Kuiz Kahoot : Bila setiap ‘klik’ itu bermakna
30 pelajar bersedia dengan smartphone masing-masing.
Entah pelbagai nickname terpapar di layar.
Soalan pertama dipancarkan dengan hanya 30 saat diberikan.
“Alamak miss, saya tak tahu kena tekan sini.”
“Alaaa, dah tersalah tekan jawapan.”
“Internet saya slowlah, hilang markah.”
“Boleh ulang balik tak soalan tadi, huhu.”
Begitukah rasanya saat setiap tindakan langsung dihitung. Tiada yang terlepas daripada pemberian markah. Terlambat, tersalah, tiada alasan yang boleh diberikan. Setiap satu diperhitungkan. Beruntunglah bagi yang pantas bertindak dengan jawapan yang tepat.
Tahniah! Anda pemenang.
Syukur ujian besar (UPSR / SPM) di Malaysia tidak sedemikian. Tidak terus dihitung. Masih ada masa berfikir dalam rentang waktu 1 jam 30 minit itu. Masih ada masa berhati-hati membuat pilihan jawapan. Masih ada masa memadam dan menggantikan jawapan yang dirasakan tidak tepat.
Tetapi bagaimana dengan ujian kehidupan ini.
“Saat ini saya rasa nak buat dosalah. Nak ikut hawa nafsu saya.”
“Takpe buat dosa sekali sekala. Saya manusia, kadang-kadang salah.”
Sedangkan tiadalah seorang manusia itu ‘sanggup’ berbuat dosa , memilih mengikuti hawa nafsunya, melainkan kerana lupa akan hari diperhitungkan segala amalnya.
(Allah berfirman), “Wahai Daud! Sesungguhnya Kami jadikan engkau khalifah di bumi, maka berilah keputusan di antara manusia dengan adil dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu yang akan menyesatkan engkau dari jalan Allah. Sesungguhnya, orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.”
Shad, 38 : 26
Ingat lagi hari yang ditunggu-tunggu saat keputusan peperiksaan besar akan diumumkan? Ada anak yang dapat mengagak keputusan UPSR nya lalu sengaja melambat-lambatkan hadir ke sekolah. Ada pula kakak yang yakin akan kecemerlangannya sehingga tidak boleh tidur malam menanti keputusan SPM nya. Apa yang dijawab dalam setiap kertas peperiksaan selama beberapa tempoh masa yang diberikan itu akhirnya diumumkan.
Bagaimana pula dengan ujian kehidupan yang tempoh perhitungannya amat pantas? Tiada lagi satu jam 30 minit. Setiap apa pilihan tindakan pada setiap detik akan langsung diperhitungkan. Langsung tercatat dalam kitab amal. Mampukah diri berpatah balik memadam kembali pilihan-pilihan tindakan salah dalam kitab amal sendiri semata-mata memuaskan hawa nafsu beberapa ketika?
Hey! Tuhan itu, amat cepat perhitungannya.
Setiap detik langsung diberikan ‘markah’ atas tindakan yang dilakukan.
الْيَوْمَ تُجْزَىٰ كُلُّ نَفْسٍ بِمَا كَسَبَتْ ۚ لَا ظُلْمَ الْيَوْمَ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ –
“Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya; tidak ada hukuman yang tidak adil pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.
Ghafir, 40 : 17
Perhitungan Allah sangat pantas. Setiap detik itu langsung dihitung. Bahkan lebih cepat dan laju daripada Kuiz Kahoot yang dilalui dan disesali tempoh hari akibat terlambat, tersalah dan segala ‘ter’ yang lain.
—-
Apa pilihan di tangan?
Main-main dengan hidup, masih tidak kisah sesuka hati mengingkari Tuhan dalam keadaan sedar seolah-olah setiap satu tindakan tidak mencontengkan dan memburukkan kitab amal? Lupa bahawa setiap tindakan langsung diberikan ‘markah’, diperhitungkan tanpa tunggu-tunggu?
Dan (juga) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, (segera) mengingat Allah, lalu memohon keampunan atas dosa-dosanya, dan siapa (lagi) yang dapat mengampunkan dosa-dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan dosa itu, sedangkan mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah keampunan daripada Tuhan mereka dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan (itulah) sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang beramal.
Ali-‘Imran, 3 : 135-136