Tadabbur Tazakkur

Ramadhan, madrasah pembebasan daripada pengabdian hawa nafsu

Hidup ini, jalan yang hakikatnya membawa kepada pengabdian Dia yang Esa. Islam hadir membebaskan diri daripada peritnya pengabdian kepada selain Allah, beralih kepada tauhid yang membahagiakan. Hati yang tunduk kepadaNya, mengesakanNya, akan memilih jalan taqwa berpandukan petunjuk wahyu Al-Quran.  Dengan taqwa, jiwa itu murni, kembali kepadaNya dengan hati yang tenang.

Lawan pengabdian kepadaNya, pengesaan Allah, adalah syirik.

Mensyirikkan Allah dengan syaitan? Ikuti bisikannya. (Al-Hijr, 15 : 42)

Mensyirikkan Allah dengan Hawa nafsu? Jadikannya tuhan. (Al-Furqan, 25 : 43)

Adakalanya memilih syirik tanpa sedar. Kerana syaitan dan hawa nafsu, kedua-duanya tidak terlihat dek mata. Sejauh mana diri ini merasakan usaha membebaskan diri daripada pengabdian kepada syaitan & hawa nafsu ini penting?

Hadirnya Ramadhan, menjerat syaitan, menyediakan ruang tarbiyyah buat muslim agar berlatih menjinakkan hawa nafsu selari syariatNya. Pelatihan selama sebulan, tanda rahmatNya kepada umat Muhammad.

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa, (iaitu) beberapa hari tertentu….

Al-Baqarah, 2 : 184

Kalimah أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ  dalam ayat di atas membawa maksud kurang daripada 10 hari. Orang yang terdahulu turut diwajibkan berpuasa tetapi bilangannya tidak seperti yang difardhukan buat Umat Nabi Muhammad iaitu mencecah sebulan.

Mengapa ya?

Allah meginginkan kemudahan bagimu, dan tidak menginginkan kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.

Al-Baqarah , 2 : 185

Andai kita melihat dari sudut fizikal. Dulu puasa 10 hari. Sekarang puasa 30 hari. Aishhh… Ini lagi susah! Tak semudah orang terdahulu.

Tetapi Allah sendiri yang mengatakan “Allah menginginkan kemudahan bagimu.”

Lagi lama puasa, lagi memudahkan kita?

Umpama pelajar yang sedang menjalani praktikal di tahun akhir pengajian. Peluang yang panjang memberi ruang untuk berlatih dan mengasah kemahiran sehingga keluarnya daripada Universiti dengan kemampuan dan kredibiliti yang tinggi.

Begitulah madrasah Ramadhan, satu ruang “training” yang disediakan Allah setiap tahun buat seluruh umat manusia satu dunia bagi melatih jiwanya untuk tidak mengabdikan diri kepada hawa nafsu, bermula dengan nafsu terdekat iaitu makan dan minum.

Allah sayang kita.

Kan?

Allah Ar-Rahman, Ar-Rahiim.

***

Hawa nafsu itu, sangat menjerat.

Ada manusia, kecintaannya kepada kasut sangat berlebih-lebihan. Pantang sahaja melihat kasut, terus membelinya tanpa banyak fikir. Terlalu obses. Sehingga menjerat diri sendiri, banyak hutang keliling pinggang.

Ada manusia, kecintaannya kepada perniagaannya dan hartanya sangat berlebih-lebihan. Bahkan di meja makan dan di ruang rehat turut membicarakan soal perniagaan. Obsesinya terhadap dunia yang didorong hawa nafsu akhirnya menjerat diri.

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami dan berasa puas dengan kehidupan dunia serta berasa tenteram dengan (kehidupan) itu dan orang-orang yang melalaikan ayat-ayat Kami. Mereka itu tempatnya di neraka kerana apa yang telah mereka lakukan.

Yunus, 10 : 7-8

Ini perkara serius. Super serius. Jangan main-main lah. Sebab Allah menjanjikan tempat di neraka jika kita memilih dunia, melupakan akhirat.

Dunia dan hawa nafsu, tidak dapat dipisahkan. Untuk menuntun hawa nafsu, didiklah ia dengan jalan taqwa.

Dan aku tidak (mengatakan) diriku bebas (daripada kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorng ke arah kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuanku Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.

Yusuf, 12 : 53

Merenung ayat di atas. Ingin bertanya kepada Pemilik diri ini. Allah, nafsu apa yang diberi rahmatMu? Ya Rahmaan, Engkau merahmati apa? Bagaimana untuk aku menggapai rahmatMu?

 

ٱلرَّحۡمَـٰنُ ( ١ ) عَلَّمَ ٱلۡقُرۡءَانَ ( ٢

Ar-Rahman. (Dia) yang mengajarkan Al-Quran.

Ar-Rahman, 55 : 1-2

 

Dengan Al-Quran, kita meraih rahmat.

 

***

Marhaban Ya Ramadhan.

Bulan AL-Quran.

Bulan penuh rahmat.

Bulan membebaskan diri daripada pengabdian hawa nafsu.

Bulan mengikis penyakit cinta dunia melalui puasa dan infaq.

Bulan meraih Taqwa.

Sampaikan kami pada bulan Ramadhan ya Allah.

One thought on “Ramadhan, madrasah pembebasan daripada pengabdian hawa nafsu

  • Aiman La Yubali

    Jazakillah khayran kathiran kak….
    Terima kasih…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.