Negaraku : Di sini lahirnya sebuah cinta

Terpampang statistik negara, 13272 kes rogol kanak-kanak dilaporkan dengan Selangor menjadi negeri tertinggi bagi kes luar tabii dan cabul. Berita menggemparkan negara terkait buli yang mengakibatkan kematian di institut pengajian tinggi pula turut meruntun hati. Ditambah lagi dengan kes pembakaran 25 anak-anak muda remaja tahfiz akibat kemarahan dan kedengkian remaja yang di bawah pengaruh dadah membuatkan rakyat Malaysia tidak tidur lena.

“Apa nak jadi dengan negara ini?”

Dulu terlihat jauh. Pembunuhan sana-sini masyarakat luar yang tertindas. Salahkan “Regime sana” yang amat zalim. Salahkan pemerintahan “mereka” yang membunuh rakyat-rakyatnya tak berdosa.

Namun saat ini semuanya adalah realiti keadaan parah yang berlaku dalam negaraku.  Bahkan lebih teruk.

Bukan berpunca perbezaan kepentingan politik. Bukan bertelingkah merebut hak.

Tetapi bunuh-membunuh atas alasan sekecil laptop dan terasa hati. Jiwa kosong itu lalu puas dengan membunuh?

Murah sungguh nyawa rakyat Malaysia. Lebih murah daripada harga ayam di pasar-pasar.

Gejala sosial mewabah tak terbendungkan lagi.

“Saya sayang negara saya.”

Dan segala perasaan yang tercurahkan itu berpenghujung di mana?

Ada yang berusaha membantu si fakir, apakah sudah saya menghulur.

Ada yang berusaha mendidik si jahil, apakah sudah saya memberi.

“Apakah benar saya menyayangi Malaysia?”

Seumpama seorang pemuda yang berada di kampung jauh di hujung kota. Cintanya terhadap kaumnya menggerakkan dirinya untuk bergegas ke bandar semata-mata untuk menyeru kaumnya kembali kepada kebenaran. Keluar daripada kegelapan kemungkaran. Kembali ke jalan yang memungkinkan melimpahnya rahmat dari Tuhan.

Datanglah dari hujung kota, seorang lelaki dengan bergegas dia berkata “Wahai kaumku! Ikutilah utusan-utusan itu! Ikutilah orang yang tidak meminta bayaran kepadamu, dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Yaasiin, 36 : 20-21

“Apa kaitan? Kenapa bila negara banyak masalah dari segala arah, solusinya ikut Rasul?”

Err..

Itulah masalahnya.

Apabila jiwa tidak nampak pentingnya Tuhan dan petunjuk Ilahi dalam meng”hidup”kan sebuah negeri.

Dan jika penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami seksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka lakukan.

Al-‘Araf, 7 : 96

Keingkaran kepada Tuhan, mengakibatkan kesengsaraan buat sesebuah negeri. Hilanglah barakah, jauh dari rahmat Tuhan. Solusinya hanya satu. Harus diusahakan mengembalikan seluruh masyarakat untuk kembali kepada petunjuk Tuhan yakni Al-Quran.

“Al-Quran boleh ke selamatkan negara Malaysia yang dah parah ni?”

Mengapa tidak?

Apakah ada selain dari Al-Quran yang mahu diseru?

Lebih percayakan formula-formula ciptaan manusia dalam menggapai keharmonian sesebuah negara?

Bukankah sesebuah negara terbentuk daripada kelompok komuniti masyarakat. Masyarakat pula terbentuk daripada unit-unit kecil keluarga. Satu unit keluarga pula dibentuk oleh individu-individu. Seandainya benar saya peduli membuat perubahan kepada negara, seharusnya bermula daripada pembentukan seorang individu.

Justeru, apakah kaedah terbaik membangun potensi individu agar jiwanya tidak rakus membawa kerosakan kepada semua?

Hati yang dicorakkan materialisme, membentuk peribadi yang rakus menggunakan segala sumber dunia, tunduk kepada hawa nafsu.

Jiwa yang terpengaruh dengan dunia kapitalis, menumbuhkan peribadi yang pentingkan diri dan enggan memberi.

Lalu kepada perkataan apakah selain Qalam Penciptamu yang ingin kau dengari?

Demikianlah Allah mengancam hamba-hambaNya. “Wahai hamba-hambaKu, maka bertakwalah kepada Ku.” Dan orang-orang yang menjauhi taghut (iaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, mereka layak mendapat berita gembira, kerana itu sampaikanlah khabar gembira itu kepada hamba-hambaKu. (iaitu) mereka yang mendengar kata-kata lalu mengikut apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.

Az-Zumar, 39 : 16-18

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan kebajikan serta berkata “Sesungguhnya,  aku termasuk di kalangan orang-orang muslim?”

Al-Fussilat, 41 : 33

“Saya macam tak percaya hanya dengan membawa rakyat Malaysia kembali kepada Quran, akan mampu mengubah keadaan yang parah ini. Kerana saat ini, masyarakat Malaysia celik Al-Quran. Kita memang mengajar membaca Al-Quran sejak sekolah rendah. Apa lagi maksudmu?”

-“Justeru, terangkan kepadaku apa bezanya pelajar tadika yang baru belajar menyebut huruf dan perkataan, dengan para pelajar sekolah rendah yang sudah pandai membaca?”

“Maksudmu?”

-“Apakah perbezaan antara ‘menyebut’ dan ‘membaca’ ?

“Menyebut sekadar membunyikan huruf-hurufnya tanpa makna. Membaca, ya. Pasti memahami apa yang dibacanya, mampu menggarap isi kandungan.”

-“Sejujurnya, majoriti rakyat Malaysia ‘menyebut’ Al-Quran atau ‘membaca’ Al-Quran?”

Dan bukti seseorang hamba memahami kata-kata Tuhannya adalah mampu memilih tindakan kehidupan selari dengan kehendak kata-kataNya.

Misalnya…

Saat hadir di kafeteria, peduli mendapatkan sebotol air mineral berserta pilihan makanan yang tinggi kandungan zat. Sanggup berkata tidak kepada teh tarik dan sumber makanan berproses. Ini kerana dia mengimani ayat ke-172 dalam surah Al-Baqarah.

Ketika sibuk membeli-belah di pasaraya, tiba-tiba hadir seorang yang tidak dikenali memaki hamun menyalahkannya dalam perkara yang dia tidak lakukan, dia masih tenang menjelaskan keadaan sebenar. Beredar dengan memberikan rasa selamat kepada dia yang menyumpah seranah. Kenapa? Kerana dia mengimani surah ke-25.

Apabila hadir insan dengan kesalahan terhadapnya sehingga menimbulkan rasa marah. Lalu dirinya cepat-cepat istighfar dan memujuk hati untuk menahan kemarahan serta memaafkan. Mengapa? Kerana dia beriman dengan ayat ke133-134 dari surah ke-3

“Apa ada dalam ayat-ayat tu tadi?”

-“Eh? Tadi kata rakyat Malaysia celik Al-Quran?”

Dan tanpa Al-Quran, hati manusia mati. Terus menjalani kehidupan tanpa petunjuk wahyu. Saling bertelingkah. Tiada ikatan persaudaraan yang membangun kekuatan sesebuah bangsa. Kerana hanya dengan Al-Quranlah, ikatan cinta itu memekar.

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Al-Quran) dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menaytukan di antara hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.

Ali-Imran, 3 : 103

Lalu, masih mahu berpaling daripada Al-Quran?

Enggan menjadi pemuda dari hujung kota yang membuktikan kecintaan kepada kaumnya dengan sanggup menghadapi risiko dibunuh demi menyelamatkan kaumnya daripada terjatuh ke jurang api neraka. Apakah ada lagi cinta yang lebih mulia daripada mahu menyelamatkan kaummu agar masuk bersama-sama ke pintu syurga?

Mulianya engkau wahai Pemuda Yaasiin.

Engkau benar-benar membuktikan cintamu kepada kaummu.

Dikatakan (kepadanya) “Masuklah ke syurga” Dia (lelaki itu) berkata “Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui. Apa yang menyebabkan Tuhanku memberi keampunanMu kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang telah dimuliakan.”

Yaseen, 36 : 26-27

Hati yang penuh kasih sayang, masih mengharapkan kebaikan buat kaumnya meskipun kaumnya telah membunuhnya. Wahai pemuda dari hujung kota, aku belajar erti cinta darimu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.