Tadabbur Tazakkur

Konflik. Nak upload ayat mana?

Hubungan sosial sesama manusia. Adakalanya menimbulkan konflik. Itu pasti. Dan apakah konflik itu sesuatu yang menakutkan sehingga tatkala terjadinya sesuatu isu masing-masing berusaha untuk memenangkan diri, mencari kesalahan yang lain? Memang begitukah corak permainannya?

Atau apakah konflik itu suatu lumrah kehidupan, hadiah daripada Dia untuk memberi ruang kepada umat manusia memuat naik (upload) mutiara-mutiara daripada Al-Quran bagi meleraikan kekusutan yang melanda? Tanpa konflik, Quran itu penawar untuk apa? Dan memang di sebalik apa yang berlaku, tiada yang sia-sia. Ada tarbiyyah penuh cinta daripada Sang Pencipta di sebalik kesulitan yang dihadapi.

 

Setiap bencana yang menimpa di bumi dan yang menimpa dirimu sendiri, semuanya telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfudz) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya, itu semua mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang hilang daripada kamu dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong membanggakan diri.

Al-Hadid, 57 : 22-23

 

Konflik yang berlaku, memang merunsingkan. Sekecil-kecil konflik dengan diri sendiri atau konflik dengan manusia yang lain. Terbentang di hadapan 2 pilihan, untuk menilai memperbaiki diri, mengambil tanggungjawab menyusun kembali ruang perbaikan atau terus melepaskan tanggungjawab tersebut kepada pihak yang lain. Lalu, “blaming game” pun bermula. Sama seperti permainan yang dimulakan iblis, enggan take charge terhadap konflik yang berlaku lantas menyalahkan pihak lain.

(Iblis) menjawab “Kerana Engkau telah menyesatkan aku, maka aku akan selalu menghalang mereka daripada jalanMu yang lurus, kemudian pasti aku akan mendatangi mereka daripada depan, belakang, kanan, dan kiri mereka. Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.

Al-‘Araf, 7 : 16-17

Bertitik tolak daripada hati yang enggan ‘take charge’ atas kesalahan diri, terus memulakan ‘blaming game’, semua ini bercambah menjadi dendam kesumat serta azam untuk terus menjatuhkan pihak yang lain. Sedangkan isu asalnya, masih tidak terselesaikan. Bahkan menambah lagi masalah yang baru.

Corak fikir ini berbeza dengan Nabi Adam. Tatkala berlaku konflik dan kesilapan, peduli untuk take charge, menerima kelemahan diri, dan terus aktif bertindak selanjutnya memperbaiki keadaan.

Kedua-duanya berkata “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidakmengampuni kami dan memberi rahmat kepada Kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”

Al-‘Araf, 7 : 22-23

Kerana, kebanyakan waktu, kita hanya mampu mengubah apa yang ada pada diri. Sulit mengubah manusia yang lain. Harus belajar melepaskan segala expectation yang berada di luar wilayah kekuasaan kita. Belajar memaafkan. Dan jelas, memaafkan itu kerana Dia dan bukan dia.  Dan bagaimana untuk meluruskan niat itu kerana Dia? Perlu tahu sandaran panduan wahyuNya terkait isu yang dihadapi.

“Aish.. tengah saat genting berkonflik ni, mana nak ingat ayat Quran mana nak guna pulak?”

Itulah cabarannya. Terkait kesungguhan dan kepedulian seorang hamba yang mahu hidup berteraskan wahyu atau sekadar melalui liku-liku kehidupan mengikuti keinginan hawa nafsu dan ego yang merajai diri.

Andai setiap hari diperuntukkan minimal 30 minit mempelajari Al-Quran, memuat-turun (download) kefahaman darinya, tiba saat diuji, moga-moga ada ayat quran yang boleh dimuatnaik (upload) bagi menghadapi konflik tersebut penuh iman.

Misalnya, bilamana diuji dengan berita yang tidak pasti, membuahkan prasangka antara sesama, apakah mahu bertindak sekadar membiarkan. Terus larut dalam emosi yang berprasangka negatif dan kebenaran itu dianggap tidak perlu untuk dikenalpasti? Sedangkan Surah Al-Hujuraat mengajarkan seorang hamba itu menyelidiki maklumat yang diterima agar pemikiran itu terus jernih, tidak berprasangka.

Hidup ini, realitinya adalah sebuah perjalanan bagi memurnikan keimanan kepada Robb. Tiada apa yang berlaku sia-sia. Kesemuanya ada didikan penuh cinta dari Robb. Bilamana seorang insan itu peduli melihatnya daripada perspektif seorang hamba yang akan kembali menemuiNya.

Ada ketika diuji dengan kemudahan meraih rezeki melimpah ruah. Usaha dan tenaga yang dicurahkan sangat minimal tetapi apa yang diraih itu melebihi usaha yang dilaburkan. Apakah respon yang sewajarnya ketika itu? Ada ketika juga diuji dengan kesulitan meraih rezeki. Usaha tenaga dan masa yang dicurahkan begitu banyak tetapi apa yang diraih seakan-akan tidak setimpal dengan apa yang dilaburkan. Bagaimana mahu merespon dengan isu ini? Memilih untuk menyalahkan antara sesama. Bagaimana pula dengan situasi zero usaha, langsung tiada apa-apa yang dilakukan, tiba-tiba hadirnya insan “Nah, ambil semua ni. Saya nak share rezeki saya dengan awak.”

Bilamana rezeki itu formulanya bukan 1+1=2. Tapi, entah. Ia boleh jadi macam-macam.

Mengajar diri memahami bahawa sungguh Dialah Ar-Razzaq. Dia Yang Maha Berkuasa dan Maha Memiliki. Jangan sampai menjadi golongan yang memilih untuk mengabdikan Allah di tepi.

Dan di antara manusia ada yang mengabdikan diri kepada Allah hanya di tepi maka jika dia memperoleh kebaikan, dia merasa puas dan jika dia ditimpa suatu ujian, dia berbalik ke belakang. Dia rugi di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang nyata.

Al-Hajj, 22 : 11

 

Konflik?

Stop. Reflect. Take charge. No blaming game.

“Allah. Allah nak ajar saya apa ya dengan konflik ini?”

 

 

 

p/s saya tahu, bukan mudah.

One thought on “Konflik. Nak upload ayat mana?

  • Aiman La Yubali

    Betul…bukan mudah…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.