Tadabbur Tazakkur

Fitrah : Melihat, mendengar, beremosi & berfikir dengan perspektif Quran

Assignment akhir semester masih bertimbun di atas meja. Satu-persatu jurnal akademik ditelaah. Oh Tuhan! Maafkan saya kerana sibuk dengan kerja-kerja akademik pada fasa akhir Ramadhan.

Tiba-tiba seorang teman warganegara Algeria mengetuk pintu, meminta bantuan. Riak mukanya tidak enak.

“Kenapa ni?”

-“Awak tahu bagaimana nak hentikan semua iklan yang muncul tiba-tiba dalam semua apps? Kadang-kadang google dan FB juga buat masalah.”

“Oh maaf. Saya tak pernah explore pula hal ni.”

-“Kadang-kadang keluar iklan yang tak menutup aurat.”

“Ya, itu biasa zaman sekarang.”

-“Biasa? Awak tak buat apa-apa tentang hal ini? Kalau dunia realiti di luar, kita ada pilihan kita boleh terus menundukkan pandangan pada hal-hal yang tak wajar dilihat. Tapi dalam telefon ni, kita juga mesti cari jalan untuk menundukkan pandangan.”

Terkedu mendengar bicaranya. Sedikit terpukul. Aisshh, adakah diri ini mangsa normalisasi maksiat tanpa sedar. Saat perkara maksiat menjadi kebiasaan, sensitiviti hati juga larut dengan maksiat yang mendominasi.

“Ya, betul tu. Saya tak perasan pula kritikalnya hal ini.”

-“Saya kecewa.”

Wahai teman, beruntungnya dikau masih memiliki fitrah yang mampu menangkap dan membezakan yang benar dan salah. Ketika manusia kebanyakan sudah menerima perkara salah sebagai “Oh, itu biasa.”

***

 

Fitrah.

Apa khabar fitrahku di fasa akhir Ramadhan sebelum menyambut Eidul Fitri? Aish, layak ke sambut Eidul Fitr yang menyambut hari kembalinya manusia kepada fitrah?

Ada manusia, fitrahnya murni tidak tercalari noda-noda maksiat sehinggakan jiwanya begitu senang mengikuti segala panduan Tuhan, taat setiap ketika.

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (deen) yang lurus, (mengikut) fitrah Allah disebabkan Dia telah menciptakan manusia menurut (fitrah) itu. Tidak ada perubahan pada ciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Ar-Rum, 30 : 30

Ada manusia, sedang bertatih-tatih memahami panduan Tuhan. Fitrahnya telahpun dikotori sogokan-sogokan media dan kefahaman masyarakat sekeliling yang membelakangkan wahyu Tuhan. Akibatnya, hatinya sentiasa berperang dan bergelut antara memenangkan kehendak diri yang telah ternodai dengan sudut pandang masyarakat yang salah,  atau berusaha berdiri membenarkan wahyu Tuhan dengan melanggar kemahuan hawa nafsu sendiri. Misalnya, ketika lingkungannya mencorakkan fitrahnya untuk cenderung berpakaian mendedahkan aurat, Tuhan pula berbicara sebaliknya. Seruan siapakah yang akan menang kali ini?

Ada pula manusia, langsung tidak peduli dengan hadirnya wahyu ilahi. Hidupnya bahagia mengikut corak fikir sendiri, corak fikir orang lain dan cenderung mengikuti kehendak nafsunya. Tidak perlu berperang dan tidak perlu bergelut dengan siapapun.

“Ini hidup aku. Suka hati aku nak buat apa dengannya.”

Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar.

Fatir, 35 : 32

Usaha meluruskan fitrah kembali mengikut acuan Al-Quran bermula dengan keimanan jiwa-jiwa muslim terhadap Wahyu Tuhan. Keyakinan kepada Al-Quran membuka pintu kepada hati menerima panduanNya serta sanggup merendahkan ego dan menidakkan perspektif sendiri yang tersasar daripada kebenaran.

Bayangkan sahaja sebuah komputer riba yang baru sahaja dibeli. Si pengguna sangat berhati-hati menjaganya. Tidak mengizinkan “virus” mencemari fungsi komputernya. Namun ketika “virus” komputer hadir mencerobohi, fungsinya menjadi caca-merba. Tidak mampu berfungsi sebagaimana sepatutnya. Kecewa dengan kondisi komputer, si pengguna terus menghantar ke kedai yang menyarankannya untuk re-format. Lalu komputer di”bersih”kan dan diisi kembali dengan perisian-perisian asal yang selari dengan fungsi utamanya.

Begitu cerita komputer

Bagaimana dengan fungsi manusia? Ketika fitrah manusia tercemari “virus” yang dibisikkan syaitan sehingga melihat perkara salah sebagai benar, apakah ada cara untuk membersihkannya? Agar hati itu kembali bersih dan mampu melihat dunia sebagaimana yang sepatutnya selari panduan Tuhan.

Kes 1

Saya rasa saya boleh marah bila saya nak marah. Itu emosi “semulajadi” yang akan hadir pada waktu-waktu tertentu. Ini hak saya untuk marah. Kenapa nak menahan diri daripada marah? Ini tak logik. Bukankah emosi ini sesuatu yang spontan dan tidak mampu dikawal? Harus disalurkan terus.

—–

Jika masih enggan menukar kepada kaca mata Al-Quran, diri akan terus memilih tindakan yang memenangkan perspektif sendiri.

Selagi tidak menerima Al-Quran sebagai sumber asal fitrah murni seorang manusia, hidup akan terus dipandu mengikut hawa nafsu sendiri atau manusia lain.

Eh, sulit ya untuk beriman dengan wahyu Tuhan?

Oleh itu, apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia hanyalah nikmat kesenangan hidup di dunia ini sahaja dan (sebaliknya) apa yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhannya; dan juga orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan keji; dan apabila mereka marah, mereka memaafkannya.

Ash-shura, 42 : 37

Wahai manusia, fitrahmu asalnya dicipta untuk memaafkan. Apa pilihanmu saat ini? Mahu meluruskan fitrah atau terus membiarkannya tersasar?

 

Kes 2

Melihat aurat manusia lain itu sesuatu yang indah dan menyeronokkan. Kenapa harus dihalang? Itu emosi semulajadi yang harus dipenuhi. Kenapa perlu menundukkan pandangan?

—-

Nabi Adam dan Hawa melihat aurat orang lain sebagai sesuatu yang jelek untuk dilihat dan spontan menutup aurat mereka meskipun tiada wujudnya lagi manusia pada zaman itu. ini adalah fitrah asal manusia, malu melihat aurat manusia lain.

dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya. Ketika mereka memakan (buah) pohon itu, terlihatlah oleh mereka kejelekannya (aurat) maka mereka mula menutupinya dengan daun-daun syurga. Tuhan menyeru kepada mereka “Bukankah Aku telah melarang kamu daripada pohon itu dan Aku telah mengatakan bahawa sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”

Al-‘Araf, 7 : 22

Peribadi yang fitrahnya sesuci Maryam mungkin dengan mudah terus taat dengan tuntunan Ilahi.

Tetapi, bagaimana pula dengan peribadi yang fitrahnya telahpun dikotori perspektif masyarakat yang bertentangan. Melihat perkara maksiat sebagai sesuatu yang dibenarkan dan tidak salah pun.

Sedangkan realiti fitrah asal manusia dalam menyikapi hal-hal pendedahan aurat ini adalah sebagai sesuatu yang jelek. Bukan menyeronokkan.

Yang mahu beriman, mahu kembali, akan berperang berkata “tidak” kepada nafsu sendiri yang tersasar. Sanggup berpuasa, menahan diri daripada segala yang ditegah Tuhan demi memenangkan wahyu Tuhan meskipun perit mengekang keinginan sendiri.

Yang tidak peduli, terus dengan memenuhi keinginan nafsunya. Hidup ini terus dirasakan indah. Terus sahaja penuhi apa yang dimahukan saban hari. Tak nak puasa pun takpe.

Saya, manusia kategori mana?

***

Ramadhan.

Sekolah yang mendisiplinkan orang beriman meluruskan kembali fitrahnya mengikut acuan Al-Quran.

Tundukkan keegoan diri.

Nafikan keinginan diri.

Kerana mengerti Quran petunjuk hakiki.

Meluruskan fitrah yang telah lama dinodai.

Agar lafaz takbir Allahu Akbar 1 syawal benar-benar membesarkan Allah dalam diri.

Allah lebih besar daripada kemahuan diri.

Allah lebih besar daripada keinginan diri.

Kekuatan taqwa itulah yang merajai diri.

Dialah Fathir. Yang menciptakan fitrah manusia.

Dan Dia paling tahu, “perisian” apa yang paling sesuai untuk fitrah manusia.

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ – 2:185

Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan sebagai pembeza (antara yang benar dan yang batil). Oleh sebab itu, barangsiapa dalam kalangan kamu yang berada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau bermusahfir, maka (wajib menggantikannya) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menginginkan kemudahan bagimu dan tidak menginginkan kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya

dan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu,

agar kamu bersyukur.

Al-Baqarah, 2 : 185

 

Moga takbir syawal yang bakal bergema benar-benar bermakna. Mengagungkan, membesarkan Allah dalam diri melebihi keinginan nafsu sendiri.

***

SHARE post ini supaya membantu teman-teman lain sanggup menahan diri daripada berbuat apa yang diri suka tetapi Allah tak suka.

SHARE post ini supaya hati yang menyesali diri sendiri itu tenang mensyukuri hadirnya kurniaan wahyu Ilahi sebagai panduan meluruskan kembali fitrah yang tercalari.

 

3 thoughts on “Fitrah : Melihat, mendengar, beremosi & berfikir dengan perspektif Quran

  • Salam, baru perasan di dalam gambar perkongsian terhadap MELURUSKAN DENGAN AL QUR’AN tiada 30/30?

    Reply
    • Ya. sebab ayat teras untuk mindmap tu adalah 35 : 32.

      30:30 tu saya masukkan dalam artikel sebab ada keyword Fitrah

      Reply
  • Adakah tajuk coretan kali ini ada kaitan dengan 17/36?
    Suka dengan terjemahan yang dikongsi melalui ayat 17/36 iaitu pendengaran, penglihatan dan hati akan dipertanggungjawab. Dengar dan lihat terdapat imbuhan, jika hati di imbuhkan maka akan jadi perHATIan. secara kebetulan, apa lah dengan bahasa kerana sesungguhnya semua bahasa milik yang Maha Mencipta.

    Reply

Leave a Reply to PakWan Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.