Formula menjemput rezeki
Ahmad murung. Sudah 3 hari dia banyak bersendirian, enggan bertegur sapa dengan sesiapa. Teman serumah semakin risau. Berita yang diterima terkait lamarannya yang ditolak pihak perempuan. Lalu, mereka yang mengenali Ahmad sedikit tersentak.
“Apa kurangnya Ahmad? Pemimpin pelajar, hafal Quran, bijak cari duit. Apa lagi yang perempuan itu mahu?”
Aneh.
Tetapi itulah lumrah.
Bila tidak berlakunya persetujuan, proposal tidak diterima. Kerana mungkin pihak lawan mempunyai piawai yang berbeza dengan piawai yang ditetapkan diri sendiri. Selagi “syarat” tidak dipenuhi, sulit untuk mendapat penerimaan.
Dan dalam kehidupan, situasi seumpama banyak berlaku apabila melibatkan dua pihak. Untuk diterima, harus memenuhi syarat yang ditetapkan si penerima. Seorang pelajar yang mahu diterima kemasukan ke Universiti harus memenuhi syarat (requirement) barulah berjaya memasuki menara gading itu. Seorang pemohon pekerjaan, haruslah memenuhi piawai dan syarat yang dikehendaki syarikat, barulah diterima sebagai pekerja.
Terkait soal rezeki. Bilamana setiap kita dipilih Allah untuk hidup di zaman yang penuh penindasan dengan urus tadbir ekonomi yang bercelaru . Iman yang gersang suka mencari jalan keluar dengan cara pintas.
Ada yang melihat anak sebagai bala, meyatimkan mereka dengan meletakkan di rumah-rumah perlindungan, dan didera emosinya ketika tiba saat pulang bersama keluarga di hari perayaan “Buat apa balik? Buat habis beras rumah ni je.”
Ada yang memilih untuk “menyimpan” isteri di rumah tanpa memberi nafkah, pintu rumah dikunci agar isteri tidak lari. Tetapi duit yang diraih hanyalah untuk diri sendiri, membiarkan si isteri berpuasa berhari-hari.
Bingung.
Sesempit itukah rezeki kurniaanNya?
Dan bagi insan yang peduli keluar daripada kepompong “kemiskinan” ini, usaha meraih segala upaya itu amat dikagumi dan dihargai. Raihlah sebanyak-banyak kemahiran dan ilmu yang berkaitan serta lengkapkanlah diri dengan segala kemahiran untuk “bernafas” di bumi bertuah ini. Gali pengalaman daripada mereka yang telah berjaya , ikuti formula mereka, mereka dan mereka.
Dan ada satu formula terkait soal rezeki ini. Ia berupa janji yang pasti daripada Dia yang Maha Pakar segala-galanya. Itulah formula dari Dia Sang Pencipta, yang menciptakan segala hukum sebab-akibat di dunia ini.
Apa bicaraNya?
dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar, serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka cukuplah Allah baginya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
At-Thalaq, 65 : 2-3
Umpama Ahmad yang ingin meraih cinta gadis pilihannya, umpama seorang pelajar yang mahu mendapat tempat di universiti pilihannya, umpama seorang yang mahu mendapat kerja di syarikat pilihannya…. kesemuanya memerlukan kepada usaha keras agar terpenuhi syarat yang ditetapkan sehingga diterima pihak lawan.
Lalu, sejauh mana diri ini sanggup memenuhi syarat menjemput rezeki yang ditetapkan Allah?
Kalau mahu mendapatkan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka, syaratnya adalah bertaqwa.
Buat jiwa yang sempit dengan rezeki, tetapi masih mengharap-harapkan bantuan dariNya, ayuh telusuri beberapa ayat bagi memaknai taqwa.
Pedoman ayat 1 (Al-Baqarah, 2 : 177)
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
Al-Baqarah, 2:177
Justeru,
tatkala diuji hadirnya ahli keluarga atau orang miskin yang turut meminta bantuan, berbisiklah di dalam hati “Allah, rezeki saya tak banyak, tetapi saya nak bertaqwa ya Allah, mudahkanlah saya infaq sedikit yang ada ini kepada mereka.”
tatkala diuji dengan kesempitan, mula terfikir menyalahkan dan memarahi ramai pihak, pujuklah hati “Ya Allah, saya stress. Tapi saya nak bertaqwa ya Allah. Bantulah saya untuk sabar dalam kesempitan.”
Pedoman 2 (Ali-Imran, 3 : 133-136)
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (muhsinin);Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.
Ali-‘Imran, 3:133-136
Justeru,
Tatkala diuji dengan kesalahan teman sekerja, turun naik nafas di dalam dada, berbisiklah ke dalam hati “Ya Allah, saya marah giler ya Allah. Tapi saya nak bertaqwa ya Allah. Bantu saya untuk menahan kemarahan dan memaafkan kesalahan orang lain.”
Tatkala diuji dengan paparan imej tidak senonoh dari media massa sehingga terlintas perkara-perkara keji, cepat-cepatlah mengingati Allah dan memohon ampunanNya serta terus meneguhkan hati “Ya Allah, syaitan suka menampakkan perkara keji sebagai baik dan indah. Dan saya memilih untuk bertaqwa ya Allah. Ampunilah saya dan lindungi saya daripada menzalimi diri sendiri.”
Pedoman 3 (At-Taubah, 9 : 44)
Orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tidak akan meminta izin kepadamu untuk (tidak turut) berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.
At-Taubah, 9:44
Justeru,
Tatkala diuji dengan hadirnya jemputan teman-teman memohon bantuan beramal bakti, mengajar Al-Quran atau memberikan pengisian, mengajak menjadi sukarelawan mereka yang hidup sempit, cepatlah-cepatlah memujuk hati. “Ya Allah, saya tengah kesempitan kewangan. Dan saya sangat perlukan semua kerja overtime sampai lewat malam. Tapi saya percaya kepadaMu dan saya mahu memenuhi syarat taqwa. Bantulah saya, lapangkanlah hati saya untuk berjihad dengan jiwa dan harta saya atas jalanMu Ya Allah.”
***
Berpegang pada janjiNya.
Berserah bulat-bulat kepadaNya.
Niscaya, Allah mencukupimu dari arah yang tidak disangka-sangka.
***
Artikel terkait sebelum ini :
Masha Allah!!