Dian, Nami dan Mesin Fuel-up
Di suatu daerah terpencil, di planet selain bumi, Dian & Nami hidup bersama-sama orang kampung.
Mereka punyai peraturan dan hukum-hakam tersendiri. Antaranya, mereka berkewajipan masuk ke sebuah mesin bernama Fuel-Up 3 kali sehari, mengikut waktu yang ditentukan.
Prosedur Fuel-Up termasuklah :
1. Order makanan sebelum waktunya.
2. Masuk mesin, dan pastikan memakan semua makanan yang ditempah.
3. Keluar daripada mesin membawa tenaga baru yang diperoleh.
Si pembuat mesin itu telah memberi jaminan “Barangsiapa yang memenuhi kewajipan Fuel-Up ini 3 kali sehari, dia pasti jadi produktif.”
Dian & Nami selalu memasuki mesin tersebut pada waktu yang sama.
Bezanya, Nami selalu terlupa menempah makanan sebelum masuk waktunya, lalu terpaksa makan hidangan “aroma” sahaja. Kerana prinsip Fuel-Up adalah “Free smells”.
Berbeza dengan Dian yang sangat suka idea mesin tersebut lalu teruja tempah makanan sebelum tiba waktunya. Kesannya, Dian sentiasa menjadi orang yang penuh tenaga dan produktif.
Berbeza dengan Nami yang meskipun memasuki mesin yang sama dengan Dian, Nami selalu letih sehingga sanggup beri alasan ponteng kerja.
______________________
Ini cerita rekaan semata-mata di sebuah planet yang tidak wujud.
Yang ingin saya bawa kepada perumpamaan solat.
Andai melihat Solat sebagai sebuah mesin yang berfungsi jika dipenuhi segala peraturan dan prosedurnya, sudahkah kita penuhi prosedurnya?
- Baca Quran sebelum masuk waktu solat.
- Dirikan solat.
- Dalam solat, pastikan bacaan Quran menjadi Az-Zikr (peringatan) sehinggakan setiap butir ayat Tuhan itu dilafazkan penuh sedar, memberikan kesedaran & peringatan.
- Kenal Tuhan, dan rasai cctv Allah yang Maha Mengetahui apa yang dirancang & dilakukan.
Ini, pedoman Al-Ankabut, 29:45.
Rata-rata manusia, hanya penuhi prosedur nombor 2.
Yang nombor 1 , 3 dan 4 errrr
Sebelum solat, dah faham Quran dulu?
Sewaktu solat, ayat-ayat Quran dah jadi peringatan?
Selesai solat, rasa tak keberadaan Allah yang tahu sangat segala tindak-tanduk manusia?
Taknak jadi macam Nami yang tak penuhi prosedur sebelum dan semasa masuk Fuel-Up.
____________________
اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
1⃣ Bacalah serta ikutlah akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran , dan 2⃣ dirikanlah solat ; sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan 3⃣ sesungguhnya peringatan daripada Allah (Quran) adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan4⃣ Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
-Surah Al-Ankabut, Ayah 45
________________________
Ada manusia, pada waktu paginya seronok bergossip, bercerita hal² manusia. Bagai semua manusia buruk. Dia sahaja yang baik.
Sebelum masuk waktu solat, dia peduli buka Quran, terbaca surah Al-Humazah. Dia bertaubat.
Lalu ketika solat Zohor, dia memilih membaca surah Al-Humazah kerana nak jadikan surah tersebut Zikr (peringatan) untuknya. Akhirnya, selesai solat, dia berubah menjadi manusia yang berhati-hati tak nak mengumpat & fitnah.
_______________________
Ada manusia,pagi-pagi hujung minggu malas membantu pasangan mengurus rumah. Dia mahu “untung” dengan masa rehat-rehat yang dia ada.
Sebelum solat juga, dia tak rajin belek Quran, dan terlupa kandungan surah Al-Asr dan Al-Maun. Dia terlupa dia sebenarnya memerlukan amal soleh sekecil-kecil menghulurkan bantuan berguna kepada orang sekeliling untuk selamat di akhirat.
Lalu, ketika waktu Zohor, dia solat sambil membaca surah rutin yang biasa dan tidak memberikan peringatan pada dirinya. Dia tidak membaca ayat-ayat Quran yang memberi peringatan untuk dia berubah dan termotivasi untuk bertaubat.
Justeru, dia keluar daripada solat sama seperti dia yang sebelum mendirikan solat.
Tiada impak solatnya.
Sekadar solat yang kosong.
“Makan angin je.”
_________________
Saya?
Apa khabar solat saya?
Dah tibakah saatnya diri mampu membaca surah At-Taghabun dalam solat setelah bergaduh dengan suami & anak-anak? Mengizinkan Tuhan yang memujuk melalui ayat-ayatNya, menjernihkan kembali hati yang panas dalam rumahtangga yang dibina?
Sudahkah sampai waktunya, untuk diri mampu menjadikan surah An-Nur sebagai zikr(peringatan) dalam solat. Memujuk diri untuk bersabar & bertahan menundukkan pandangan di zaman pornografi bersepah di alam maya?
____________________
Solat, mampu mencegah perkara keji dan mungkar.
JIKA…
sebelum solat, seorang Muslim itu peduli tilawah Quran.
Dan peduli menjadikan ayat-ayat Tuhan sebagai Zikrullah (peringatan daripada Allah) dalam solat yang didirikan.
Dan kenal Tuhan di luar solat, menyedari bahawa Dia mengetahui segala yang diri lakukan.
______________________
Bantu SHARE post ini untuk bantu kawan-kawan memiliki solat yang berfungsi, mengubah peribadi bermula dengan peduli faham + hafal Quran.
Jom, misi jadikan ayat Quran sebagai zikr (peringatan) dalam solat.