Benih dan cinta

Di dalam al-quran, Allah menggunakan (ha,ba) yang merujuk kepada dua perkara. Pertama, pada maksud cinta atau suka itu sendiri dan kedua, pada maksud benih/biji-bijian.

 

Benih dan cinta? Apa kaitannya?

 

Allah menurunkan hujan pada tanah yang tandus, kering kontang, lalu dari tanah yang kering itu, tumbuhlah tanaman yang menghijau. Dari tanah yang tandus, tumbuhlah pokok-pokok yang menghijau, sehingga menjadi sebuah taman.

Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman (6:99)

 

Begitu juga proses percambahan iman yang berlaku dalam diri kita. Dari hati yang kering kontang, Allah turunkan al-quran. Dari hati yang kering, tumbuh pohon iman yang menghijau, menjadi taman. Proses kepada menjadikan hati itu’ taman’, pasti juga bukan proses yang mudah. Output kepada proses pertumbuhan pohon-pohon iman, menjadikan kita tidak suka kepada perkara-perkara yang kufur dan maksiat. Jangankan mahu berbuat kufur dan maksiat, rasa itu pun sudah tidak kita suka.

 

Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta di perhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; – (Al-hujurat:7)

 

Kadangkala dalam kehidupan, kita cenderung untuk tetap suka kepada perkara yang kufur dan maksiat, walupun hati kecil kita tidak setuju dengan maksiat yang dibuat. Sebenarnya, kesukaan itu fitrah, yang datang dari kesukaan kita pada syahwat kerana suka pada syahwat, tidak memerlukan kepada penanaman iman, kerana ia tersedia berada dalam diri kita.

 

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)
(Ali-Imran:14)

 

Namun, untuk menjadikan iman suatu yang kita sukai, kita perlu berusaha keras menanam benih iman itu. Sebagaimana kita menanam pokok, pastinya ia akan melalui proses yang tertentu. Benih  yang ditanam, perlu disiram, dibaja bagi menghasilkan pohon yang berkualiti. Dari itu, tumbuhlah pokok. Pokok yang berakar tunjang, pohonnya besar, daunnya lebat, pohonnya tinggi menjulang langit. Tidak mudah tumbang walaupun ribut melanda. Pokok yang berakar tunjang, berbeza dengan yang berakar serabut. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia, malah juga mampu menjadi pasak kepada bumi. Dia mampu melindungi bumi dari kejadian tanah runtuh dan kejadian alam lain.

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit
(Ibrahim :24). Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran) (Ibrahim:25)

 

Proses tumbesaran pokok ini, itulah proses percambahan iman kita. Dari hati yang kering, Allah turunkan al-quran. Sehingga tercambahlah benih iman. Benih iman, harus kita jaga, siram, beri baja supaya nanti pokok iman yang tumbuh, menjulang tinggi ke langit. Menghasilkan daun-daun yang lebat, ranting yang kuat, mampu menjadi teduhan kepada manusia lainnya. Pokok iman yang kuat, mampu menjadi pasak kepada bumi, menyebarkan bahagia dan berkhidmat sebaiknya kepada bumi. Pokok iman yang kuat, akan mudah membuat keputusan yang jauh dari kufur dan maksiat.

 

Namun, ketika pertumbuhan pokok, mungkin ada parasite, ulat dan sebagainya yang mahu memakan nutrisi yang ada pada pokok kita. Maka, kita akan cepat membuangnya, bagi memastikan pokok sentiasa segar dan sihat.

 

Sama juga pada proses percambahan iman kita. Dalam perjalanan melalui proses percambahan iman, pasti ada tempoh yang kita tersungkur dan tersilap, merasa berdosa, dan buntu, sebenarnya itu tidak mengapa. Kerana ia sebenarnya perkara biasa. Namun, kita mesti cepat ‘membuangnya’ dengan taubat dan istighfar. Dengan taubat dan istighfar, kita membenarkan benih iman kita terus bercambah.

Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun (Nuh:10)

 

Ya Allah, bantu kami melalui proses iman. Benarkan hati kami terus mencambahkan benih-benih itu, supaya nanti hati kami terpasak dengan pokok iman menjadikan kami hanya cinta kepada iman, dan membenci kepada kufur dan kemaksiatan. Ameen.

One thought on “Benih dan cinta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.