Tadabbur Tazakkur

Syukur dalam duka

“Boleh pinjamkan saya RM4000? Selepas sebulan, saya kongsikan keuntungan yang boleh mencecah 4 juta.”

-“Ok boleh.”

“Tapi saya nak duit di tangan. Tak nak transfer melalui bank.”

-“Tiada masalah. Bagaimana nak ke tempat awak?”

“Tempat saya jauh. Awak kena naik flight dulu. Lepas tu naik bot menyeberang sungai yang memakan masa 45 minit. Hati-hati sebab sungai tu banyak buaya. Lepas tu, Jalan kaki ke sini sambil panjat bukit-bukau 2 jam. Sanggup?”

-“Ya sanggup.”

“Baik, saya tunggu.”

***

Betul ke sanggup?

Kenapa sanggup?

Kerana bakal mendapat habuan yang jauh lebih lumayan?

Begitu sikap manusia tatkala punyai visi yang lebih jauh. Sehingga melihat kesulitan dan cabaran depan mata sebagai kecil dan mampu dihadapi.

“Ini kacang je lah. Alhamdulillah dapat peluang berurusniaga yang sangat lumayan.”

Cabaran dan kesulitan dilihat sebagai peluang. Meskipun bukan mudah, tetapi selepas diatasi, ada sesuatu yang jauh lebih baik menanti.

Bijak ya?

Bagaimana pula sikap manusia terhadap kesulitan hidup di dunia sebagai peluang meraih sesuatu yang jauh lebih berharga pada waktu kemudian? Kesulitan itu meskipun terlihat ujian, realitinya adalah peluang membuktikan iman kepada Tuhan, peluang meraih ganjaranNya.

“Untung aku dapat ujian ni. Peluang nak dapat syurga!”

Bicara positif seorang yang beriman.

Eh, bagaimana tu?

***

Seorang imam pernah berkongsi pengalaman memberi kaunseling kepada pasangan yang sangat dekat dengan zina. Mereka dah melakukan semua yang mendekati zina sehinggakan jarak untuk benar-benar melakukan perbuatan keji itu ibarat berjarak sejengkal. Menjadi konflik yang rumit apabila si pelaku adalah dalam golongan yang punyai ilmu agama, lalu drama salah-menyalahkan Tuhan berlaku.

“Kenapa Tuhan biarkan saya terjebak dalam semua ini?”

“Kenapa Tuhan tak tolong saya? Saya bukannya orang jahat yang tak jaga solat tu.”

“Kenapa kami tak macam pasangan-pasangan lain yang mudah sahaja nak kahwin. Tak disusahkan oleh pelbagai pihak?”

Rasa marah pada Tuhan.

Memang bukan mudah untuk menerima bahawa setiap apa yang berlaku adalah ujian. Bagaimana untuk memujuk diri, kesulitan yang dihadapi rupa-rupanya peluang memanifestasikan taqwa yang ganjarannya syurga.

“Kalau kau sanggup menahan diri dan jaga taqwa, 3:15 tu milik kau. Bukan semua orang berpeluang nak dapatkan 3:15 tu. Yang diuji dengan 3:14 tu sebenarnya berpeluang mendapatkannya.”

Ibarat situasi awal perenggan post ini, sanggup naik bot, berjalan kaki berjam-jam dan naik bukit bukau semata-mata nak dapatkan sesuatu yang jauh lebih baik?

Dijadikan indah kepada manusia terhadap syahwat berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertimbun dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternakan dan sawah. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik.

Katakanlah”Mahukah aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu?” Bagi orang-orang yang bertaqwa di sisi tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai , mereka kekal di dalamnya dan pasangan-pasangan yang suci. serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya. ”

Ali-Imran, 3 : 14-15

Ada pula manusia yang diuji penyakit kronik bertahun-tahun, tidak menemukan solusi. Terpaksa menanggung sakit sehingga bertahun-tahun tidak tidur. Diuji lagi dengan anak-anak yang sama-sama sakit. Rumahtangga yang dibina hampir-hampir roboh.

Boleh depression jadinya.

Bukan mudah melihat setiap ujian besar ini terselit rahmat dari sisiNya.

Bukan mudah menjadi insan terpilih itu, diuji sedemikian rupa, meskipun di sebaliknya rupa-rupanya adalah peluang mendapatkan sesuatu yang jauh lebih baik.

Dan Kami pasti akan mengujimu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata innalillahi wa inna ilaihi rojiun.

Mereka itulah orang-orang yang memperoleh keampunan dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Al-Baqarah, 2 : 155-157

Bukan mudah untuk bersyukur di setiap kesulitan yang diri sendiri benci, memujuk bahawa semua yang terpaksa dilalui adalah peluang meraih sesuatu yang jauh lebih baik di akhirat kelak. Bersyukur dengan apa kurniaanNya meskipun terlihat buruk.

“Kenapa saya tak macam orang lain? Tak perlu diuji semua ini?”

“Kenapa saya tak dapat yang orang lain dapat?”

Kerana kau insan terpilih.

Dalam setiap kesulitan dan segala yang kau tak sukai, ada kasih sayang Tuhan yang melimpah-ruah.

Sabar sikit sahaja lagi, semuanya akan berakhir. Ketahuilah jika semua ini dihadapi dengan iman, selari petunjukNya, engkau sedang menjamin rezeki dan kehidupan terbaik di akhirat nanti.

 

Sesungguhnya hari kiamat itu akan datang, Aku merahsiakan waktunya agar setiap orang dibalas sesuai dengan apa yang telah diusahakan.

Toha, 20 : 16

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.