Tadabbur Tazakkur

Buat yang “sibuk”, bersedia untuk ditanya berkali-kali?

Hadir dalam majlis ilmu, seorang ibu tampil berborak-borak dengan kami anak-anak muda yang turut membantu persiapan sarapan pagi sebelum memulakan kelas. Dia mengajukan satu soalan.

“You all ni sebagai anak-anak, kalau mak ayah tegur berkali-kali perkara yang sama, apa tandanya tu?”

– “Kenapa?”

“Rasa tak perkara tu penting buat mak ayah sampai berkali-kali ditegur walaupun you all rasa benda tu kecik?”

Errr… luluh hati mendengar persoalan seorang ibu. Dan entah, masuk ke persoalan yang lain.

“Kalau kita baca Quran pula, tapi tak tadabbur, apa hukumnya?”

Seseorang bersuara “Tak dapat pahala lah.”

Ok.

“Kalau seorang isteri tak ikut perintah suami, tak nak peduli dan faham apa yang suami cakap, buat endah tak endah je apa suaminya cakap, apa hukumnya?”

– “BERDOSA.”

wah… ramai suara menjawab serentak.

“Kalau tak ikut perintah suami awak rasa berdosa. Kenapa kalau “tak nak peduli” apa yang Allah cakap (Al-Quran) sekadar dianggap tak dapat pahala? Mengingkari Tuhan, tak nak peduli apa yang Tuhan kata, bukankah akibatnya secara logiknya lebih besar daripada mengingkari suami?”

Semua terdiam.

Bagai satu gunung sedang menghempap.

Dan hari itu kami menelusuri ayat-ayat Quran mengenai ancaman Allah buat mereka yang sering merasakan “sibuk” daripada mencari ruang memahami Al-Quran.

Stesen pertama : di padang Mahsyar

Umpama seorang guru di luar dewan peperiksaan yang langsung bertanya kepada anak muridya “Dah baca buku teks? Bersedia menjawab exam?”. Begitulah suasananya di padang mahsyar, soalan yang paling awal ditanya adalah “Dah dapat Quran? Dah faham kandungannya?” . Kerana itu asas memberi “jawapan” terhadap ujian kehidupan.

Wahai sekalian jin dan manusia ! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab ” Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri”. Dan mereka telah diperdayakan oleh kehidupan di dunia dan mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan rasul-rasul).

Al-An’am, 6 : 130

 

Dan (ingatkanlah) perihal dari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya sambil berkata “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama rasul?” “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku.” Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia. Dan berkatalah rasul ” Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai.”

Al-Furqan, 25 : 27-29

Stesen 2 : Di timbangan amal.

Ketika ujian (kehidupan dunia) selesai, tiba waktu menilai “markah” kertas peperiksaan. Asasnya seorang pemeriksa tahu apa yang menjadi sandaran penjawab peperiksaan dalam menghadapi ujian. Adakah jawapan-jawapan kehidupannya berteraskan persangkaan-persangkaan logik akal atau adakah jawapan kehidupannya mengikut panduan Al-Quran? Jika tidak, bahkan amalnya langsung tidak ditimbang kerana tidak mahu peduli belajar kandungan Al-quran.

Katakanlah “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” Merekalah orang-orang yang mengingkari akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatnya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak.

Al-Kahf, 18 : 103-105

 

Stesen 3 : Di pintu neraka.

Di saat keputusan diterima, bahkan penjaga neraka turut hairan, bagaimana manusia boleh terjerumus ke neraka sedangkan Al-Quran telah sampai. “Tak baca ke?”

Dan orang-orang yang ingkar akan dihalau ke neraka Jahannam dengan berpasukan sehingga apabila mereka sampai ke neraka itu dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjajganya kepada mereka : Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab “Ya, telah datang!” Tetapi telah ditetapkan hukuman azab atas orang-orang yang ingkar. (Setelah itu) dikatakan kepada mereka : “Masukilah pintu-pintu neraka jahannam itu dengan keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya ; maka seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong takbur ialah neraka jahannam.”

Az-Zumar, 39 : 71-72

Stesen 4 : Di dalam neraka

Sekali lagi, ditanya lagi ketika di dalam neraka. Dulu di dunia, tak baca ke Quran? Tak faham Quran ke? Tak nak tahu apa yang Tuhan yang menciptakanmu cakap dalam Quran?

Dan bagi orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhan mereka, disediakan azab neraka Jahannam, dann itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dicampakkan ke dalamnya, mereka mendengar suara jeritannya meraung-raung, sedang ia menggelegak. Hampir-hampir ia pecah berkecai-kecai kerana kuat marahnya. Tiap-tiap kali dicampakkan ke dalamnya sekumpulan besar (dari orang ingkar), bertanyalah penjaga-penjaga neraka itu kepada mereka “Tidakkah kamu pernah didatangi seorang rasul pemberi peringatan dan amaran (di dunia dahulu)?” Mereka menjawab ” Ada! Sebenarnya telah datang kepada kami seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran, lalu kami dustakan serta kami katakan (kepadanya): Allah tidak menurunkan sesuatupun, kamu hanyalah berada dalam kesesatan yang besar!.” Dan mereka berkata “Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami, tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka.”

Al-Mulk, 67 : 7-10

Stesen 5 : Ketika sedang dibakar dalam neraka

Bahkan, pada kemuncak siksaan, bukan lagi penjaga neraka yang bertanyakan soalan yang sama berkali-kali. Bahkan, Tuhan Yang Menciptakan itulah yang bertanya.

Jika di dunia kita “sibuk” dan tak sempat belajar apa yang Allah cakapkan dalam Al-Quran. Agak-agak di akhirat, Allah nak ke bercakap dengan kita?

Dan sesiapa yang ringan timbangan amal baiknya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri ; mereka kekal di dalam neraka jahannam. Api neraka itu membakar muka mereka dan tinggallah mereka di situ dengan muka yang hodoh cacat. (sambil dikatakan kepada mereka) . ” Bukankah ayat-ayatKu selalu dibacakan kepada kamu, lalu kamu terus-menerus mendustakannya?” Mereka menjawab “Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh sebab-sebab kejhatan kami dan dengan itu menjadilah kami kaum yang sesat.  Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari neraka ini (serta kembalikanlah kami ke dunia); Setelah itu kalau kami masih juga tetap dalam keingkaran, akan sesungguhnya kami orang-orang yang zalim.” Allah berfirman “Diamlah kamu dengan  kehinaan di dalam neraka, dan janganlah kamu berkata-kata kepadaKu.”

Al-Mukminun, 23 : 104-108

 

***

Sekilas lalu, tampak gambaran menakutkan.

Realitinya, berita ancaman itu adalah rahmat kasih sayangNya buat hamba-hambaNya.

Kerana Dia telah terlebih dahulu mengingatkan setiap kita sebelum Hari Qiamat itu tiba.

Dia telah terlebih dahulu membocorkan rahsia Alam Akhirat yang pasti berlaku.

Dia telah terlebih dahulu mahu setiap kita terselamat daripada tergolong dalam kelompok yang bahkan telah gagal pada pintu yang pertama. Kerana “buku teks” paling asas yang menentukan kejayaan ujian kehidupan yang sementara ini bahkan tidak dipedulikan untuk difahami.

 

“Maaf Ya Allah, aku sibuk daripada memahami perintahMu dalam QalamMu. Aku terlalu sibuk daripada sempat belajar kandungan Al-Quran”

 

Apakah alasan ini akan diterima Tuhan?

2 thoughts on “Buat yang “sibuk”, bersedia untuk ditanya berkali-kali?

  • Aiman La Yubali

    Jazakillah… 😭
    Jom kita semua cari jawapan akhirat…
    Insha Allah

    Reply
  • Roslina Othman

    Jazakillahu khoir.
    Penemuan yg perlu lebih ramai sedar..keterlekaan memahami *buku teks* utama ini.. yg bakal menyebabkan kita gagal segalanya

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.