Mengapa perlu berinteraksi dengan Quran?
Kalau tidak berinteraksi dengan telefon bimbit, ia tidak memberi manfaat. Hidup siapa yang rugi? Kita.
Kalau tidak berinteraksi dengan al-Quran, manfaat tidak sampai kepada diri kita. Siapa rugi? Kita.
Salah faham cara berinteraksi
Ada yang menganggap al-Quran hanya dibaca malam Jumaat.
Ada yang baca ketika susah sahaja.
Ada yang baca ketika dapat untung sahaja.
Sebenarnya al-Quran ialah cahaya kehidupan. Selagi perlukan cahaya untuk ke syurga, lampunya ialah al-Quran. Mana mungkin kita biarkan hidup ini berjalan tanpa cahaya. Ia seperti zombie.
Fungsi al-Quran
Apabila cara interaksinya betul bersama al-Quran, fungsi al-Quran dapat dikembalikan. Ia bukan sekadar di atas almari, atau dipertandingkan setahun sekali peringkat antarabangsa. Ia bukan sekadar dihafaz untuk mendapat title hafiz tetapi untuk benar-benar menjaga al-Quran pada setiap masa.
Fungsi al-Quran ini boleh disemak dalam ayat 2:185 dan 10:57 selain berpuluh-puluh ayat yang mengawali banyak surah dalam al-Quran.
Tragedi tidak berinteraksi
Apakah tragedi tidak berinteraksi dengan al-Quran?
- Ramai yang baca al-Quran sejak 5 tahun, namun tidak faham-faham Surah Yasin sampai umur 70 tahun.
- Ramai yang kata al-Quran tiada keraguan, padahal kitab inilah yang paling penuh keraguan di kalangan penganutnya.
- Ada yang menggunakan al-Quran sebagai peluang untuk menyesatkan orang lain, kerana orang lain tidak tahu cara berinteraksi dengan al-Quran dan hanya serahkan kepada golongan ‘tertentu’ sahaja
- al-Quran dianggap kitab ekslusif, padahal ia sudah dinobatkan sebagai hidayah kepada manusia. Fungsinya hanya terhenti pada orang tertentu sahaja.
- Ramai menghabiskan banyak duit untuk program khatam atau musabaqah al-Quran, namun kesungguhan mendalami al-Quran ini tidak berapa nampak jelas. Paling kurang sanggup bergadai golok seperti mendapatkan sijil SPM atau ijazah kalaupun tidak sampai master atau PhD.
- Pemimpin terus menggunakan akal, dan rakyat menggunakan akal dalam menyelesaikan masalah, padahal kedua-duanya ada al-Quran. Kalau salah satu pihak memanfaatkan al-Quran sebagai agenda kehidupan, ia pasti akan menukar lanskap negara kepada keberkatan yang luas.
Perubahan diri yang berkat
Apabila kita benar-benar berinteraksi dengan al-Quran, berkat akan menyusup dalam kehidupan kita. Keberkatan amat diperlukan – bersumberkan dari Pencipta dan tidak mampu diberikan oleh makhluk. Berkat ialah manfaat yang banyak – berbanding apa yang boleh diusahakan oleh fizikal, intelek dan emosi manusia. Keparahan yang berlaku sekarang hanya dapat diselesaikan dengan berkat – shortcut atas penyelesaian yang ada. Keparahan 50 atau 100 atau 200 tahun ini memerlukan ‘jalan singkat dari langit’ agar ia mampu untuk kembali aman dan tenteram.
Formula itu ada dalam al-Quran pada Surah al-A’raf
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالأرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ (٩٦)
- Jikalau Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka Kami siksa mereka disebabkan perbuatannya.
Apa yang akan berubah nanti dengan kembali pada al-Quran? Semua orang akan lurus intelek dan emosinya untuk mengikut perintah dari Ilahi. Ia akan menjemput berkat dari Ilahi. Jika kita tetap mendustakan keberkatan ayat dari Allah, ia akan memberi kerosakan kepada negeri, negara dan dunia.
Lantas perlu buat apa?
- Kempen mengaji al-Quran perlu dihebatkan
- Lebih ramai mengambil ‘ijazah’ atau ‘Master’ atau ‘PhD’ mendalami al-Quran tanpa semestinya perlu masuk ke universiti. Tetapi menggunakan masa yang cukup untuk mendalami kitab terbaik ini. Tidak pernah terlambat untuk mendalami kitab ini. Yang terlambat ialah bagi yang menyatakan ‘ini mustahil’ atau ‘nanti dulu’.
- Rumah perlu diimarahkan dengan kempen ngaji sampai faham dan amalkan. Ketua keluarga perlu mengambil inisiatif untuk memastikan kitab ini menjadi panduan keluarga paling kurang dibaca 5 minit sehari sebelum pergi lebih lama dan mendalam.
- Sekolah atau universiti perlu dipopularkan kemahiran berfikir dengan menggunakan tadabbur tazakkur agar pelajar lebih berdaya saing dan berjaya
- Organisasi perlu mengetengahkan training yang mengambil modul berteraskan al-Quran dan as-Sunnah yang disampaikan dengan kaedah profesional agar ia melonjakkan standard training yang ada.
Sudah lama kita tidak berinteraksi dengan al-Quran. Petandanya? Ramai yang masih tidak faham: apakah tema utama Surah Yasin walaupun sudah dibaca lebih 100 kali. Sehingga mesej Surah Yasin difahami lebih 80% rakyat Malaysia, kempen berinteraksi dengan al-Quran tidak boleh dipandang remeh oleh setiap individu, keluarga dan organisasi.
Jika Surah Yasin dikaitkan dengan jantung al-Quran, jantung itu kini seperti tidak berdenyut. Masih aman dan tidak cemas?
Saya berminat untuk memperluaskan kesedaran untuk kembali berinteraksi dengan Quran di Sarawak. Bagaimana ya, boleh kerjasama dengan Sinergi Ikhlas dan RumahNgaji?
Tuan, insha-allah boleh berhubung dengan kami secara langsung di qtt@akademisinergi.com untuk merancang program di Sarawak.
Masyaallah! Saya doakan usaha murni ini mendapat rahmat & pertolongan allah.
terjumpa page ini dilaman sesawang..
tumpang mengambil ilmu disini..
jantung terus berdegup tapi tak cukup juga oksigen, semput!