Tadabbur Tazakkur

Sukses itu apa?

Dan (ingatlah) ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit Tursina itu ke atas kamu (sambil kami berfirman): “Ambilah (dan amalkanlah ajaran Kitab) yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah (apa yang diperintahkan kepada kamu dengan mematuhinya)”. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Lalu hati mereka diserapkan rasa cinta menyembah (patung) anak lembu itu, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah (wahai Muhammad):

Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”.

Al-Baqarah, 2 : 93

 

Seperti apakah iman itu?

Ia ada, tetapi tidak nampak dalam kalimah yang boleh dibaca.

Ia ada, tetapi tidak tertulis pada mana-mana anggota.

Ia ada, tetapi tidak diakui dan disedari tuannya, sehingga mencengkam peribadi dalam diam.

Ia ada, dan hadir berupa emosi-emosi yang menzahirkan tindakan.

Ia ada, dan membentuk misi hidup, mengemudi perjalanan hidup sama ada lurus ataupun tidak.

 

Iman, satu kepercayaan yang menghunjam jauh ke dalam hati, mengakar dan membentuk peribadi.

 

Persoalannya, apakah yang menjadi asas dalam membentuk iman itu?

Boleh jadi dipengaruhi pengingkaran dan kefahaman budaya jahiliyah seperti Bani Israel seperti yang terakam dalam Al-Baqarah 93.

 

Hati-hati membina iman.

Hati-hati membentuk sistem kepercayaan.

Iman yang benar, asasnya wahyu ilahi.

***

Sekarang, apakah sistem kepercayaan kita terhadap sukses?

Ada manusia mengimani, sukses dalam hidup itu adalah tatkala mendapat banyak “like” di FB atau banyak followers di Twitter & Instagram.

Lalu hari-harinya dipenuhi dengan kesibukan mengurus media sosial yang menjadi nadi hidupnya sehinggakan tatkala gajet itu dirampas dan dimusnahkan, menjerit histeria sehingga sanggup membunuh untuk memperoleh kembali gajetnya.

 

Ada manusia mengimani, sukses itu adalah apabila mendapat pasangan yang mencintai dan membahagiakan serta mempunyai anak yang ramai.

Lalu kepercayaan ini membunuh jiwanya hari demi hari selagi segala piawai yang ditetapkannya itu tidak tercapai. Terciptalah segala drama menarik perhatian si pasangan tatkala dirinya rasa dilupakan. Tanpa sesiapa memaksa, dia sendiri berasa rendah diri, rasa kekurangan, rasa tidak sempurna dan rasa kecewa selagi apa yang diimani belum dicapai.

Ada manusia mengimani, sukses itu adalah apabila berjaya menggenggam sejumlah wang yang besar. Lalu hari-hari disibukkan dengan usaha jerih payah mendapatkan apa yang dihajatkan, jauh dari keseimbangan hidup sehingga melupakan amanah-amanah sebagai seorang anak, bapa ataupun jiran tetangga.

 

Lalu, seperti apakah iman terhadap sukses itu?

Bagaimanakah iman yang berteraskan Al-Quran, mencorakkan sistem kepercayaan manusia terhadap makna sukses?

 

Orang-orang yang Sukses (muflihun) itu…

 

  1. Mereka yang mengikuti ajaran Allah dan Rasul (Al-’Araf, 7 : 157).
  2. Mereka yang mensucikan jiwanya (Asy-Syams, 91 : 9)
  3. Mereka yang mengambil petunjuk dari Al-Quran, mengimani yang ghaib, menegakkan solat, menginfaqkan sebahagian hartanya, mengimani Al-Quran dan kitab sebelumnya serta meyakini Hari Akhirat (Al-Baqarah, 2 : 1-5)
  4. Mereka yang membersihkan diri dengan beriman (Al-’Ala, 87:14)
  5. Mereka yang beriman, khusyuk dalam solatnya, menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan tidak berguna, menunaikan zakat, memelihara kemaluannya, memelihara amanat dan janji, memelihara solat (Al-Mukminun, 23 : 1-11)
  6. Mereka yang bertaqwa (Al-Baqarah : 189 ; AL-Maidah, 5 : 100)
  7. Mereka yang mengajak ma’ruf dan mencegah mungkar (Ali-Imran,3 : 104)
  8. Mereka yang berjihad di jalan Allah (At-Taubah, 9 : 88; Al-Maidah,5 : 35)
  9. Mereka yang menjauhi riba (Ali-Imran, 3 : 130)
  10. Mereka yang beriman, sabar dan selalu bersiap siaga dan bertawakal kepada Allah (Ali-Imran, 3:200)

 

Luruskan sistem kepercayaan (iman) terhadap erti sukses, selari panduanNya.

Selamat Berjaya!
Dalam erti kata sebenar.

3 thoughts on “Sukses itu apa?

  • siti sofiah md salleh

    kak ayat, ini design by using skda method ea akk. tq so much. 🙂

    Reply
    • Ayat Ibrahim

      Iya. Guna “keyword” falaha =)

      Reply
  • roziahkamal

    lama x buat SKDA..tq ayat for sharing…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.