Tadabbur Tazakkur

“Eh, ceramah agamalah. Tukar channel cepat!”

1400 tahun yang lalu.

“Muhammad mahu menyebarkan lagi kata-kata Tuhan! Cepat datangkan para penghibur!”

– “Para penghibur?”

“Wahai kaum Quraisy, di sini ada sesuatu yang lebih menarik daripada bicara wahyu. Usah dengarkan lagi cerita dongeng Muhammad.”

– “Tak habis-habis bawa cerita yang tidak bermanfaat. Cuba kita tanya dia, dia tahu atau tidak cerita tokoh Luqman yang terkenal dari zaman dahulu sehingga sekarang.”

___________

Kini, 2017.

“Eh, Semua ! Diamlah. Drama dah nak mula jam 7 ni.”

– “Aish, maghriblah dulu. Dengar apa peringatan dari Tuhan melalui solat.”

“Nanti waktu iklan, aku solatlah cepat-cepat. Tak boleh terlepas babak terakhir ni.”

– “Tu bukan tengah iklan ke tu?”

“Ahhh. Nantilah.”

– “Betul ke kali ni taknak ikut kami ngaji Quran?”

“Lain kali lah ya.”

– (Quran tak penting? Sehinggakan rasa macam tak memberi manfaat, tak perlu difahami, macam cerita dongeng..)

________________

Di antara golongan manusia, ada yang menggunakan percakapan kosong untuk menyesatkan (manusia lain) daripada jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikannya olok-olokan. Mereka itu akan mendapat azab yang hina. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, dia berpaling dengan menyombongkan diri seolah-olah dia belum mendengarnya, seakan-akan ada sumbatan di kedua-dua telinganya, maka bergembiralah dia dengan azab yang pedih.

Luqman, 31 : 6-7

Dalam dunia ini, percakapan apa yang ingin kau dengari?

Percakapan “kosong” berupa hiburan lagu-lagu dan drama-drama yang melarutkan emosi. Percakapan kosong yang tidak memberikan manfaat sehingga mahu diangkat dan disanjung dengan mengetepikan hak Tuhan bahkan enggan mendengar kata-kata Tuhan?

Surah Luqman menyelar golongan yang mensyirikkan ayat-ayat Allah dengan hiburan. Hati yang gersang itu bahkan rasa tidak senang bila disebut nama Allah tetapi kembali berasa tenang apabila nama-nama selain Allah yang disebutkan.

Nama artis yang dicintainya.

Nama pelakon yang dikaguminya.

Nama pemain sukan yang menjadi idolanya.

Kesemua itu menjadi yang utama tatkala bertembung masa antara hak Tuhan dan kehendak hawa nafsu yang sukakan hiburan.

Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan kebenaran! Maka terhadap perkataan manakah (selain Al-Quran) ini mereka akan beriman?

Al-Mursalaat, 77 : 49-50

Si Quraisy mahu mengalihkan kesemua manusia daripada mendengar bicara wahyu, lalu didatangkan para penghibur agar dapat menarik perhatian para manusia daripada mendengar kata-kata Tuhan.

Masyarakat zaman kini pula yang sudahpun larut dalam dunia yang mempertuhankan hawa nafsu mahu memperturutkan kehendaknya sehingga hati berasa sulit untuk menerima bicara Tuhan.

“Haish! Ini bukan hiburan. Kami sedangkan mendengarkan kata-kata hikmah penuh manfaat daripada tokoh-tokoh terdahulu seperti Socrates.”

Bagaimana pula seandainya dikongsikan bicara tokoh-tokoh cendekiawan zaman terdahulu melalui petunjuk wahyu?

Sesungguhnya, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu “Bersyukurlah kepada Allah! Barangsiapa bersyukur (kepada Allah), sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.

Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, sewaktu dia memberi pengajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau menyekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan Allah itu adalah benar-benar kezaliman yang besar.”

Luqman, 31 : 12

Seorang bapa yang terkenal penuh hikmah, tiba-tiba menasihati anaknya agar tidak mensyirikkan Tuhan? Apakah anaknya tidak beriman?

Lalu, ayat ini mendidik setiap jiwa bahawa syirik itu bukan semata-mata bermaksud menyembah berhala. Bahkan , syirik itu adalah apabila seorang manusia mengutamakan hiburan berbanding kepedulian memahami kata-kata Tuhan.  Syirik itu apabila manusia meletakkan selain Allah sebagai sumber pergantungan.

Mensyirikkan Tuhan dengan hiburan?

Kepada perkataan apa lagi kah selain Al-Quran yang mahu engkau imani?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.