Berpijak di bumi sebagai seorang hamba

“Kenapa you pakai tudung?”

– “Tuhan suruh.”

“Ye ke? Tuhan suruh kat mana dalam Al-Quran?”

Dia terkedu tatkala mendapat soalan bertubi-tubi daripada pelanggan cina. Meskipun rasa tercabar, ditahan amarahnya.

– “Nanti saya tanya kawan saya ya. Saya tak tahu.”

Realitinya wahyu yang diturunkan itu sarat dengan panduan hidup seorang manusia dalam segala ruang lingkup kehidupannya. Ketika berdiri, duduk, mahupun berbaring, kesemuanya tersimpan kemas dalam panduan agung umat akhir zaman.

Tak percaya?

Mahukah tahu apakah panduan Tuhan ketika berjalan?

“Eh, dalam berjalan juga ada panduan daripadaNya?”

Bumi ciptaanNya, pasti ada ‘tatacara’ berjalan selari garis panduanNya tatkala dia mengizinkan makhluk bernama manusia untuk hidup di atasnya. Apakah derap langkah kaki atas bumi yang terbentang ini menumbuhkan rasa tunduk seorang manusia kepadaNya?

Dan janganlah kamu memalingkan wajahmu daripada manusia dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri. Dan sederhanakanlah dalam berjalan…

Luqman, 31 : 18-19

Dua kali Dia menekankan perkataan berjalan ini dalam 2 ayat berlainan.

“Eh, kenapa berjalan pun boleh jadi isu?”

Kerana ada manusia, sambil berjalan dia berangan-angan akan kemegahannya. Sambil berjalan, dia memalingkan muka daripada orang-orang yang tampak “rendah”. Heh, tak bertegur sapa dengan sesama? Kerana sibuk “bermimpi” akan segala anugerah-anugerah atau sanjungan yang diberikan manusia kepadanya saat kakinya terus melangkah maju ke hadapan.

Halus ni.

Bahkan “sekecil” perkara tentang apa yang diperbuat saat berjalan turut dinilai Tuhan, apatah lagi perkara-perkara lain. Sedangkan manusia dalam setiap keadaan harus berada dalam keadaan mengingati Tuhannya.

Bukankah?

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah bagi orang yang berakal. (iaitu) orang-orang yang ingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring. dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia. Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka.”

Ali-‘Imran, 3 : 190-191

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.