“Ibu dah banyak beri apa yang adik nak, tapi adik tak buat macam yang ibu suruh..”
.
.
Memberi. Bicara Tuhan dalam kalamNya tentang perbuatan memberi biasanya ada perkaitan dengan solat. Emm, solat dan beri ada kaitankah?
Saya bawa tuan puan kepada perkaitan bicara Tuhan antara solat dan perbuatan memberi melalui peringkat-peringkat solat.
Peringkat pertama, solat yang celaka
Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang solat. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (al-Maaun, 107:4-5)
Orang yang solat tetapi celaka ialah yang bersolat namun lalai dalam solat. Solat tidak mampu menbentuk peribadi dirinya. Buktinya, dia bukan sahaja merasa memberi itu tidak penting malah enggan memberika bantuan
Dan orang yang enggan memberikan bantuan (kepada orang yang berhak mendapatnya) (al-Maaun, 107:7)
“buat apa bagi makan kat orang susah, bukan aku dapat balik pun apa yang aku bagi. Dorang ni mana mampu nak bayar”.
Peringkat kedua ialah, solat yang konsisten
Seorang hamba, mula berubah dari solat yang ‘celaka’ kepada solat yang konsisten. Tidak lagi menjadi golongan yang celaka solatnya. Dia mula konsisten dalam setiap solat dengan cuba bersolat di awal waktu, sudah siap siaga sebelum masuk waktu untuk tunaikan solat.
Cuba bayangkan, jika anda mahu berjumpa seorang CEO jam 9.00 pagi, adakah anda akan cuba terlewat seminit? Bagaimana pula persediaan hamba menghadap CEO segala CEO?
Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya; (al-Maarij, 70:23)
Kesan kepada hamba yang konsisteb dengan solat, terserlah peribadinya yang mahu memberi. Merasakan bahawa dalam setiap harta yang diperoleh, ada hak-hak lain yang perlu dia tunaikan.
Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta); (al-Maarij, 70:24-25)
“bila dapat gaji akhir bulan ni, aku dah letak bahagian siap-siap untuk derma, bahagian untuk simpan dan bahagian-bahagian lain”
Peringkat ketiga, solat yang khusyuk
Pada peringkat ini, seorang hamba bukan sekdar mahu menjaga waktu-waktu solatnya, bersedia menghadap tuhan malah mencuba untuk focus dan sedar sedaya upaya dalam solat. Respon dalam setiap butir ucapan yang keluar semasa solat dan tertib dalam setiap pergerakan.
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (al-Mukminun, 23:2)
Juga, kesannya dalam perbuatan memberi dia sudah naik ke satu tingkat yang lain. Bukan sekadar mahu memberi, malah dia sudah mampu untuk meninggalkan hal-hal yang remeh serta melalikan.
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); (al-Mukminun, 23:3-4)
Peringkat keempat, solat malam
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri (al-Furqan, 25:64)
Pada peringkat ini, seorang hamba diberi kekuatan untuk mengurangkan tidur dan mampu untuk bangun solat malam. Hubungan dengan Tuhan, makin erat. Solat malam sudah menjadi sebati dengan diri, melahirkan rasa gembira di hati sehingga terasa seperti pulang ke rumah sendiri.
Kesannya, dia semakin giat memberi. Tidak lokek, pemberiannya sehingga mampu menghalang diri melakukan hal yang sia-sia malah, mampu untuk tetap memberi kebaikan walaupun dibalas dengan kejahatan.
Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila ada orang bodoh menyapa mereka, (dengan kata yang menghina), mereka mengucapkan ‘Salam’ (kata selamat). (Al-Furqan, 25:63)
Memberi, tidak terhad kepada wang fizikal semata.
Beri dan kongsi apa yang kamu ada, yang direzkikan kepadamu
Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. (al-Baqarah, 2:3)
Solat, adalah hubungan hamba dengan tuhan. Perbuatan ‘memberi’, perhubungan antara hamba sesama hamba. Hamba yang berusaha membaiki hubungan dengan tuhan, sepatutnya berusaha juga memperbaik hubungannya dengan insan.