Penyelamat di tengah azab
Pada surah al-qamar, ada empat ayat yang berulang-ulang. Iaitu pada ayat 17,22,32,40 yang maksudnya
” Dan demi sesungguhnya!Kami telah mudahkan al-Quran untuk pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran (daripadanya) ? ”
Mengapa ia berulang? Mahasuci Allah dari perbuatan yang sia-sia. Pasti ada sebab mengapa ia berulang-ulang? Ia berulang di celah kebinasaan kaum Nuh, Lut, Thamud. Mengapa?
Kita mendapati bahawa, azab Allah yang ditimpa kepada mereka (kaum terdahulu) rupanya bersandarkan kepada faktor yang sama, iaitu kerana
- pendustaan yang dilakukan terhadap ajaran para Rasul (al-qomar : 9,18,33,42)
- tidak cuba bertadabbur dan memahami ayat-ayatNya (al-qomar: 15)
Di dalam celah-celah hiruk pikuk pendustaan yang dilakukan, pelbagai masalah yang timbul kerana pendustaan, Allah menyelitkan tentang ‘al-quran itu telah dimudahkan’! Sepertinya, Allah memberi mesej bahawa, hanya al-quran yang mampu menyelesaikan masalah-masalah ini. Hanya al-quran yang mampu menyelesaikan kesengsaraan kita, hanya al-quran yang boleh meringankan azab ummat kita.
Al-quran itu, Allah telah mudahkan untuk kita mengambilnya sebagai jalan mengingati Allah, sebagai penyelesai kepada kecelaruan yang membarah, sebagai penyelamat di celahan azab, hanya tinggal kita sahaja. Adakah kita mahu mengambil atau menolaknya?!