Kitaran hidupku : Antara solat & Quran
Sarah : Awak, bagaimana nak sampai sana?
Khadijah : Gunalah waze. Letak je alamat. Semua ada dalam tu (Khadijah mengeluarkan smartphone dan memberikannya kepada Sarah.)
Sarah : Ok. (Sarah ambil phone, belek-belek sikit, terus simpan dalam beg).
Sepanjang perjalanan, Sarah terus memandu, mengagak-agak jalan yang harus dituju, membaca papan tanda satu persatu.
Beberapa jam kemudian…
Sarah : Khadijah, bagaimana nak sampai sana?
Khadijah : Gunalah waze. Ada dalam phone tu. InsyaAllah sampai.
Sarah : Ok . (Masih tidak mengambil keluar phonenya)
Dan sarah terus memandu. Kadang-kala berhenti di bahu jalan, bertanyakan orang yang di sekitar mengenai destinasi. Jawapan mereka berbeza-beza. Semakin menambahkan kekeliruan.
Beberapa jam kemudian.
Sarah : Awak, bagitahulah saya macammana nak sampai sana?
Khadijah : Kan saya dah kata. Ada dalam phone, guna waze tu ha.
Sarah : Ok (masih degil, enggan mengeluarkan handphone.)
***
Sarah… Sarah…. Kenapa begitu?
Kenapa berterusan meminta petunjuk menuju destinasi. Tetapi, tatkala diberikan cara, enggan mengikuti.
Seperti muslim yang menunaikan solat, melafazkan Al-Fatihah sekurang-kurangnya 17 kali sehari. Memohon kepada Allah “Tunjukilah kami ke jalan yang lurus”. Namun tatkala Allah menjawab dalam surah berikutnya (Surah Al-Baqarah ayat 2), bahawa jalan yang lurus itu ada dalam Al-Kitab, dia langsung buat endah tak endah. Tidak membaca dan memahami petunjuk ke jalan yang lurus. Dan terus mengemudi jalan hidupnya mengikut logik akal sendiri dan manusia yang lain. Sedangkan dia terus dan terus memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus setiap kali menunaikan solat.
Tetapi terus tidak membaca dan memahami Al-Quran usai solat?
Atau, apakah dia tidak mengerti ungkapan doa yang dituturkan 17 kali sehari itu? Al-Quran dan solat seakan-akan tiada keterkaitan?
وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ –
Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung.
Al-Hijr, 15 : 87
Dalam satu ayat, terselindung 2 ibadah khusus yang utama. 7 ayat yang diulang ( ibadah solat, kerana Al-Fatihah diulang baca dalam Solat) dan Al-Quran yang agung.
Antara Solat dan Quran. Apakah keterkaitannya?
***
Solat, ruang interaksi dengan Rabb. Ruang memaknai QalamNya penuh khusyu’.
Dan selesai setiap solat, ruang untuk sama ada mempelajari Al-Quran
atau melaksanakan kandungan Al-Quran. Menzahirkan ketaatan dalam membenarkan QalamNya melalui tindakan perbuatan.
Hidup ini, ada panduannya. Ada “waze”nya. Tanpa petunjuk yang lurus, apakah diri ini akan sampai ke destinasi syurga?
***
6.00am : Subuh (Solat- Minta kepada Allah petunjuk jalan yang lurus)
6.30am : Alamak, bersepahnya ruang tamu. Teringat ayat Qursi , Al-Baqarah (2) 255. Allah Al-Qayyum yang mengatur apa yang ada di langit dan bumi. Kalau Allah tak atur, berlanggarlah planet nih huhu.Tak boleh bayangkan kalau penciptaan pokok tidak diatur, buahnya kejap di dahan, tiba-tiba di batang atau di akar. Bersepahnya. Jadi saya kena aplikasi ayat Qursi dengan turut mengatur dan menyusun ruang tamu saya. (Quran Hour- Amal)
10.00am : Gerrrammnya. Orang bawahan tak buat kerja elok-elok. Lepas tu dia pergi mengumpat manager bawah saya pulak aiishh… Patut tak saya potong gaji dia? Tapi dulu Abu Bakar dipujuk Allah untuk memaafkan si miskin bawah tajaannya yg terlibat dengan fitnah Aisyah. Saya nak tak Allah maafkan saya? Ok… ok.. saya nak membenarkan ayat ke-22 surah An-Nur(24) . Saya nak cari solusi yang lebih baik, saya nak maafkan mereka sebagaimana saya nak Allah maafkan saya. (Quran Hour – Amal)
1pm : Zohor (Solat- Minta kepada Allah petunjuk jalan yang lurus)
2pm : Penatnya buat kerja. Mengantuk sudah. Haish, tapi Allah serius dengan setiap amal. Dia Maha Melihat. Dalam surah As-Syarh (94) ayat 7, lagilah… Dia siap pesan, lepas selesai satu urusan, teruslah berkerja keras untuk urusan yang lain. Terus dan terus. Memang begitulah kehidupan kan? (Quran Hour -Amal)
4pm : Asar (Solat-Minta kepada Allah petunjuk jalan yang lurus)
6.00pm : Sebelum pulang, singgah beli barangan dapur di kedai. Dalam perjalanan, terserempak dengan gelandangan di kaki lima. Teringat surah Al-Balad (90) ayat ke- 14-16 yang suruh bagi makan kepada orang miskin yang sangat fakir. Owh, saya kena bantu nih.. (Quran Hour- Amal)
7pm : Maghrib (Solat-Minta kepada Allah petunjuk jalan yang lurus)
7.30pm : Berlaku konflik di rumah. Rasa nak marah. Haish… saya dahlah penat-penat kerja. Tapi teringat ayat ke-14 Surah At-Taghabun (64) . Allah suruh maaf dan tidak marahkan serta mengampunkan kesalahan pasangan dan anak-anak. Baiklah, saya nak berlapang dada. (Quran Hour – Amal)
8.30pm : Isya’ (Solat – Minta kepada Allah petunjuk jalan yang lurus)
9.00pm : Dah lewat malam. Penatnya. Kenapalah anak-anak ni masih nak attention. Haish… Tapi, Allah kata dalam surah At-Thur(52) ayat 26, susah-susah kat dunia ni untuk agamaNya sekeluarga takpe. Nanti boleh borak-borak sekeluarga penuh kenikmatan di syurga. Sabar ya.. (Quran Hour- Amal)
11.00pm : Ngantuknya. Tapi rasa nak marathon drama series di Youtube. Huhu… member cakap best. Err.. Nak tidur ke tak. Tapi, dalam surah Al-An’am (6) ayat ke-60, Allah suruh tidur waktu malam. Kan? Errr… (Quran Hour- Amal)
4.00am : Wah, kuatnya bunyi alarm ni. 4 pagi sudaaa.. Nak bangun ke nak sambung tidur? Tapi, takde masa lain nak belajar Quran. Kalau tak belajar Quran sekarang, cane nak hadapi hari esok ikut petunjukNya? Kalau tak belajar sekarang, nanti esok saya takde “waze”. Nanti saya main langgar je hidup saya. Lagipun, Allah memang suruh belajar Quran waktu ni seperti dalam Al-Muzammil (73) ayat 20 (Quran hour – Belajar).
***
وَلَقَدْ آتَيْنَاكَ سَبْعًا مِّنَ الْمَثَانِي وَالْقُرْآنَ الْعَظِيمَ –
Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang dan Al-Quran yang agung.
Al-Hijr, 15 : 87
Tadabbur ayat ke-87 dengan tema surah. Perlindungan agama.
Ya Allah, lindungilah agamaku dengan menjadikan aku hamba yang terus memelihara solat serta terus belajar Al-Quran.
***
Isra’ (Al-Quran) & Mi’raj (Solat)
Owh, cerita ini ada kaitan dengan Isra’ Mi’raj?
Isra’, Rasulullah diperjalankan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Bertemu dengan Nabi-Nabi terdahulu dan Baginda menjadi imam kepada semua. Simbolik kepada penyerahan tugas kerasulan nabi-nabi sebelum ini yang menyampaikan Risalah kepada Nabi terakhir,Nabi Muhammad. Nabi Muhammad menerima “baton” terakhir, menyampaikan risalah Al-Quran. Ayat rujukannya tertuang dalam keseluruhan surah Al-Isra’ (surah ke-17) yang tema surahnya adalah menghargai nilai Al-Quran.
Mi’raj, seperti yang kebanyakan dah tahu, penerimaan ibadah solat secara langsung daripada Allah kepada Nabi Muhammad. Ayat rujukannya dalam surah An-Najm.
p/s Nak guna “waze” ke tak?
Tujuan asal penulisan post ini adalah untuk memaknai khusyu’ dalam solat. Tetapi, setelah dibaca sekali lagi, objektif asal masih nampak samar-samar.
Jadi, bagaimana untuk khusyu’ dalam solat?
_____
Solat dan kehidupan seharian adalah saling berkaitan. Tidak terpisah. Bilamana keterkaitannya terputus, solat seakan-akan tidak bermakna. Sekadar pergerakan badan yang wajib dilaksanakan 5 kali sehari tanpa hadirnya roh yang memberi impak dalam kehidupan.
Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, – kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan melaksanakan solat serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa.
Al-Baqarah, 2 : 176
Amal Soleh itu bukanlah semata-mata solat, puasa. Tetapi adalah segala amal ketundukan (khusyu’) yang dimanifestasikan iman dan taqwa dalam menghadapi kehidupan sehari-hari. Setiap pilihan tindakan dalam kehidupan seharusnya cerminan lebih 6000 ayat-ayat Al-Quran. Untuk menghidupkan Al-Quran dalam amal tindakan sehari-hari, bukan mudah ya? Bermula dengan proses mempelajari dan memahami Al-Quran sebelum diterjemahkan dalam perilaku emosi, fikiran dan perbuatan.
Serius beramal soleh?
Serius menterjemahkan kefahaman Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari?
Niscaya akan kita dapati setiap detik itu begitu bermakna, kerana jiwa sedar seorang mukmin itu mahu sentiasa berada dalam radar ketaatan kepada Rabbnya. Lalu setiap solat itu menjadi sesuatu yang amat dinanti-nantikan sebagai tempat rehat, tempat melabuhkan segala rasa dan pengharapan setelah penat berjihad meluruskan nafsu kehendak diri sepanjang hari agar selari dengan acuan Al-Quran.
Melawan kehendak diri sendiri agar tetap di jalan yang lurus. Amal ini memang memerlukan fokus dan sedar agar sentiasa memilih kebenaran dalam setiap tindak tanduk. Sabar, memaafkan, memilih yang berat, kesemuanya melelahkan. Kerana dunia ini bukan sekadar untuk berseronok-seronok. Dan rasa kegembiraan sebenar yang dikecapi melalui ketaatan menuruti wahyuNya itulah yang dicari-cari setiap fitrah manusia.
Justeru, langkahkan kaki ke ruang solat dengan penuh rasa ketergantungan kepada Tuhan, penuh pengharapan. Solat dilaksanakan penuh sedar, kembali mengadu kepadaNya, memohon penuh harap agar sela waktu hidup setelah selesai menunaikan solat itu terus disuluhi dengan petunjukNya.