Gambaran perjalanan kumpulan syurga dan kumpulan neraka

Allah menggambarkan perjalanan menuju ke syurga dan neraka di dalam firmanNya :

Gambaran perjalan neraka :

وَسِيقَ الَّذِينَ كَفَرُوا إِلَى جَهَنَّمَ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا فُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَتْلُونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِ رَبِّكُمْ وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا بَلَى وَلَكِنْ حَقَّتْ كَلِمَةُ الْعَذَابِ عَلَى الْكَافِرِينَ 39:71

“Dan orang-orang kafir akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu terbuka pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka: Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab: “Ya, telah datang! Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang kafir” (39:71)

(Setelah itu) dikatakan kepada mereka: “Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam (39:71)

Perjalanan kumpulan beriman ke syurga pula bagaimana?

وَسِيقَ الَّذِينَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ إِلَى الْجَنَّةِ زُمَرًا حَتَّى إِذَا جَاءُوهَا وَفُتِحَتْ أَبْوَابُهَا وَقَالَ لَهُمْ خَزَنَتُهَا سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِين 39:73

“Dan orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga dan sedia terbuka pintu-pintunya dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:” Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya”. (39:73)

Jika dibandingkan kedua ayat ini, ayat 71 dan 73, keadaan perjalanan kumpulan syurga dan neraka hanya dipisahkan dengan satu perkataan. Iaitu ‘dan’ dan dalam bahasa arab adalah dengan satu huruf, iaitu ‘waw’. Ada kesan ke? Tiada perkara sia-sia yang Allah ciptakan. Tiada sia-sia yang Allah ucapkan. Satu perkataan, memberi impak yang besar. Satu huruf mampu memberi kesan yang mendalam kepada keseluruhan makna.

Ayat 71 : Apabila Allah membuang huruf ‘waw’ bermakna, kumpulan orang yang mengingkari aytNya akan berjalan ke arah neraka dalam keadaan penuh ketakutan, risau bercelaru tanpa diketahui apa yang akan berlaku dan secara tiba-tiba, terbuka pintu neraka untuk mereka, tersedia untuk diazab. Maka, huruf ‘waw’ dibuang kerana berlaku secara tiba-tiba.

Ayat 73: Apabila Allah menambah huruf ‘waw’ menunjukkan perjalanan kumpulan orang beriman jauh lebih tenang, lebih teratur berbanding kumpulan ahli neraka. Perjalan mereka diiring, di alukan-alukan kedatangannya ke syurga dan ketika perjalanan itu, dari jauh mereka sudah melihat keadaan syurga kerana pintunya telah sedia terbuka dari awal. Maka, huruf ‘waw’ ditambah kerana keadaannya telah tersedia.

Indahnya perjalanan kumpulan-kumpulan syurga. Perjalan mereka diiring, dan kedatangan mereka dialukan. Sambil mereka berkata :

Serta mereka berkata:” Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang menjadikan kami mewarisi bumi Syurga ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat dari Syurga ini di mana sahaja kami sukai; maka pemberian yang demikian ialah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal”. (39:74)

Moga kita tergolong dalam kumpulan syurga. Ameen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.