Coretan untuk DiriCUD Belum Disemak

Perlukah menjadi Lukman?

Nama surah dan no ayat
31) Luqman 34 : Ayat 13

Artikel ini ditulis oleh Syahrul – Niza

Kata – kata ustaz di kelas pengajian tadi benar – benar mengganggu fikiran. Argh! jerit Sarah dalam hati.

“Ibu – ibu rajin kelas – kelas pengajian tetap tidak dapat mengambil peranan seorang ayah, kerana ibu – ibu tiada kuasa, yang ada hanyalah kuasa membeli”.

Ustaz Azhar sentiasa menyelitkan elemen gurauan untuk menyeimbangkan mesej yang berat.

“Ibu – ibu kena bantu ayah – ayah untuk berperanan, jangan biarkan mereka menjadikan urusan mencari nafkah sebagai alasan”

Otak Sarah ligat berfikir kaedah yang terbaik untuk menyampaikan mesej ini kepada suaminya, Azlan seorang CEO di syarikat tersohor di negara ini. Alhamdulillah, mereka menaiki kereta yang sama perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Peluang ini  digunakan sepenuhnya untuk menyampaikan segala saranan yang dia pelajari dari seminar keibubapaan yang dihadiri tetapi suaminya masih tidak bertindak.

“Abang, hari ini saya nak kongsikan kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta Nabi Yaakob dan Nabi Yusuf”

Setelah selesai bercerita Sarah cuba menegaskan betapa rapatnya Nabi Yaakob dengan anaknya Nabi Yusuf sehinggakan mimpi pun dikongsi dengan si ayah.

Kini giliran Azlan pula merasa beratnya fikiran dan perasaan, segala mesej isterinya amat difahami, malah dia tidak pernah membangkang  walau sekadar keluhan kecil. Dia sentiasa mendengar penuh minat.

Dia termenung dan merenung jauh menerusi tingkap bilik pejabatnya. Mengeluh sendiri, seorang CEO yang boleh berkongsi visi dan misi syarikat kepada 1,500 staf dengan “Townhall talk”, mesyuarat berkala…

Kini buntu untuk berbicara dengan anak sendiri yang kini telah memasuki usia belasan tahun. Iya 3 anak lelakinya berumur 18. 16 dan 11 tahun.

“Jom kita sunggah kedai buku kegemaran awak”.

“Eyh, abang tak penat ke? abang baru saja bagitahu betapa susahnya nak yakinkan pelanggan harapan syarikat”

“Entahlah, hati abang terasa sangat untuk menjenguk ke kedai buku yang tak pernah abang jejakkan kaki”.

Sebaik sahaja kaki Azlan melangkah masuk ke kedai Imanshoppe, matanya terpandang sebuah buku yang menjadikan hatinya berbunga. “Indahnya Pesan Lukman Al-Hakim” karya Ustaz Syaari Ab Rahman.  Bergenang airmata lelakinya tetapi cepat – cepat dikesat.

Malam itu, ketika makan sekeluarga, Azlan terus mengumumkan, “Bermula 1 Ramadhan ini, abah nak buat halaqah Lukman Al – Hakim dengan anak – anak abah”.

Anak – anak agak terkejut tetapi Sarah tersenyum lebar sambil memandang suaminya.

Aidil Fitri kali ini Azlan sambut dengan rasa kesyukuran yang amat sangat kerana Allah telah tunjukkan jalan buat dirinya untuk menyampaikan pesanan yang terbaik buat anak – anaknya.

Beberapa kali dia sujud syukur kerana kebuntuannya selama ini dapat dirungkai. Dia percaya ramai ayah – ayah yang tidak tahu apakah yang terbaik untuk mereka sampaikan pada anak – anak. Kini, dia sentiasa tersenyum bila memandang visi dan misi syarikat yang terlekat cantik di dinding.

Tanpa disedari ayat 12 – 19 Surah Luqman telah dihafalnya. Kini, dia sentiasa bercerita mengenai perkembangan terbaru ini dengan kawan – kawan perniagaan yang lain selepas selesai urusan rundingan.

Mereka agak terpinga – pinga sambil bertanya “Perlukah menjadi Lukman?”

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.