Hijrah menuju kekuatan

Bingung di persimpangan. Khuatir, jalan manakah yang terbaik untuk dituju. Saat itu, hanya mahu melaungkan “Ya Robb! Tolong aku.”

Isteri yang resah mengubat luka akibat suami yang curang serta enggan memberikan nafkah. Apakah hijrah kepada perceraian mampu menyelamatkan iman dan memberikan kekuatan?

Pekerja yang lelah mengikuti kehendak majikan yang begitu berkira soal waktu berkerja. Sehinggakan solat zohor dan Asar terpaksa dijamakkan saban waktu. Apakah hijrah kepada pencarian kerja yang baru mampu menyelamatkan iman dan memberikan kekuatan?

Hidup ini, realitinya ujian iman yang menuntut setiap manusia membuat pilihan jalan-jalan kehidupan. Apakah jalan yang ingin ditempuh membawa kepada Tuhan?

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh (jihad) untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik.

Al-‘Ankabut, 29 : 69

Sedangkan di sana, sentiasa hadir makhluk-makhluk yang suka memesongkan bani Adam daripada jalan yang membawa kepada Tuhan.

Syaitan telah menjadikan perbuatan buruk mereka dirasakan indah, sehingga menghalang mereka ke jalan Allah, sedangkan mereka adalah orang-orang yang berpandangan tajam.

Al-‘Ankabut, 29 : 38

***

Hijrah itu bukan sekadar perpindahan fizikal dari satu tempat ke tempat lain. Tetapi, hijrah adalah satu proses untuk mencapai sebuah misi agung menyelamatkan iman serta memilih jalan hidup yang menyampaikan kepada Tuhan. Hijrah itu sendiri bukanlah tujuan tetapi ia adalah pilihan tindakan yang diambil bagi mencapai objektif mulia. Justeru, sebelum membicarakan soal hijrah yang menuntut pengorbanan dan jihad yang tinggi, terlebih dahulu, matlamat yang ingin dikecapi itu harus difahami terlebih dahulu.

Surah Al-‘Ankabut mengangkat Nabi Ibrahim sebagai tokoh yang berhijrah keluar daripada daerah kaumnya yang zalim, bahkan sanggup membunuhnya yang menyeru kepada Tuhan.

Dan dia (Ibrahim) berkata “Sesungguhnya aku harus berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku, sesungguhnya, Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Al-‘Ankabut, 29 : 26

Hijrah atas perintah Tuhan, meskipun sulit dan menuntut pengorbanan, tetap dilakukan dengan mengimani bahawa Dialah Al-‘Aziz dan Al-Hakiim. Dia Yang Maha Perkasa, keputusanNya tidak boleh disangkal. Dialah Yang Maha Bijaksana, aturanNya cantik, terbaik buat hamba-hambaNya. Nabi Ibrahim berhijrah dari kaum zalim yang bahkan enggan taat kepada Allah meskipun telah melihat mukjizat selamatnya Nabi Ibrahim daripada dibakar api. Seruan hijrah daripada Tuhan ini rupa-rupanya membangun generasi baru yang taat kepada Rabb, tidak seperti kaumnya sebelum ini.

Dan Kami kurniakan kepadanya : Ishak (anaknya) dan Yaakub (cucunya); dan Kami jadikan dalam kalangan keturunannya orang-orang yang berpangkat Nabi dan menerima kitab-kitab agama; dan Kami berikan balasannya yang baik di dunia; dan sesungguhnya adalah dia, pada hari akhirat, dari orang-orang yang soleh.

Al-‘Ankabut, 29 : 27

Renung seketika ayat ini. Takut untuk melangkah melakukan penghijrahan? Ingatlah, Dialah Yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.

Pernahkah anda menghadapi situasi sulit membesarkan anak-anak dalam persekitaran dan sistem yang jahil, menjauhkan anak-anak daripada mengenal Tuhan? Pernahkah anda menghadapi keadaan sulit mengubah kelemahan diri dan memperbaiki dosa-dosa yang kerap kali dilakukan? Pernahkah terfikir bertindak melakukan sesuatu bagi mencapai matlamat menyelamatkan iman, membangun kekuatan?

Seringkali yang menghambat dan menggusarkan pilihan adalah kerana tindakan itu memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Adakalanya tindakan itu memerlukan pengorbanan wang ringgit. Adakalanya ia turut memerlukan pengorbanan jiwa dan perasaan. Bagaimana untuk menetapkan hati untuk sanggup berjihad bersungguh-sungguh memilih tindakan kehidupan yang akhirnya menggapai matlamat meningkatkan iman, menuju jalan yang membawa kepada Tuhan?

Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Sesungguhnya, bumiKu luas, maka abdikanlah diri kepadaKu sahaja. Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan. Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan Kami tempatkan di tempat-tempat yang tinggi (di dalam syurga), yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang berbuat kebajikan. Iaitu orang-orang yang bersabar dan bertawakal kepada TuhanNya.

Al-‘Ankabut, 29 : 56-59

Hijrah menuntut pengorbanan jihad.

Hijrah daripada kelompok teman-teman yang lalai kepada kelompok teman-teman yang mengajak kepada kebaikan. Hijrah daripada kerjaya yang mengabaikan hak Tuhan kepada kerja yang mendokong syariat Tuhan. Hijrah daripada media sosial yang membawa kemungkaran kepada menjauhkan diri daripada keadaan yang menarik kepada pengingkaran.

Kesemua ini bukanlah pilihan yang mudah.

Terutama sekali seandainya nilai material dan kecintaan dunia masih menyelubungi hati.

“Tak sanggup nak tinggalkan. Seakan dah bersebati dengannya.”

Justeru pasakkanlah dalam diri. Jihad ini, hakikatnya untuk menyelamatkan diri pada Hari Pertemuan denganNya

Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Allah, sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah pasti datang. Dan Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Al-‘Ankabut, 29 : 5

Semakin kuat ujian menimpa, semakin kerap bangun malam dan mengadu kepadaNya. Bukankah Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dia Maha Mendengar segala kesulitan yang engkau lalui. Dan bahkan Dia Maha Mengetahui jalan-jalan keluar yang akan menyelamatkanmu daripada kemelut yang dihadapi.

Oleh itu, ketahuilah. Pengorbanan dan kesungguhan jihad untuk berhijrah itu adalah untuk diri sendiri.

Dan barangsiapa berjihad, sesungguhnya jihadnya itu untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada seluruh makhluk manusia.

Al-‘Ankabut, 29 : 6

Dan berpeganglah pada janjiNya.

Dia tidak akan mensia-siakan jihad yang engkau lakukan bermula dengan jihad sabar dan tawakal mengurus apa yang ada di dalam dirimu. Dia pasti, tanpa sebarang keraguan, akan menunjukkan jalan-jalan kepadaNya.

Dan orang-orang yang bersungguh-sungguh (jihad) untuk (mencari keredhaan) Kami, Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang berbuat baik.

Al-‘Ankabut, 29 : 69

 

Mahu berjihad untuk hijrah menuju kekuatan?

 

________________________

Inspirasi Ibrah Surah Al-‘Ankabut.

Penyampai : Ustaz Muhammad Shaari Ab. Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.