Tadabbur Tazakkur

Khusyu’ dan pertemuan yang dirindukan.

Seorang ayah yang seharian berkerja, dirindui anak-anak, menjadi tumpuan tatkala pulang ke rumah. Namun apabila memilih untuk melayan komunikasi di Whatsapp, menjawab pertanyaan si anak berbasa-basi, apakah “hadir”nya si ayah membawa erti? Apakah pertemuan antara si ayah dan anak itu memberi makna?

Seorang kakak yang lama tidak bersua, duduk di meja makan bersama seisi keluarga, menjamah makanan sambil melayan Facebook dan Instagram. keasyikan dalam alam maya menyebabkan perbualan seisi keluarga direspon bersahaja, dipaksa-paksa. Apakah hadirnya si kakak dalam pertemuan singkat seisi keluarga memberi makna?

Seorang hamba menghadap Tuhan dalam rutin solat hariannya, membawa bersama segenap keresahan terkait kerja yang belum disiapkan, keluarga yang belum selesai diuruskan dan entah bermacam-macam lagi perkara dunia. Sedar-sedar, sudahpun memberikan salam terakhir. Apakah pertemuan si hamba dengan Tuhannya itu punyai nilai bermakna?

 

***

Meraih khusyu’ itu ibarat membina rumah. Perlu berkerja keras. Perlu membersihkan tanah. Perlu mempersiapkan bahan binaan dan peralatan. Perlu menyiapkan tiang yang kukuh. Semuanya perlukan usaha dan kerja keras.

Kerana solat khusyu’ yang penuh makna adalah natijah daripada proses yang dilalui. Pedoman ayat ke-14 surah Toha mendidik kita bagaimana Allah mengajarkan Nabi Musa perintah solat. Ia adalah satu proses yang berturutan.

Pertama, kenali Allah.

Kedua, bersihkan diri daripada kesyirikan.

Ketiga, abdikan diri hanya kepadaNya.

Terakhir, barulah dirikan solat.

Saat ini, ada muslim yang mendirikan solat tetapi masih mengabdikan diri kepada selain Allah seperti dunia dan hawa nafsu.

Saat ini, ada muslim yang mendirikan solat, mengakui Allah itu Tuhan (ilah), tetapi masih mengambil yang lain-lain sebagai Tuhan seperti sukan dan fesyen.

Saat ini, ada muslim yang mendirikan solat, tetapi tidak mengenali Tuhan.

Bagaimana untuk mengesakan Allah jika tidak mengenaliNya? Bagaimana untuk mengabdikan diri kepadaNya jika noda-noda syirik masih memenuhi hati? Lalu, bagaimana untuk meraih solat yang khusyu’ sekiranya setiap proses ini tidak dilalui?

1. Kenali Allah

Mengenali Allah adalah atas dasar ilmu. Bukan sangkaan-sangkaan semata-mata. Bermula dengan memaknai asmaul husnaNya melalui Al-Quran juga tadabbur alam akan kebesaranNya. Apakah natijah daripada kenalnya kita kepada Allah?

Cuba lihat gambar di bawah.

Apakah perasaan yang hadir?

Takut? Menatijahkan tindakan lari darinya?

Bagaimana pula jika diberikan kepada kanak-kanak yang tidak mengerti? Respon berbeza mungkin? Kerana emosi itu dipengaruhi ilmu pengetahuan.

Rasa takut hadir bila yang melihatnya tahu dan mengenali ular.

Dan yang punyai rasa atau emosi sewajarnya kepada Allah adalah golongan yang mengenaliNya dengan ilmu pengetahuan

إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ –

Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya, hanyalah para ulama’. Sesungguhnya, Allah Maha Perkasa, lagi Maha Pengampun.

Fathir, 35 : 28

Justeru, langkah pertama dalam meraih khusyu’ di dalam solat adalah memperbaiki kenalnya kita terhadap Tuhan kita. Tingkatkan ma’rifatullah lewat QalamNya.

2. Esakan Allah dan abdikan diri kepadaNya.

Mari tadabbur ayat ke-14 surah Toha di atas tadi dengan ayat yang selalu diulang setiap hari.

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ – 1:5

Hanya kepada Engkau kami abdikan diri dan hanya kepada Engkau kami meminta pertolongan.

Ayat ini, terangkum pengesaan kepada Allah sekaligus definisi pengabdian. Tidakkah berbeza ayat di atas berbanding ini? :

“Engkaulah yang kami sembah dan Engkaulah tempat kami meminta pertolongan.”

Ayat ke-5 surah Al-Fatihah menekankan “tiada selainNya” melalui kalimah “Hanya kepada Engkaulah”. Ini menunjukkan penegasan dan keseriusan dalam hal aqidah. Hati itu harus dibersihkan, harus dikontangkan daripada kesyirikan. Syirik yang jelas adalah seperti mengambil berhala sebagai sembahan atau tangkal sebagai pelindung. Syirik yang samar-samar pula seperti riya’ dan ‘ujub, berbuat sesuatu tidak tulus keranaNya, terselindung di hati amal itu untuk kepuasan nafsu dirinya, agar dimuliakan, dijulang tingi.

Ada muslim yang solat tetapi masih belum lepas daripada perihal ini. Meskipun solat, dirinya masih menjadikan selainNya sebagai Tuhan. Hati itu tidak murni hanya untukNya.

Sudahkah engkau (Muhammad) melihat orang yang menjadikan keinginannya sebagai tuhannya? Adakah engkau akan menjadi pelindungnya? Atau adakah engkau fikir bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu hanyalah seperti haiwan ternakan bahkan lebih sesat jalannya.

Al-Furqan, 25 : 43-44

Menjadikan hawa nafsu sebagai Tuhan?

Nafsu sememangnya fitrah manusia. Namun Allah menggariskan panduan bagaimana untuk mengaturnya. Bilamana hawa nafsu tidak dikendalikan mengikut syariat, hidup akan menyimpang kepada keingkaran dan menjauhi ketaatan.

Menahan diri dan mengurus hawa nafsu sehingga tidak mempertuhankannya adalah salah satu proses untuk meraih solat yang khusyu’. Justeru, apakah yang boleh dilakukan?

Salah satu caranya adalah dengan berpuasa. Puasa memberi peluang berkata “tidak” kepada hawa nafsu. Puasa melatih diri untuk menahan diri daripada bahkan “perkara yang halal”. Ia mengekang hawa nafsu dan memenangkan kekuatan rohani.

Bukan mudah.

Kerana hawa nafsu itu seakan-akan sebati dengan diri. Tetapi pujuklah diri dengan sabar. Sabar menahan diri itu menjanjikan pahala yang tiada batas.

Katakanlah (Muhammad), “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhanmu.” Bagi orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu luas. Hanya orang-orang yang bersabar yang disempurnakan pahalanya tanpa batas.

Az-Zumar, 39:10

***

Andai diperhatikan, hawa nafsu itu sangat berkait rapat dengan dunia. Bagaimana untuk seorang muslim itu khusyu’ dalam solat tatkala dunia telahpun memenuhi hatinya? Hati tidak dikontangkan kepada selainNya.

Katakanlah “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isterimu, keluarga-keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya dan rumah-rumah tempat tinggal ang disukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan daripada berjihad di jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq.

At-Taubah, 9: 24

Dalam ayat di atas Allah menyenaraikan setiap perkara yang menjadi kecenderungan dan kecintaan manusia. Apakah kecenderungan dan kecintaan terhadap semua itu salah?

Tidak.

Rasa itu fitrah. Tetapi tatkala semua itu dicintai melebihi cinta kepada Allah & berjihad di jalanNya… Hati-hati… Aqidah itu perlu diluruskan. Pengabdian itu perlu dimurnikan. Bukankah sebelum solat, prosesnya adalah mengesakan Allah dan tulus mengabdikan diri hanya kepadaNya?

Bagaimana untuk mengosongkan hati daripada terikat dengan kecintaan kepada dunia?

Kamu tidak akan memperoleh kebaikan sebelum kamu menginfaqkan sebahagian daripada harta yang kamu cintai dan apa-apa yang kamu dermakan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.

Ali-‘Imran, 3 : 92

Infaq adalah satu amalan yang membersihkan hati daripada kecintaan dunia. Infaq merupakan proses meletakkan dunia di tangan dan bukannya di hati. Tatkala hati itu murni daripada dipenuhi cinta dunia, digantikan dengan cinta agung terhadap Tuhan dan pertemuan denganNya, ketika itulah khusyu’ itu dapat dikecapi.

Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui tuhanNya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.

Al-Baqarah, 2 : 45-46

***

Bersedia melalui keseluruhan proses ini demi meraih nikmatnya solat khusyu’ yang bermakna? Bermula dengan peduli menuntut ilmu bagi mengenaliNya, diteruskan dengan usaha bersungguh-sungguh mengekang hawa nafsu agar tulus tidak mengambil selain daripadaNya sebagai Tuhan selanjutnya terus mengabdikan diri hanya kepadaNya.

Mulakan dengan melazimi puasa yang mendidik nafsu.

Serta infaq yang mengikis kecintaan dunia.

Lalu, tidakkah dapat diperhatikan, solat dan segala yang di luar solat itu punyai keterkaitan? Seorang yang peduli mengecapi solat yang khusyu’ akan memelihara diri daripada berbuat dosa mengikuti hawa nafsu. Setiap kali terlintas di fikiran keinginan berbuat maksiat, jiwa yang peduli mendapatkan solat yang khusyu’ akan terus mengingatkan diri “Haish… lepas ni kan nak solat. Jangan kotori dengan mengabdikan diri kepada hawa nafsu. Andai solat khusyu’ itu tidak dapat dikecapi, rugilah saya….” . Hidup yang dipengaruhi radar mengingati pertemuan denganNya penuh kerinduan akan memelihara diri si muslim daripada mensyirikkan Allah dengan syaitan, tidak mengikuti bisikannya.

Seorang yang peduli meraih solat yang khusyu’ juga akan menghidupkan budaya infaq kerana peduli membersihkan hatinya daripada kecintaan kepada dunia. Kerana Khusyu’ itu satu anugerah kurniaan Tuhan buat mereka yang peduli meraihnya, mendapatkan nikmatnya pertemuan yang dirindukan (solat).

 

***

Sudahkah solat menjadi satu pertemuan yang dirindukan buatmu?

10 thoughts on “Khusyu’ dan pertemuan yang dirindukan.

  • Terima kasih Cik ayat untuk nota ini.

    Saya menghargai solat khusyuk adalah satu proses dan masih lagi dalam proses. Lepasni lebih jelas bagaimana melalui proses ini.

    Apa yang diluar solat, sangt terkait rapat dengan apa yang berlaku di dalam solat. Dijaga di luar, baru boleh memaknai di dalam solat.

    Reply
  • Alhamdulillah jazakillahu khairan. Barakallahu fiik.

    Reply
  • Subhanallah..alhamdulillah…excellent tadabbur..would love to be in this group insyaallah..may all of us be in Jannah..Aamiin

    Reply
  • IzzaruddinRadzuan

    Kupasan yang menarik

    Reply
  • Zuraida mohamad

    MasyaAllah terasa seperti sedang mendengar bicara kak ayat. Macam sedang berhadapan. Rindu sekali.

    Reply
  • Teruskan menulis, ukhti mahbubah yang dirindui.

    Will kupas dalam usrah, moga pahala Ayat mengalir bagai air terjun yang tak pernah kering❤

    Reply
  • raja noor aiza raja abu bakar

    Jazakillahu khair. Pengisian yang sampai ke hati dgn analogi yg menarik.

    Reply
  • iskandariah

    Subhanallah. Izinkan saya kongsikan di FB?

    Reply
    • Ayat Ibrahim

      Ya silakan. Moga beroleh kebaikan melimpah ruah.
      INI sebenarnya catatan nota kursus khusyuk solat di Ampang.
      Disampaikn ustzh nora

      Reply
  • HambaAllah

    Dengan menggunakan bahasa2 mudah seperti ini dapat membantu anak2 muda dan golongan belia utk lebih mendekati agama dan memperbaiki ibadat/solat. Syabas team Tadabbur Tazakkur.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.