Kemenangan

 “Awak kena bayar jugak la macamna pun. Kalau tak, awak tak boleh ambil peperiksaan akhir semester ni. Awak ada tempoh sebulan untuk langsaikan semua tunggakan”.

Tit.. tit.. Panggilan terputus. Fatin buntu. Panggilan yang diterima sebentar tadi adalah dari pihak universiti yang memintanya menyelesaikan tunggakan yuran.

“Macamnana nak buat ni…”

Dia mempunyai tunggakan yuran dengan pihak universiti, yang telah menyebabkan dirinya diharamkan dari mengambil peperiksaan akhir semester sebelum melangsaikan kesemua hutangnya.

 

Keesokan harinya…

Fatin menghadiri kuliah di masjid yang berkisar mengenai surah al-Anfal. Surah ini menekankan berkaitan syarat bagaimana kemenangan Allah akan sampai kepada manusia.

Surah al-Anfal dinamakan juga ‘al-Ghanaaim’ yang bermaksud rampasan perang. Surah ini turun bersempena dengan peperangan Badar. Logiknya, jika dilihat dari sudut fizikal, kaum muslimin telah jauh dari kemenangan kerana hanya mempunyai jumlah tentera yang seramai 313 orang sahaja tanpa kelengkapan perang yang mencukupi. Berbanding pihak lawan ketika itu mempunyai hampir 1000 tentera yang cukup kelengkapan perang bersama beratus ekor kuda.

Di dalam surah ini, Allah mengajar kita berkaitan dengan syarat bagaimana kemenangan di sisi Allah itu diperolehi.

Pertama, berharap kepada pertolongan Allah dan meyakini bahawa hanya Dia sebagai Penolong dalam memberi kemenangan.

Kedua, berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan.

Sesetengah manusia berfikir bahawa kemenangan Allah diperoleh, hanya dengan aspek pertama sahaja dan mereka berdoa semata-mata supaya kemenangan sampai. Apabila kemenangan tidak berpihak pada mereka, mereka akan mula ‘mengkritik’ Tuhan.

“Mengapa kemenanganMu tidak sampai padahal aku sudah berdoa?!”

Padahal, tanpa disedari, aspek kedua telah diabaikan. Iaitu usaha yang bersungguh untuk mendapat pertolongan juga adalah metod mencapai kemenangan.

Ada juga yang hanya bergantung semata pada usaha dirinya, tanpa langsung meyakini Dia yang memberi kemenangan.

Maka, surah ini mengajar erti keseimbangan antara keduanya.

Untuk mencapai kemenangan, wajib meyakini bahawa kemenangan itu hanya dari Allah (al-Anfal, 8:10)

Dan, kerana kemenangan itu hanya di sisi Allah, maka kita harus menyeruNya sahaja.

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan (Al-Anfal, 8:24)

Namun, disusuli dengan usaha kita yang bersungguh untuk mencapai kemenangan.

Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. (8:60)

Bukan usaha yang biasa-biasa tapi usaha dengan segala jenis kekuatan yang kita ada!

 

Tamat sesi kuliah…

Fatin merasakan bahawa Allah telah menjawab segala pertanyaannya pada hari sebelum. Rupanya, selama ini dia hanya bersangka-sangka dalam memohon pertolongan supaya diberi kemenangan (atau diberi jalan keluar pada permasalahannya).

Fatin hanya menyeru Tuhan, iaitu melakukan amal pada aspek pertama yang berkisar tentang keyakinan dan menyahut seruanNya. Dia sememangnya meyakini bahawa hanya Allah yang boleh membantunya untuk menyelesaikan kemelut hutangnya. Namun, baru sekarang dia menyedari bahawa dia telah mengabaikan aspek kedua iatu usahanya untuk membayar hutang.

Kini, Fatin semakin jelas dan sedang menyusun strategi bagaimana untuk memperoleh duit bagi menyelesaikan tunggakan hutangnya dengan universiti disamping pergantungan penuh kepadaNya yang Maha Memberi Rezeki.

 

One thought on “Kemenangan

  • November 7, 2017 at 11:08 am
    Permalink

    Pertolongan Allah itu pasti!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.