Eidulfitri : Membangun diri fitrah
“Apakah ciri-ciri pasangan idaman kau?”
-“Hmmm… Semua yang baik-baiklah.”
“Contohnya?”
–“Heh. Boleh ke nak demand ni? Aku nak pasangan yang penyabar, penyayang, bertanggungjawab, bertimbang rasa, tak panas baran, suka menolong. Sebenarnya banyak lagi senarainya ni.”
***
Memang manusia itu mahukan kecukupan keperluan asasnya sebelum mendambakan yang lain-lain. Justeru, indah dan bahagia hidup andai setiap jiwa memiliki peribadi fitrah yang tercorak dengan acuan wahyu Tuhan. Tiada lagi ketakutan dalam melangkah membangun rumahtangga saat percaya bahawa bakal pasangan memiliki peribadi yang “selamat” untuk didampingi.
Fitrah itu apa ya?
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ – 30:30
Rum, 30 :30
Maka hadapkanlah dirimu ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutilah) agama Allah iaitu agama yang Allah menciptakan manusia untuk menerimanya (fitrah); tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Tuhan Pencipta manusia menitipkan agama bersifat fitrah yang seharusnya sebati dalam jiwa seorang hamba. Agama fitrah yang bersumberkan wahyu inilah yang akan mencorakkan peribadi seorang manusia.
Pun begitu, pembangunan jiwa manusia itu tetap memerlukan proses. Bahkan hadirnya ujian-ujian kehidupan yang seringkali dilihat “pahit” dan sukar itu hakikatnya adalah peluang membentuk peribadi manusia agar kembali kepada diri fitrahnya.
Mahukan peribadi yang penyabar? Justeru, izinkanlah diri untuk menghadapi ujian dihadirkan manusia-manusia berkeperibadian jelek, melemparkan kata-kata kesat kepada diri.
“Saya tak sukalah orang mengutuk dan fitnah saya.”
Ketahuilah, yang tidak disukai itulah rupa-rupanya peluang untuk mendidik diri, membuktikan sabar kepadaNya.
Dan hamba-hamba Ar-Rahman ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun dan apabila orang-orang yang berkelakukan kurang adab hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini. (Al-Furqan, 25 : 63)
Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan KESABARAN mereka, dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya. (Al-Furqan, 25 : 75)
Ini, baru bicara soal peribadi sabar. Dan ada lebih 100 lagi ayat-ayat Tuhan yang mengandungi kalimah “sabar” untuk difahami lebih lanjut.
Bagaimana dengan akhlak fitrah yang lain?
Mahukan peribadi yang bertaqwa misalnya. Sanggupkah mengizinkan diri dihadapkan dengan ujian kekurangan manusia lain sehingga mengundang rasa marah atau sanggupkah menghadapi ujian nafsu syahwat?
Dan bersegeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang bidangnya seluas segala yang ada di langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.
dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui.
Ali-‘Imran, 3 : 133-135
Dalam segala ujian kehidupan yang tidak disukai, rupa-rupanya terselit peluang mendidik jiwa, membuktikan peribadi fitrah kepada robb.
Peribadi yang penyabar
Peribadi yang bertaqwa.
Bagaimana pula dengan peribadi yang ikhlas, tawakal, muhsin dan lain-lain?
Sehingga akhirnya, ketahuilah bahawa peribadi fitrah yang selari panduan Tuhan, sulit untuk difahami andai memilh jauh daripada Quran.
Justeru, apa pendapat untuk mula memahami wahyu Tuhan agar benar-benar beroleh panduan mencorakkan diri kembali kepada diri fitrah?
Fitrah yang penuh syukur
Fitrah yang rasa cukup
Fitrah yang bergantung harap kepada Allah
Fitrah yang mulia kerana dimuliakan Tuhan
Fitrah yang tidak lagi takut dengan ilusi, terus berprestasi untuk kejayaan hakiki.
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-banda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.
Al-Isra’, 17 : 70
