Sekeping hati dibawa berlari
Dingin pagi dinihari, suasana masih sepi dan hanya ditemani bunyi cangkerik. Mendongak ke langit, tiada bintang kelihatan. Bulan juga bersembunyi barangkali. Lalu merenung diri, mengoreksi makna hidup yang berbaki ini.
Hidup ibarat penjara buat jiwa yang sedang bertatih membina iman. Acapkali apa yang dipelajari lewat QalamNya bertentangan dengan apa yang dikehendaki jiwa. Tuhan, sampai bilakah hati ini mendustakan ayat-ayatMu? Terasa sesaknya jiwa saat hati berselirat untuk membenarkan ayat-ayatMu atau mengikuti hawa nafsuku.
Duhai Hati, apa khabar?
Hati yang terdalam, hati kecil (fuad) adalah ‘pancaindera’ yang menentukan pilihan tindakan kehidupan. Apa yang dilihat dan apa yang didengari akan sampai kepada hati kecil sehingga dialah yang memberi arahan kepada jasad untuk bertindak. Andai apa yang didengari dan dilihat adalah ayat-ayat Tuhan, maka baiklah fuadnya. Andai sebaliknya, membenarkan pendengaran dan penglihatan itu berkali-kali dihadapkan dengan segala maksiat dan ideologi bertentangan syariat, bersedialah untuk memiliki hati yang keras dan enggan untuk beriman.
Katakanlah “Dialah yang menciptakan dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati kecil (fu’ad-af’idah). Tetapi amat sedikit kamu bersyukur.”
Al-Mulk, 67 : 23
Hati kecil (fu’ad) adalah di dalam hati (Qolb) manakala hati (Qolb) itu sendiri terletak di dalam dada (sudur).
Syaitan, mampu membisikkan kejahatan di dalam dada (sudur). Mereka belum memiliki akses ke Qolb mahupun fu’ad.
Katakanlah “Aku berlindung kepada Tuhan sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah, daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang timbul tenggelam, Yang Membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia. Daripada kalangan jin dan manusia.
An-Naas, 114 : 1-6
Chup! Kalau syaitan hanya mampu bisik-bisik ke dalam dada je, tak masuk ke qolb atau fu’ad, bagaimana manusia itu juga boleh rosak?
Bayangkan hati (qolb) ibarat rumah yang dipagari dada (sudur). Syaitan hanya boleh memasuki dan berbuat bising pada bahagian perkarangan rumah. Syaitan tiada kuasa untuk memasuki rumahmu. Hanya tatkala dirimu memilih untuk mengizinkannya memasuki rumahmu dengan membuka pintu setelah diketuk berkali-kali, ketika itulah syaitan memiliki kuasa untuk menundukkanmu.
Sesungguhnya kamu (iblis) tidak berkuasa ke atas hamba-hambaKu, kecuali mereka yang mengikutimu, iaitu orang yang sesat.
Al-Hijr, 15 : 42
Apa yang berlaku saat dirimu mengizinkan syaitan masuk dengan mengikuti bisikannya sedikit demi sedikit? Mereka akan langsung membuat caca-merba dalam hatimu. Mereka mengecat warna baru dalam hatimu. Mereka menukar semua posisi sofa, meja dan segalanya. Asalnya anda tidak suka. Tetapi kerana syaitan telahpun berjaya menyelinap ke dalam hatimu dan membuatkan dirimu terasa ‘biasa’ terhadap apa yang telah dicorakkannya, lama kelamaan rasa yang tidak suka menjadi suka. Rasa suka kepada iman bertukar menjadi tidak suka. Caca-merba. Kusut.
…Syaitan telah menjadikan perbuatan buruk mereka dirasakan indah, sehingga menghalang mereka ke jalan Allah, sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.
Al-Ankabuut, 29 : 38
Tuhan kenapa akalku dahulu merasakan maksiat itu buruk saat ini bertukar terlihat indah? Akankah aku miliki hati murni seperti dahulu? Hati yang mampu menangkap baik adalah baik dan buruk adalah buruk?
… Tetapi Allah menjadikan kamu cinta kepada keimanan, dan menjadikan (iman) itu indah dalam hatimu, serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan dan penderhakaan. Mereka itulah orang-orang yang mengikuti jalan yang lurus. Sebagai kurnia dan nikmat daripada Allah. Dan Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.
Al-Hujuraat, 49 : 7-8
Untuk meraih hati yang bersih dan kembali cinta kepada iman, mahu tidak mahu hanya ada satu cara. Ikutilah jalan yang lurus dan posisikan diri menjadi hamba yang layak meraih kurnia dan nikmat daripada Tuhan. Ya Robb! Hati bening itulah yang aku dambakan. Bagaimana untuk menjadi mereka yang meraih kurnia dariMu?
Dan (dengan itu) sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.
Al-Ahzab, 33 : 47
Menjadi orang yang beriman itu satu perjuangan yang tidak pernah henti. Sedangkan itulah matlamat kehidupan seorang hamba iaitu menjalani hidup ini sebagai orang beriman. Dan iman, tidak sekali-kali boleh lari daripada Al-Quran.
Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) roh (Al-Quran) dengan perintah Kami. Sebelumnya engkau tidaklah mengetahui apakah kitab (Al-Quran) dan apakah iman itu, tetapi Kami jadikan Al-Quran itu cahaya, dengan itu kami memberi petunjuk kepada siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya, engkau benar-benar membimbing (manusia) ke jalan yang lurus.
Asy-Syura, 42 : 52
Maka, apa jalan keluar?
Apakah solusi?
Dan orang-orang kafir berkata “Mengapa Al-Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekaligus?” Demikianlah, agar Kami memperteguh hatimu (Muhammad) dengannya dan Kami membacakannya secara tartil.
Al-Furqan, 25 : 32Dan semua kisah rasul-rasul, Kami ceritakan kepadamu (Muhammad) agar dengan kisah itu Kami teguhkan hatimu; dan di dalamnya telah diberikan kepadamu (segala) kebenaran, nasihat dan peringatan bagi orang-orang beriman.
Hud, 11 : 120
Sebagaimana jasad yang memerlukan megadose zat micronutrient pagi-pagi melalui vegetable blend (3 whole vegetables + 1 fruit), bahkan jiwa manusia lebih – lebih lagi memerlukan megadose qalam Tuhan sejak awal pagi.
Wahai orang yang berselimut! Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali pada sebahagiannya. Iaitu separuh daripadanya atau kurang sedikit daripada itu. Atau lebih daripada (seperdua) dan bacalah Al-Quran itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu. Sesungguhnya, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa) dan (bacaan pada waktu itu) itu lebih memberi kesan.
Al-Muzammil, 73 : 1-6
Sekeping hati dibawa berlari
jauh melalui jalanan sepi
jalan kebenaran indah terbentang
di depan matamu para pejuang