, 15:87-88)

Engkau endahkan sahaja bantahan lain, jika Allah tidak membantahmu,
kerana hanya Allah lah yang Penjaga,
Dia menjaga dari keseluruhan penjaga.

Oleh itu, sampaikanlah secara berterus-terang apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad), dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu. Sesungguhnya Kami tetap memelihara dan mengawalmu dari kejahatan orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakanmu (al-Hijr, 15: 94-95)

Buatmu si penyeru kebenaran,

Ejekan senda gurau manusia lain terhadap kebenaran agamu membuat hatimu bingung dan bimbang, Tidak mengapa, biarkan sahaja mereka,
Janganlah engkau biar ia melitupi hatimu.
Mengacau hidupmu.
Bertasbihlah engkau memuji tuhanMu sehingga datang kematian,
kerana engkau berada dalam pemuliharaan atas segala pemeliharaan,
Dia sendiri yang akan memeliharamu.

Dan demi sesungguhnya Kami mengetahui, bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan. Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang sujud. Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga yakin (ajal) sampai kepadamu (al-Hijr, 15:97-99)

.
.
.
Artikel ini saya petik dan terjemah dari buku Khowater Quraniyyah, karangan Amru Kholed. Mukasurat 190-195. Semoga Allah merahmati beliau.

One thought on “Buatmu si penyeru kebenaran..

  • Sister Ayat

    Thank you Wan

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.