Tadabbur Tazakkur

Cool, tenang-tenang aja.

Situasi 1

Dia turun dari pejabat di tingkat empat. Satu demi satu anak tangga dilepasi, tak sabar-sabar pulang ke rumah. Tatkala jarak satu meter ke kereta, dia terus menekan butang kunci.

Tiba-tiba langkahnya terhenti. Temannya sudahpun menunjukkan riak terkejut.

“Kereta kau kena pecah masuk!”

-“Inna lillah.”

Cermin tingkap bertaburan dalam kereta. Ada yang berbekas di jalanan. Dua beg miliknya lesap. Dan dia terus menuturkan “Ya Allah, bukan rezekiku.” mengingatkan hartanya yang hilang.

Teman di sebelah hairan.

“Kau tenang sahaja ya.”

-“Apa lagi nak buat. Jomlah report polis.”

___________________________________________

Situasi 2

Dia beratur panjang menanti giliran di balai berlepas lapangan terbang. Tiba-tiba kedengaran bunyi kecoh di belakang.

Seorang wanita berlari-lari bertanya-tanya orang sekeliling dengan riak mencemaskan. Tiba-tiba dia terduduk, menangis teresak-esak.

“Saya hilang passport saya. Flight dah nak berlepas.”

Keadaannya sangat menyedihkan. Yang melihat turut tumpang simpati.

___________________________________________

Pernah diuji  kesusahan dalam hidup?

Lalu berkeluh-kesah tatkala disentuh kesusahan.

Sesungguhnya manusia diciptakan resah gelisah. Apabila dia ditimpa kesusahan dia akan berkeluh-kesah. Dan apabila mendapat kebaikan dia menjadi bakhil.

Al-Ma’arij, 70 : 19-21

Begitu.

Eh, tapi ada juga yang masih tenang dalam apa jua kesusahan yang menimpa.

Baru sahaja kereta kena pecah masuk, masih boleh tenang dan urus situasi sebaiknya, tidak larut dalam emosi.

Mari renungi ayat berikutnya.

 

Kecuali Al-Musollin (Orang yang solat / Tukang solat / Pesolat)

Al-Ma’arij, 70 : 22

 

Tatkala kebanyakan manusia cepat melenting, berkeluh kesah dengan kesusahan yang menimpa, masih ada sekelompok manusia yang mampu mengawal emosi, mengurus peribadi, mampu tenang dalam situasi sulit.

Siapakah mereka ini?

Golongan inilah yang benar-benar memfungsikan solatnya sehingga digelar Al-Musollin. Golongan Musollin, tatkala diuji kesusahan, tidak terus berkeluh kesah.

_____________________________________

Persoalan seterusnya, Siapakah Al-Musollin ini?

Allah berbicara lanjut, menjelaskan lagi golongan Super Cool ini.

(iaitu) orang yang tetap setia melaksanakan solatnya. Dan orang-orang yang dalam hartanya disiapkan bahagian tertentu bagi orang miskin yang meminta dan yang tidak meminta. Dan orang-orang yang mempercayai Hari Pembalasan. Dan orang-orang yang takut terhadap azab Tuhannya. Sesungguhnya azab Tuhan mereka, tiada sesiapa yang berasa selamat. Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya. Kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak termasuk dalam kalangan yang tercela. Maka barangsiapa yang mencari di luar daripada itu (zina, homoseks, lesbian) mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan bagi orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya. Dan orang-orang yang berpegang teguh pada syahadahnya. Dan bagi orang-orang yang memelihara amanah dan janjinya. Dan orang-orang yang memelihara solatnya. Mereka itu dimuliakan di dalam syurga.

Al-Ma’arij, 70 : 23-35

Lapan ciri-ciri yang disebutkan di atas melahirkan peribadi yang digelar Tuhan sebagai Al-Musollin (Pelaku Solat).

 

Izinkan saya memberikan satu analogi.

Sebuah kilang seharusnya menghasilkan produk berkualiti yang kesemua aspeknya berfungsi. Misalnya kilang pen seharusnya menghasilkan pen yang berkualiti dan berfungsi. Lalu layaklah produk itu mendapat gelar “sebatang pen”.

Seandainya kilang tersebut menghasilkan pen yang tiada dakwat, atau rosak beberapa bahagian sehingga tidak dapat berfungsi, produk yang terhasil tidak boleh digelar “pen”. Kerana tidak memenuhi fungsinya.

Jika memahami solat sebagai tools (atau kilang) yang melahirkan Al-Musollin (produk) yang memiliki ke lapan-lapan ciri yang disebutkan tadi , Solat (kilang) itu seharusnya benar-benar berfungsi. Solat yang melahirkan insan yang layak digelar Al-Musollin.

Solat yang berfungsi sehingga melahirkan Al-Musollin adalah solat yang melahirkan peribadi yang :

  1. Solatnya tiada lompong-lompong, cukup 5 kali sehari.
  2. Peduli membayar zakat & memberi sedekah
  3. Membenarkan Hari Pembalasan
  4. Takut azab Tuhannya.
  5. Memelihara kemaluannya, kehormatannya (tidak berzina, LGBT)
  6. Memelihara amanah dan janjinya.
  7. Berpegang teguh pada syahadahnya (kesaksiannya)
  8. Memelihara solat.

Berfikir sejenak.

Kelapan-lapan ciri yang disebutkan ini, apakah kesemuanya tergolong sebagai output solat. Atau kita melihatnya sebagai input/proses yang harus dilakukan?

Kecelaruan dalam sudut pandang ini akan mengakibatkan tindakan yang salah.

MIsalnya, jika memahaminya sebagai input/proses yang hendak dicapai, seseorang itu akan cuba berusaha memaksa diri “Jaga amanah ok, jangan ingkari janji!” sebab mahu menjadi golongan Al-Musollin.

Atau memaksa diri “Takut, takutlah azab Allah. Jangan tak takut.” Kerana ciri ini juga melayakkan mendapat gelar Al-Musollin.

Eh, emosi itu boleh dibuat-buat dan dipaksa-paksa? Boleh berlakon berasa takut akan azab Allah?

Ini yang akan berlaku jika sudut pandang kita memposisikan 8 ciri tersebut sebagai input/proses yang harus dilalui. Bukan sebagai output.

Namun, jika memahami 8 ciri-ciri tersebut sebagai “buah” atau output daripada solat yang benar dan berfungsi sehingga layak Allah menggelar mereka sebagai Al-Musollin, tindakan seseorang itu juga akan berbeza.

Persoalan demi persoalan akan ditimbulkan.

Bagaimana untuk saya memfungsikan solat saya sehingga melahirkan peribadi yang takut akan azab Allah?

Lalu diri akan mencari tahu bagaimana melahirkan rasa takut itu. Sedangkan sumber berita ghaib termasuklah ilustrasi neraka hanya ada dalam wahyu Tuhan, lalu seorang mukmin sebelum mendirikan solat akan peduli memahami Quran sehingga berkenalan dengan ciri-ciri azab neraka. Seterusnya ketika mendirikan solat, dirinya mampu membayangkan ngerinya azab Tuhan melalui bacaan Quran sehingga lahir hati yang takut akan azabNya.

Apa lagi persoalan yang boleh dibangkitkan?

Bagaimana untuk menjadi orang yang menjaga amanah dan menunaikan janji?

Ibu bapa yang peduli menjadi golongan Al-Musollin yang amanah, akan peduli memahami definisi amanah melalui panduan Quran. Pelajari Surah Maryam dan Luqman. Lalu ketika mendirikan solat, hati tersentuh tatkala melafazkan ayat-ayat daripada surah Maryam sehingga melahirkan peribadi ibu bapa yang menjaga amanah terhadap anak-anak melalui kesungguhan mewariskan agama kepada anak-anak. Bukan sekadar memberi cukup makan pakai.

Si suami yang peduli menjaga amanah sesuai acuan Quran, akan peduli memahami Surah An-Nisa’. Lalu ketika mendirikan solat, hati tunduk pada perintahNya, peduli memberi nafkah dan menggalas amanah sebagai ketua keluarga.

Ini berlaku tatkala mukmin peduli memfungsikan solatnya. Mukmin peduli menjadi golongan Musollin, lengkap kelapan-lapan ciri tersebut. Mukmin yang peduli membajai peribadi yang tenang, super cool tatkala ditimpa kesusahan.

______________________________

Ada ke orang yang solat, tapi tak layak atau tak lulus untuk digelar Al-Musollin (Si pelaku solat) ?
Solat, tetapi Allah tak iktiraf sebagai orang yang solat?

Solat, tetapi culas dalam amanah dan janji?

Solat, tetapi “makan luar”, langgan pelacur?

Apabila solatnya hilang ruh yang mampu melahirkan peribadi beriman pada yang ghaib. Takut pada AzabNya. Membenarkan Hari Pembalasan.

Solat, tanpa kefahaman Quran.

Solat, tanpa kekuatan wahyu Tuhan.

Solat sekadar solat.

Solat, dan masih berkeluh-kesah tatkala ujian kesusahan menimpa.

Bacalah Kitab yang telah diwahyukan kepadamu (Muhammad) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan (ketahuilah) peringatan daripada Allah (Quran) itu lebih besar (keutamaannya). Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.

Al-Ankabut, 29 : 45

 

Solat dan Quran, berpisah tiada.

p/s SHARE artikel ini agar teman sebelah dan orang yang kita sayang tak rugi, ketinggalan daripada mengetahui formula Tuhan untuk menjadi peribadi yang cool, tenang tatkala ditimpa kesusahan.

 

______________________________

Slot istimewa buat pelajar Bahasa Arab (^_^)

Ada sesuatu yang menarik tatkala menelusuri surah Al-Ma’arij ini.

Pertama, tentang keunikan bahasa “Inna….. Illa…” (Sesungguhnya……. Kecuali….)

Ingat lagi surah Al-Asr? Bila Allah menyatakan SESUNGGUHNYA manusia kerugian, KECUALI orang yang beriman, beramal soleh, berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan pada kesabaran.

Dalam ayat ini, kaedah bahasa yang sama digunakan iaitu. SESUNGGUHNYA manusia itu (bertabiat) resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan berkeluh-kesah. Apabila diberi kebaikan, bakhil (kikir), KECUALI Al-Musollin (orang-orang yang solat).

Lalu, respon seorang hamba ini tatkala membaca ayat ini, “Saya nak jadilah golongan Al-Musollin. Supaya tak berkeluh kesah bila susah. Dan tak bakhil bila Allah bagi kebaikan.”

.

Perkara kedua (terkait bahasa Arab Quran) adalah penggunaan kalimah الَّذِينَ

Bilamana saya terlihat kalimah ini, otak ini seringkali membayangkan mind-map yang penuh rantaian , menyambungkan maksud demi maksud ayat Quran. Ini kerana kalimah ini mengajar si pembaca untuk menyambungkan maklumat berikutnya dengan ayat sebelum. Semuanya bagai dirantai. Tak terputus. الَّذِينَ bermaksud “orang-orang yang”.

Lalu kesemua الَّذِينَ berikutnya, sebanyak 8 kali, harus disambung dengan kalimah Al-Musollin. Kesemuanya adalah huraian Al-Musollin atau menjawab soalan “Siapakah Al-Musollin itu”.

(^_^) best kan belajar bahasa Arab Quran.

Otak tak henti-henti ting..ting..ting link sana sini, bercantum segala neurons.

3 thoughts on “Cool, tenang-tenang aja.

  • Macamna buat gambar kikang tu bergerak gerak?

    Reply
    • Tu gambar yang jenis GIF image. Memang bergerak (mcm GIF image dlm FB, option selain emoticon).

      Search je Google Wan

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.