Baca buku, mengharapkan sinar. Baca Quran?
“Eh buku ini ada kaitan dengan masalah aku. Kena beli nie…”
Mentaliti kalau baca satu tajuk buku yang berkaitan dengan masalah sendiri, kita akan rasa amat tertarik dan akan mendapatkannya untuk mendengar jawapan dari penulis.
Bagaimana pula dengan membaca al-Quran? Bagaimana perasaan ‘ada jawapan di sini’ dapat diwujudkan? Paling kurang kita faham apa tema utama sesuatu surah. Satu surah ialah seperti tembok yang menyenaraikan pelbagai ubat penawar kepada cabaran dalam kehidupan.
Sebagai contoh, jika difahami tema Surah al-Baqarah ialah kepimpinan, maka kalau rasa lelah untuk mendapat pertolongan, carilah dari sabar dan solat – ini berat kecuali kepada orang yang respon kepada Tuhan.
Jika difahami Surah al-Ankabut ialah berhati-hati dengan ujian, maka kita akan mengikuti model yang Allah akan jelaskan apakah isi kandungannya. Baca isinya dan nanti kita akan dapat pencerahan.
Setiap kalimah, ayat dan surah seperti permata, maka banyak kali ia diselami, ia akan memberi permata dan kesejukan air iman yang berbeza. Bacalah dulu. Jangan kata takkan dapat rasa seperti dikatakan ‘entahlah buku Smarter Faster Better tu, ada solution ke kepada masalah hidup saya’. Mentaliti ini akan menyebabkan buku yang bagus tidak timbul nilainya pada diri seseorang. Tidak bernilai dan tidak dinilai oleh seseorang adalah 2 perkara berbeza.
Buku tidak semestinya selamat
Jika baca sesuatu buku, tidak semestinya selamat dari mara bahaya kerana ada idea penulis yang tidak tepat. Namun setiap surah adalah tempok yang menjaga pelbagai prinsip untuk akhirnya kita tenang dan kembali kepada Allah. Inilah tujuan untuk setiap surah – membawa seseorang kepada potensi terbaik dengan mengingati Allah dan petunjuknya.
Tembok surah ini sudah pasti selamat. Cuma ia perlu didalami dan dinikmati, barulah nampak kesannya. Kalau tidak menjenguk ke dalam, hanya di luar tembok sahaja, kita akan katakan bawa tembok itu tidak ada apa yang istimewa di dalamnya.
Sudah lama tidak berinteraksi, hilang sinar dari diri
Jika sudah lama tidak baca buku bahasa Inggeris, seseorang tidak ghairah membeli buku berbahasa tersebut. Ia ‘sukar’ nampak permata di sebalik buku tersebut.
Apabila lama tidak berinteraksi dengan mana-mana Surah dalam al-Quran, ghairah untuk membaca dari awal hingga hujung surah untuk mendapat peringatan, penawar, petunjuk dan rahmat adalah minimum.
Boleh selesaikan masalah?
Malah bila ada masalah, pasak sesuatu tajuk buku itu menjadi ‘penawar’ atau ‘potent’ kepada seseorang individu. Dijaja tajuk buku itu di mana-mana kalau terdengar masalah yang hampir sama.
Bilakah akhir sekali kita ‘menjaja’ mana-mana ayat atau Surah sebagai penawar cabaran keluarga, bisnes, organisasi, negeri atau negara? Kalau sudah lama tidak ‘dijaja’ itu petanda bahawa selama ini masalah yang melanda kita menggunakan akal sendiri atau buku panduan dari selain al-Quran. Ia kenyataan yang pahit ditelan, tetapi itulah hakikat yang perlu dikoreksi agar kita menjadi umat yang kembali pada al-Quran dan as-Sunnah.
Kata Nabi dalam Surah al-Furqaan:
Dan berkatalah Rasul: Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai. (25:30)
Bagaimana minda memproses masalah ?
Dalam minda kita, apa-apa sahaja ilmu yang diserap dalam folder masing-masing akan menjadi asas penawar kepada masalah yang ada. Kalau folder dalam minda dipenuhi buku-buku Anthony Robbins atau Stephen R Covey, ilmu itulah yang menjadi asas dalam memproses sesuatu masalah.
Jika folder-folder dalam minda itu dipenuhi dengan folder surah dalam al-Quran dengan teras utama dalam 7 ayat Surah al-Fatihah, maka cara pandang sesuatu masalah menjadi berbeza. Bagi orang lain, tiada duit itu sebagai satu kesusahan, kita akan nampak itu sebagai sebahagian life-style Nabi terdahulu yang ada pilihan untuk bersenang lenang tetapi memilih untuk membantu orang lain dan merasai kepayahan bersama.
Kesan dari al-Quran akan terlahir individu yang berpaksikan Allah pada setiap masa – dengan panduanNya dari al-Quran itu sentiasa lancar di hati.